Monday, September 23, 2013

Gusti pikat Sherry Ibrahim

SHERRY IBRAHIM yang terkenal sebagai pelakon, kini mahu mencuba nasib sebagai penyanyi melalui singlenya bersama Gusti berjudul Flirting.


BERCERITA tentang latar belakang Gusti Arya, dia merupakan seorang jejaka berusia 24 tahun yang sangat meminati bidang muzik.
Minatnya itu telah mendorong Gusti bermain alat muzik seawal usia 11 tahun. Jika dibicara tentang jejaka kelahiran Indonesia ini, pasti peminat industri muzik tempatan tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki itu.
Gusti Arya atau nama sebenarnya Gusti Nyoman Arya Yudistira merupakan seorang deejay yang aktif bermain muzik di kelab-kelab malam di Indonesia. Bidang nyanyian merupakan cabang seni yang sememangnya baharu diceburi hasil dorongan semangat ingin mencuba.
Single pertama pemuda yang lebih mesra disapa sebagai Gusti ini bakal disempurnakan pada bulan hadapan. Apa yang menariknya, Gusti akan berkolaborasi dengan pelakon tempatan, Sherry Ibrahim.
"Ketika itu saya membuat persembahan di Bali, Indonesia. Kemudian Bambang yang merupakan jurusolek kepada Sherry datang bertemu saya dan memberitahu ada seorang teman pelakon di Malaysia yang ingin menjadi penyanyi. Kami berbincang dan ketika itu saya memperdengarkan dia kesemua lagu saya yang telah disiapkan.
"Kemudian, dia telah membawa lagu tersebut untuk diperdengarkan kepada Sherry dan menyukainya. Setelah itu, saya berjumpa Sherry dan LOL Entertainment untuk berbincang dan mereka setuju untuk bekerjasama. Mungkin kami juga akan melancarkan album mini termasuk bersama kesemua artis di bawah naungan LOL Entertainment," ujarnya.
Menjelaskan lebih lanjut, dia memberitahu single pertama mereka diberi judul Flirting.
GUSTI ARYA mahu mencuba nasib di Malaysia dengan berkolaborasi bersama Sherry Ibrahim dan Dafi.


Katanya: "Sejujurnya, saya suka bekerjasama dengannya. Ini kali pertama Sherry rakam lagu, jadi apa yang saya dapat lihat, dia memang sangat bersungguh-sungguh ingin lakukannya," tuturnya yang juga akan berduet bersama Dafi.
Bercerita tentang perjalanan karier muziknya, kata Gusti, dia sering bekerjasama dengan abangnya dalam menggubah dan menulis lirik lagu. Bercerita tentang genre Flirting pula, Gusti telah memilih untuk digubah dalam genre elektro pop yang kedengaran sedikit moden.
"Pengarah muzik bagi lagu-lagu saya ialah abang saya sendiri, Gusti Bayu, yang menggubah dan menyusun kesemuanya. Saya dan abang saya seperti tidak dapat dipisahkan kerana kami sering bermain muzik bersama-sama.
"Dahulu, kami ada sebuah kumpulan yang dipanggil Maniac namun kini semuanya telah berpecah kerana mempunyai komitmen masing-masing.
"Sekarang hanya tinggal saya dan abang dan kami masih meneruskan perjuangan muzik kami dengan menjadi deejay di kelab-kelab," ceritanya tentang perjalanan karier muziknya dahulu dan kini.
Ditanya tentang mengapa ingin meluaskan cabang kariernya, tutur Gusti, dia sememangnya menggemari bidang muzik.
Justeru, sebagai seorang yang masih muda, tidak salah untuk dirinya mencuba dalam pelbagai bidang. Tambah Gusti, dia akan sentiasa positif diri dan sentiasa berusaha untuk mempersembahkan muziknya bukan sahaja di Indonesia malah di Malaysia.
Selain bidang nyanyian, bicara Gusti, dia juga pernah ditawarkan berlakon di Indonesia. Bagaimanapun, jelasnya, jika ingin melibatkan diri dalam bidang lakonan, dia memerlukan tunjuk ajar daripada pakar.
"Saya juga banyak terima tawaran berlakon di Indonesia namun saya rasa ia belum lagi menjadi bidang saya. Saya berani bercakap dan yakin jika ia tentang muzik namun, jika lakonan, saya mungkin perlu dilatih oleh profesional jika benar-benar mahu berlakon," katanya yang juga seorang model iklan di Indonesia.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: