Sunday, September 29, 2013

Tanah bertuah Janda Baik



PERJALANAN ke Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang hanya mengambil masa kurang sejam dari Kuala Lumpur.
Walaupun penulis cuba untuk melelapkan mata, usaha itu ternyata gagal kerana tempoh perjalanannya yang singkat.
Namun, timbul persoalan di minda mengapakah perkampungan yang terletak 600 hingga 800 meter dari aras laut ini diberi nama Janda Baik?
Maklumat setakat 2006 memberikan butiran bahawa terdapat 34 ibu tunggal menetap di perkampungan yang mula didiami sejak awal tahun 1920-an ini.
Sebenarnya, nama kampung ini digarap sempena pertemuan semula sepasang suami isteri yang merupakan Orang Asli yang telah lama terpisah.
Menurut cerita seorang penduduk asal, Mat Sabri Malek, nama kampung ini diambil sempena pertemuan semula sepasang suami isteri Orang Asli yang telah lama terpisah itu.
“Orang Asli di kawasan berkenaan termasuk Tok Batin dan isterinya bekerja di sawah padi huma yang diusahakan oleh tiga peneroka awal kawasan itu yang hanya dikenali sebagai Haji Rahman, Haji Kadir dan Haji Ismail selepas banjir besar melanda pada tahun 1926.
“Namun, berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri itu.
“Tok Batin yang merupakan si suami merajuk sebelum membawa diri ke Selangor. Isterinya pula berhijrah ke Negeri Sembilan,” katanya.
KAWASAN air terjun Janda Baik yang masih terjaga keasliannya.


Tambahnya, selepas beberapa tahun, pasangan itu terpisah, mereka kembali semula ke kampung berkenaan.
“Kemudian, penduduk bercadang untuk menamakan kampung mereka sempena peristiwa ‘janda berbalik’ itu.
“Namun, pegawai daerah ketika itu, seorang Inggeris memberikan nama ‘Janda Baik’ bagi menggambarkan keharmonian rumah tangga penduduk kampung tersebut,” jelas Mat Sabri.
Sebenarnya, perkampungan ini bukan sahaja sarat dengan aura alam semula jadi yang menggamit hati bukan sahaja kepada penggemar alam semula jadi malah kepada mereka yang ingin lari daripada kebisingan kota.
Sebaik sahaja melalui pintu gerbang, kedatangan para pengunjung akan disambut dengan sebuah kedai buah dan kedai makan yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Juhaini Abdullah serta Halimah Ahmad.
Tanah subur
Mereka telah menjalankan perniagaan itu selama lima tahun.
Kata mereka, tanah Janda Baik cukup subur dan sesuai untuk aktiviti pertanian kerana parasnya yang agak tinggi dari aras laut selain faktor kimia tanahnya.
“Pokok durian, manggis, langsat dan pisang berbuah hampir pada setiap masa malah durian tiada musimnya.
“Boleh dikatakan pada setiap bulan, ada sahaja durian yang berbuah. Jadi, kami sebenarnya tidak pernah putus dengan bekalan ‘raja buah itu,” kata Halimah sambil tersenyum.
Kru Jurnal turut berpeluang merasai buah durian jenama Kampung Janda Baik dan ternyata memang sedap.
Tarikan perkampungan yang mempunyai 2,800 orang penduduk ini bukan sahaja buah-buahan tetapi juga sayur-sayuran yang segar dan bebas kimia.
Menurut seorang pemandu pelancong, Rozi Sarip, sayur-sayuran di Janda Baik hampir setanding dengan yang terdapat di Cameron Highlands, Pahang.
“Cuma di sini (Janda Baik) tidak sesuai untuk tanaman strawberi dan teh tetapi sayur-sayuran seperti kacang panjang, botol, tomato serta terung adalah bebas daripada penggunaan racun perosak.
“Malah, sumber pengairan daripada air bukit adalah bersih,” katanya.

DURIAN KAMPUNG jenama Janda Baik tidak kurang kesedapannya berbanding durian lain di pasaran.


Gunung Nuang
Rozi yang berpengalaman selama 13 tahun membawa pendaki Gunung Nuang menambah, tidak ramai yang mengetahui gunung itu boleh didaki melalui Janda Baik.
“Pada kebiasaannya, ramai pendaki tegar mendaki Gunung Nuang dari Hulu Langat, Selangor. Namun, melalui Janda Baik lebih mencabar.
“Anda perlu melalui rimbunan pokok buluh yang rendang sehingga perlu tunduk dan mendaki bukit yang agak curam,” katanya.
Rozi menjelaskan, perjalanan sepanjang lima kilometer akan menemukan para pendaki dengan Air Terjun Janda Baik yang airnya sejuk dan tidak tercemar.
Kru Jurnal berpeluang mendaki sebelum sampai ke kawasan air terjun itu.
Namun, uniknya, bagi penduduk Orang Asli di Janda Baik, mereka hanya menggunakan laluan yang sempit sebagai medium untuk memungut hasil hutan seperti ulam, rebung dan buluh.
Motosikal digunakan untuk mengambil hasil hutan itu pada radius ketinggian 1,000 meter dari aras laut.
Walaupun ekologi alam semula jadi perkampungan ini masih terjaga, Janda Baik pernah digemparkan dengan penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian tidak terkawal.
Situasi itu turut didorong pembinaan calet dan resort secara drastik menyebabkan suhunya tidak lagi sesejuk seperti awal 90-an.
Menurut seorang penduduk, Roslan Ismail, pada awal 1990-an,suhu Janda Baik terlalu sejuk.
“Sampai menggigil. Biasanya pada waktu 5 petang sudah mandi. Bayangkan sehingga pukul 12 tengah hari, kami perlu memakai jaket tebal untuk memanaskan badan.
“Tetapi kini agak panas sedikit kerana penerokaan haram hutan tidak terkawal untuk aktiviti pertanian berlaku pada empat tahun lalu” katanya.
Tambahnya, dahulu minyak kelapa yang digunakan untuk memasak perlu dipanaskan terlebih dulu kerana beku.
Menurut seorang lagi penduduk, Nazer Kamaruddin, dia pernah melihat bongkah ais di sungai.
“Malah, tidak perlu meletakkan ais pada air minuman kerana ia cepat sejuk,” ujarnya.

PENDAKIAN menuju ke puncak Gunung Nuang mengambil masa selama lima jam.


Ketua kampung, Zahari Ayop mengaku berlakunya aktiviti pembalakan haram secara tidak terkawal untuk penanaman sayur-sayuran yang berlaku empat tahun lalu.
“Beratus-ratus hektar tanah telah diterokai. Malangnya, kayu balak yang bersaiz besar dibiarkan reput. Selain itu, pokok balak yang berusia beratus-ratus tahun habis musnah.
“Malah, ketika itu, jika dilihat secara kasar, bukit-bukit di Janda Baik seakan-akan habis digondol,” katanya.
Zahari menjelaskan, sungai-sungai turut tercemar kerana para petani haram menyembur racun pada tanaman mereka.
“Sungai-sungai tercemar dan penduduk kampung yang bermandi-manda akan berasa gatal di seluruh badan,” ujarnya.
Namun, tindakan pantas kerajaan negeri terutamanya jabatan perhutanan berjaya menghalang aktiviti itu daripada berlaku secara berterusan.
“Syukurlah, kerajaan negeri memantau secara serius dan terdapat tanaman semula pokok kayu jati dan cengal untuk menghijaukan semula kawasan bukit.
“Sungai-sungai yang dahulunya tercemar kini bersih seperti sediakala,” cerita Zahari.
Menurutnya, mereka juga bekerjasama dengan para pengusaha calet dan resort supaya tidak menebang pokok secara sewenang-wenangnya.
“Ada hadnya untuk penebangan pokok selain perlu menjaga kebersihan sungai,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: