- Poster Dampak
Biarpun ada di antara pihak yang menyalahkan filem aksi terutamanya yang mengangkat kisah kongsi gelap dan gangster, namun pengarah filem ini, Lai Yuk Long berasakan sebaliknya.
“Saya akui agak bimbang jika filem ini mendapat reaksi negatif daripada penonton ekoran paparan kisah kumpulan kongsi gelap yang ditonjolkan.
“Walaupun kegiatan kongsi gelap menjadi isu ketika ini, namun sebenarnya filem ini bukanlah berniat mempromosikan budaya buruk berkenaan sebaliknya memaparkan sebuah kisah fiksyen yang sarat dengan adegan aksi” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan, baru-baru ini.
Jelas Lai, filem Dampak secara keseluruhannya membawa tema persahabatan, kekeluargaan dan banyak memaparkan pengajaran sekiranya tidak memilih jalan benar dalam hidup.
Dampak mengisahkan pengembaraan lima beradik yang bermula apabila salah seorang adik mereka iaitu Afran hilang selain masing-masing berusaha mencari punca kecacatan dan parut pada muka ayah angkat mereka yang dipanggil Tok Long.
Tatu merah yang ada pada pergelangan tangan Tok Long juga membuatkan niat mereka untuk membalas dendam terus membara, tambahan pula dengan ilmu mempertahankan diri yang dimiliki masing-masing menguatkan lagi semangat mereka.
Pertembungan dengan Botak adalah titik permulaan dalam melaksanakan misi mereka. Idrus, Giran, Hana dan Qyra mula menjumpai tanda-tanda untuk mereka mendapatkan bukti mengenai misi yang sedang dilakukan apatah lagi kehilangan Afran juga turut mengaitkan dengan hubungan di antara Tok Long, Tiger Lang dan Joni Hitam.
Pelakon kelas A
Istimewanya filem terbitan Apes Haus dan Ops Picture Sdn Bhd ini menampilkan barisan pelakon hebat Malaysia seperti Aaron Aziz, Farid Kamil, Intan Ladyana, Cat Farish, Juliana Evans dan Scha Alyahya.
Filem ini juga dibintangi oleh pelakon, model dan penggiat seni mempertahankan diri berbangsa Cina, Michael Chin.
Justeru, secara ringkasnya, apabila menampilkan barisan pelakon yang hebat, ia secara tidak langsung memberikan sebuah lakonan yang mantap dan komitmen yang cukup tinggi.
Malah penonton pasti tidak merasa lakonan yang terasa di buat-buat dengan barisan pelakon yang sedia ada.
Begitu juga dengan gandingan seperti Farid dan Intan yang nampak cukup baik sepanjang perjalanan cerita ini. Apatah lagi, Lai berjaya menonjolkan setiap pelakon tanpa melebihi pelakon yang lain.
Aksi realistik
Biarpun agak berat dari segi paparan babak aksi - di mana 90 peratus babak dalam filem ini memaparkan aksi pertarungan, bunuh, namun bagi penulis ia memberikan kepuasan tersendiri kepada pecinta filem aksi.
Menariknya, apabila sudah menggunakan pelakon hebat, maka secara tidak langsung ia memberi aksi pertarungan lebih realistik terutamanya daripada Aaron dan Farid.
Jelas Lai, dia sangat menekankan tumpuan kepada babak aksi dan banyak mengaplikasikan konsep grafik berbentuk novel bagi memberikan impak seni kepada filem itu.
“Kami bukan saja mahu menonjolkan babak pergaduhan itu, tetapi ingin menterjemahkan dalam bentuk seni supaya dapat memberi kesan segar kepada penonton,” jelasnya.
Lebih bangga, jika selama ini kita sering melihat babak pertarungan antara pelakon lelaki, namun menerusi Dampak, penonton akan dapat melihat 'aksi sebenar' Intan dan Juliana yang nampak cukup hebat menjayakan filem aksi.
Manakala dari plot penceritaan pula, biarpun ada turun dan naiknya, namun penonton masih dapat memahami keseluruhan jalan cerita.
Begitu juga dengan babak aksi, kerana penonton juga harus melihat di sebalik babak aksi, apa yang cuba disampaikan oleh pengarah ini adalah nilai kekeluargaan yang tidak patut diketepikan walau dalam apa keadaan sekalipun.
Taruhan babak ranjang?
Bagai satu ikutan apabila ada pengarah menyelitkan babak ranjang sebagai tarikan untuk penonton ke panggung, namun jelas Lai, babak antara Intan dan Farid itu bukan satu taruhan.
Biarpun dilihat agak mesra, namun dalam masa mengerikan apabila Farid yang ketika itu tercedera masih sanggup untuk berasmara.
Jelas Intan Ladyana, babak tersebut sememangnya sukar dibawakan, namun sebagai pelakon dia menganggap babak berkenaan sebagai satu cabaran.
“Saya tiada masalah jika babak berkenaan menjadi bualan dan mendapat kritikan daripada peminat kerana itu sebahagian daripada jalan cerita filem dan ia hanya lakonan.
“Walaupun tidak mudah untuk saya lakukan aksi berkenaan, tetapi sebagai pelakon itu adalah cabaran untuk saya,” katanya.
Bagi mengetahui keseluruhan jalan cerita dan melihat sendiri kehebatan aksi filem ini serta mengetahui kesudahannya, jangan lupa untuk saksikan filem Dampak yang sudah menemui penonton di seluruh pawagam tanah air sejak 19 September lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: