|
SELAMA ini orang lebih mengenali Datuk Siti Nurhaliza sebagai seorang penyanyi pop. Namun beliau juga terkenal sebagai penyanyi yang berjuang mempertahankan irama tradisional.
Buktinya, sepanjang 18 tahun berkecimpung dalam bidang seni suara, Siti pernah melahirkan empat buah album tradisional iaitu Cindai, Sahmura, Sanggar Mustika dan Lentera Timur.
Baru-baru ini, penyanyi tersohor negara itu mengumumkan bahawa beliau akan menjayakan sebuah konsert irama tradisional, Lantera Timur Datuk Siti Nurhaliza Bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di Panggung Sari Istana Budaya pada 20 hingga 22 September ini.
Ujar Siti, keinginan untuk mengadakan konsert dengan persembahan lagu-lagu tradisional memang sudah lama dirancang. Akhirnya kini ia dapat direalisasikan.
“Apabila selesai menjayakan sesuatu acara hiburan seperti konsert, saya selalu ditanya oleh rakan-rakan wartawan tentang jenis konsert yang ingin dilakukan selepas itu.
“Saya cuma memberitahu tentang impian untuk mengadakan sebuah konsert irama tradisional memandangkan saya belum pernah melakukannya lagi. Akhirnya peluang ini telah hadir dengan kerjasama Istana Budaya dan OTM,” ujarnya dalam sidang akhbar baru-baru ini.
Menceritakan lebih lanjut mengenai konsertnya itu, Siti memberitahu penonton akan dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu irama tradisional selama dua jam.
Ujarnya, sebanyak 35 buah lagu yang akan dipersembahkan termasuk medley dan ia merangkumi pelbagai irama tradisional Melayu seperti joget, zapin dan keroncong.
“Sejak beberapa minggu lalu saya sudah kembali mendengar lagu-lagu irama tradisional dalam proses pemilihan lagu-lagu yang sesuai untuk dipersembahkan nanti.
“Selain itu, saya gembira kerana konsert ini turut mendapat sentuhan dua individu hebat seperti Lokman Ghani selaku pengarah serta Aubrey Suwito yang memberikan sentuhan terbaik dalam gubahan dan susunan lagu,” jelasnya.
Meskipun ia konsert sulung irama tradisional yang dijayakannya, Siti menyatakan tentang beberapa kelainan yang akan ditampilkan dalam persembahan itu nanti.
Antaranya segmen khas iaitu Mak Yong dan Dikir Barat yang akan menampilkan kelainan dalam corak persembahan yang belum pernah dilakukan dalam mana-mana persembahan sebelum ini.
“Ketika ini saya sudah mula mempelajari tarian Mak Yong dan dilatih oleh Rosnan Rahman. Bagaimanapun, untuk mendalaminya bukanlah mudah seperti yang disangkakan,” ujarnya.
Menurut Siti, ketika konsert itu berlangsung nanti dia tidak akan keseorangan kerana dua orang individu lain akan turut diundang untuk sama-sama menjayakannya.
Jelasnya, salah seorang individu tersebut ialah penggiat irama tradisional terkenal, Pak Ngah atau Suhaimi Mohd. Zain, manakala seorang lagi masih dirahsiakan sebagai elemen kejutan buat penonton.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya sudah membincangkan mengenai konsert tersebut dengan Siti sejak beberapa tahun lalu.
Ujarnya, penyanyi berkenaan pernah meluahkan hasratnya untuk tampil dalam sebuah konsert yang agak berbeza dan gembira kerana Istana Budaya menjadi pilihan Siti.
“Sudah tentu ia merupakan konsert yang begitu dinantikan para peminat. Jadi, janganlah lepaskan peluang untuk menonton konsert ini kerana ia akan memberikan kenangan tersendiri kepada penonton,” ujarnya.
Mengenai jualan tiket pula, Juhari menyatakan tiket-tiket berharga RM78, RM108, RM218, RM238, RM258, RM278, RM338 dan RM518 sudah mula dijual dan mendapat sambutan yang baik.
Bukan jaminan
Memandangkan Lantera Timur Datuk Siti Nurhaliza Bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) merupakan sebuah konsert yang besar, Siti menyatakan pihaknya berusaha untuk mendapatkan penaja.
Bagaimanapun, penyanyi yang popular menerusi lagu Cindai, Balqis dan Ya Maulai itu mengakui usaha mencari penaja merupakan satu cabaran yang agak sukar.
“Sama ada seseorang itu mempunyai nama besar atau tidak, bukan mudah sebenarnya untuk dapat penaja. Saya juga akan turun padang untuk menarik lebih ramai penaja.
“Bagi saya perjalanan menjayakan konsert ini pastinya menjadi lebih mudah kalau ada penaja. Sekiranya tiada yang berminat saya terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk menganjurkannya,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: