Saturday, September 21, 2013

Ario tak mahu popular




BUAT masa ini nama aktor Ario Bayu begitu hangat ditulis dan diperkatakan oleh media Indonesia. Semuanya gara-gara pemilihan pelakon berusia 28 tahun itu bagi melakonkan karakter Presiden pertama Republik Indonesia iaitu Soekarno dalam filem Soekarno: Indonesia Merdeka.
Pemilihan pelakon yang pernah membawakan watak Lintang dalam filem Laskar Pelangi itu mendapat tentangan dan protes daripada salah seorang anak Soekarno iaitu Rachmawati Soekarnoputri.
Ungkap Rachmawati, Ario tidak memiliki persamaan daripada segi karakter arwah bapanya yang cukup dikenali umum sebagai Bung Karno itu.
Bicara Rachmawati lagi, dia juga sudah menolak pemilihan Ario sebagai Soekarno namun, pengarah filem Soekarno: Indonesia Merdeka iaitu Hanung Bramantyo tetap nekad mahukan aktor yang juga model berasal dari Jakarta, Indonesia itu.
"Saya wawancara Ario, tetap tidak cocok (sesuai). Dia beritahu saya, dia tidak patriotik dan membesar di New Zealand selama 11 tahun. Malah, dia mengakui tidak mengenali Soekarno!.
"Langsung, saya tanya kenapa masih menerima tawaran ini? Dia kata profesional. Saya kata tidak cukup sekadar profesional," luah Rachmawati kepada KapanLagi.com.
Bagaimanapun, Ario mempunyai jawapan yang konkrit berhubung komen Rachmawati itu.
Tegasnya: "Memang ada isu apabila Rachmawati tidak suka saya membawa peranan sebagai Soekarno. Memang tiada siapa yang boleh menjadi sepertinya (Soekarno). Bagi saya, Soekarno tetap Soekarno. Tetapi saya sudah melakukan yang terbaik untuk menghidupkan karakter Soekarno. Semangat Soekarno sudah memasuki dalam badan saya. Itu yang paling penting".
ARIO BAYU berpegang teguh kepada kualiti dalam setiap karakter lakonannya.


Homoseksual
Menyingkap sisi Ario, nama aktor itu mula dikenali ramai selepas dia membintangi filem seram Indonesia yang berjudul Kala (2007).
Walaupun filem tersebut tidak begitu sukses dari segi kutipan tiket, namun daya lakonannya sebagai seorang polis homoseksual bernama Eros dalam filem tersebut begitu terkesan.
Sejak itu, perjalanan karier lakonan Ario berterusan dalam filem-filem hebat lain seperti Macabre, Darah Garuda: Merah Putih II, Laskar Pelangi dan filem pertamanya terbitan HBO Asia iaitu Dead Mine.
Bagaimanapun, sebenarnya ramai yang masih belum begitu mengenali sosok sebenar Ario Bayu.
Sehinggalah dia diberi peranan sebagai Soekarno, barulah dia dikenali di peringkat nasional lantaran isu hangat yang sering dipaparkan oleh media Indonesia saat ini.
Diajukan soal itu kepadanya, jujur bicara Ario, dia tidak pernah memikirkan sangat tentang populariti dan tidak mahu menjadi terkenal sejak dari awal kariernya lagi.
"Saya tidak mahu menjadi terkenal. Saya cuma sentiasa berusaha untuk menjadi pelakon yang lebih baik.
"Saya percaya bahawa kualiti kerja adalah hakim muktamad dan berharap perkara ini terserap dalam setiap kerja yang saya lakukan," jelasnya kepada Kosmo! dalam sesi temu bual baru-baru ini khusus untuk drama terbaharu lakonannya, Serangoon Road yang bakal disiarkan menerusi saluran HBO (Astro 411).

ARIO sebagai Soekarno dalam filem Soekarno: Indonesia Merdeka.


Polis Melayu
Berkongsi mengenai Serangoon Road, ujar Ario, kali ini dia membawakan watak sebagai inspektor polis bernama Amran yang berketurunan Melayu.
Mengakui agak sukar untuk bertutur dalam bahasa Melayu kerana loghat pekat Indonesia yang dimilikinya, bagaimanapun kata Ario, akhirnya dia mampu berdialog seakan-akan lelaki Melayu dalam drama 10 episod itu.
Ario juga memberitahu, biarpun berlakon dengan pelbagai kaum dalam siri drama yang berkait rapat dengan sejarah perang dan tragedi di Singapura itu namun, dia mudah membina keserasian dengan setiap pelakon drama tersebut.
"Secara jujurnya, mereka merupakan orang-orang yang kreatif (barisan pelakon Serangoon Road).
"Amat mudah menjalinkan kerjasama yang profesional dengan mereka. Paling penting, saya buat yang terbaik untuk watak yang didokong saya," jelasnya lagi.
Bicara Ario lanjut: "Walaupun saya tidak ada banyak waktu untuk mendalami apa yang berlaku di Serangoon Road, tetapi bagi saya, mendalami emosi Amran itu adalah paling penting."
Serangoon Road berkisar tentang laluan utama yang dibangunkan di Singapura pada tahun 1960-an yang menghadapi huru-hara apabila kuasa global semakin beralih dan Singapura akhirnya boleh membentuk identitinya sendiri.
Drama tersebut diterbitkan melalui kolaborasi antara HBO Asia dan stesen televisyen Australia, ABC TV itu.
Bercerita sedikit mengenai sinopsis Serangoon Road, cerita bermula apabila Sam Callaghan (lakonan Don Hany) yang berasal dari Australia menghabiskan zaman kanak-kanak di kem tahanan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.
Apabila meningkat dewasa, Sam kembali untuk berjuang ketika Darurat di Malaya.
Patricia (Joan Chen) meminta bantuan Sam kerana suaminya, Winston yang merupakan pemilik agensi detektif mati dibunuh.
Sam akhirnya bersetuju untuk membantu Patricia selepas suaminya terbunuh semasa mengendalikan sebuah kes.
Walaupun Patricia bukan seorang detektif, dia tahu agensinya memerlukan seorang penyiasat yang baik dengan kenalan dalam masyarakat tempatan, serta di kalangan ekspatriat.
Dari situ, bermula suatu perjalanan yang melihat Sam terjerumus dalam kancah bahaya. Geng Persatuan Rahsia Cina membuat kacau untuk menguasai jalan-jalan di Singapura dalam berebut kuasa.

FIGURA ini kini melebarkan aura dan pengaruh kehebatannya sebagai aktor terbilang di Singapura dan Malaysia.


Bandar itu menjadi sarang kegawatan kaum dan politik manakala siasatan Sam dan Patricia membawa mereka ke dunia istimewa dan dipertemukan dengan Inspektor Amran (Ario Bayu) - satu-satunya pemuda Melayu yang dilantik sebagai polis Singapura pada waktu itu.
Mengulas lanjut, ujar Ario, banyak penggambaran drama tersebut dilakukan di Infinite Studios yang terletak di Nongsa, Batam, Indonesia - bukan di Serangoon Road, Singapura.
Katanya, suasana zaman 60-an di Seranggon Road juga telah dihidupkan semula di sana.
"Selain itu, bagi menggambarkan keadaan ekonomi dan budaya yang puluhan tahun ditinggalkan, deretan bangunan lama, kedai, gerai sayuran, buah-buahan dan makanan telah dibina khas," ujarnya.
Selain Ario, Serangoon Road turut menampilkan pelakon dari Australia dan Singapura. Antaranya, Melody Chen, Randall Tan, Joshua Tan, Chin Han, Alaric Tay, Pamelyn Chee, Maeve Dermody, Rachael Blake, pelakon veteran Singapura, Lim Kay Tong, Tan Kheng Hua, Edmund Chen, Xiang Yu,Priscelia Chan, Bernard Tan, Nurul Huda dan Timothy Nga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: