Wednesday, September 25, 2013

Melancong lebih mudah dengan Google Street View


SETAKAT ini sebanyak 18 lokasi pelancongan di negara ini telah dimuat naik ke peta Google sejak dilancarkan di ibu negara baru-baru ini.


SELEPAS melakukan pemetaan dan merakamkan ratusan imej ikonik di lebih 50 buah negara di seluruh dunia, syarikat enjin carian internet terkemuka, Google Inc. (Google) akhirnya membawa aplikasi Street View ke Malaysia.
Bermula dengan 18 lokasi pelancongan utama di seluruh negara, aplikasi itu dijangka memberi dimensi baharu kepada pelancong untuk melihat kepelbagaian dan keunikan Malaysia dengan lebih dekat.
Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, Street View merupakan aplikasi popular di peta Google yang membolehkan orang ramai meneroka secara maya bahagian peta melalui imej panorama 360 darjah pada paras jalanan.
Bagi tujuan itu, katanya, Google turut memperkenalkan Street View Trekker, sistem kamera terbaharu dalam barisan Street View dan Street View Trolley, sistem kamera kenderaan beroda tiga ke Malaysia.
"Buat permulaan terdapat 18 lokasi pelancongan utama di negara ini yang telah dimuat naik ke peta Google dan jumlahnya akan ditambah dari semasa ke semasa.
"Aplikasi ini bukan sahaja mampu mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan di negara ini tetapi juga memberi impak ekonomi untuk jangka masa yang panjang," katanya ketika pelancaran aplikasi itu di ibu negara baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohamad Taiyab.
Tambah Sajith, Google berusaha sedaya upaya melindungi privasi pengguna dalam peta Google melalui ciri-ciri khas Street View.
Antaranya, teknologi canggih yang dapat mengaburkan wajah manusia dan plat lesen kenderaan pada imej yang dirakam agar ia tidak dapat dikenal pasti.
"Google juga sangat responsif terhadap sebarang aduan yang diterima daripada orang ramai pada masa hadapan demi memastikan privasi mereka sentiasa terpelihara," jelasnya.
Sementara itu, Mirza berkata, aplikasi terbaharu itu memberi nilai tambah kepada pelancong yang mahu melancong ke negara ini pada masa hadapan.
"Melalui imej panorama 360 darjah mereka berupaya gambaran lebih jelas mengenai sesebuah lokasi pelancongan.
"Misalnya, mungkin di sekitar imej itu terdapat restoran, kedai runcit dan perhentian teksi dan sebagainya yang memudahkan pelancong merancang perjalanan mereka," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: