Friday, September 27, 2013

Polemik kemalangan di taman trampolin


PENGUSAHA-PENGUSAHA gimnasium trampolin percaya ia merupakan tempat yang selamat dan menawarkan ruang bagi golongan dewasa dan kanak-kanak berlatih.


SETELAH tamat pengajian di sebuah kolej tahun lalu, Stephen Merrill dan rakan-rakannya berkunjung ke sebuah taman trampolin tertutup di Utah, Amerika Syarikat.
Trampolin ialah alat berupa helaian kanvas yang direntangkan dan diikat pada pemidang dengan menggunakan spring, terutamanya digunakan oleh ahli gimnastik dan akrobatik untuk melakukan lompatan, lonjakan atau balik kuang.
Mereka menghabiskan masa sehari suntuk dengan melompat dan melantun di taman tersebut.
Merrill cuba melompat dari sebuah platform ke arah lubang yang dipenuhi blok gabus. Namun, aksi terjunan tersebut bertukar tragedi apabila kepalanya mendarat terlebih dulu. Akibatnya, Merrill mengalami kecederaan di leher sekali gus menyebabkan dia lumpuh dari leher hingga bahagian bawah badan.
Tragedi tersebut memberi amaran kepada para doktor dan pegawai-pegawai kerajaan mengenai bahaya melompat di atas trampolin dari jarak tinggi. Sehubungan itu, mereka meminta pihak berkaitan mengawal selia taman trampolin tertutup itu.
"Kemalangan seperti itu boleh berlaku termasuk kecederaan yang dahsyat. Seolah-olah aspek keselamatan diabaikan," kata Merrill, 22, tentang kejadian yang menimpanya di Provo, Utah.
Merujuk kepada pelbagai kejadian yang membabitkan patah leher, tulang kaki hancur dan kematian, sesetengah doktor berpendapat, taman seumpama itu berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan serius.
Sehubungan itu, pihak berkuasa mula memberi perhatian dengan mencadangkan beberapa peraturan baharu dan ia dimulakan di Utah dan California. Peraturan-peraturan itu bagi menangani kebimbangan terhadap tahap keselamatan di taman tersebut.
Bagaimanapun, beberapa pengusaha gimnasium trampolin mendakwa kecederaan teruk sebenarnya jarang berlaku dan kebimbangan terhadap tahap keselamatan sering memuncak tanpa sebab.
Gudang gergasi
Mereka mendakwa, kadar kecederaan aktiviti trampolin masih rendah berbanding sukan-sukan popular lain seperti besbol atau bola sepak. Gimnasium pada pandangan mereka merupakan ruang untuk orang dewasa dan kanak-kanak menjalani latihan.
Taman itu seperti sebuah gudang gergasi yang dipenuhi dengan siri trampolin yangi membolehkan pengguna melompat sesuka hati. Sesetengah taman trampolin mempunyai sudut cerun sehingga bahagian sisi dan lubang dipenuhi blok gabus bersaiz batu-bata.
Industri itu telah berkembang dengan pesat di Amerika Syarikat. Kini terdapat sebanyak 160 gimnasium trampolin di seluruh dunia, ujar ASTM International, sebuah organisasi piawaian pembangunan antarabangsa.
Bagi memastikan keselamatan pengguna, ramai kakitangan gimnasium direkrut untuk menjaga kawasan sekitar trampolin seperti pegawai keselamatan. Selain itu, peraturan-peraturan tertentu turut dikuatkuasakan. Kepada pelompat pertama kali mereka dimestikan menandatangani perjanjian pengecualian.

MERRILL kini lumpuh dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak.


Bagaimanapun, para pengamal perubatan jabatan kecemasan di salah satu daerah di Utah memberitahu, tindakan tersebut masih tidak memadai. "Anda akan lihat akibatnya, luka terbuka akibat kecederaan berhalaju tinggi," kata Pengarah Trauma Pusat Perubatan Daerah Utah Valley, Dr. Craig Cook.
Luka tersebut ibarat luka akibat peperangan atau kemalangan kenderaan. Kakitangan jabatan trauma hospital itu berkata, berdasarkan rekod, mereka menyaksikan 52 kecederaan yang memerlukan rawatan pelbagai pakar dari Mei 2011 sehingga November 2012.
Kebanyakan pesakit terdiri daripada lelaki muda yang berusia 19 tahun. Mereka mengalami kecederaan seperti terkehel kaki, pendarahan otak dan lumpuh.
Misty Uribe, yang menguruskan Sukan Udara Lowes Extreme berhampiran Provo berkata, pusatnya hanya berdepan beberapa kes kecederaan berbanding bilangan peserta iaitu satu kecederaan utama bagi setiap 20,000 peserta.
Uribe memberitahu, Merrill mengalami kecederaan kerana lompatannya tidak mengikut peraturan. Namun, pihaknya tetap mengambil langkah-langkah keselamatan bagi memastikan lubang itu lebih selamat.
Lembaga Kesihatan Daerah Utah sedang menimbangkan cadangan menetapkan gimnasium mesti menyelia aktiviti-aktiviti yang dijalankan, melaporkan kadar kecederaan dan memberi amaran kepada pelompatmengenai risiko aktiviti tersebut.
"Kami mempunyai kewajipan untuk memberitahu orang ramai tentang risiko keselamatan apabila ia terbuka kepada orang awam," kata Pengarah Eksekutif Jabatan Kesihatan Daerah Utah, Dr. Joseph Miner.
Faham risiko
Cadangan Utah dimodelkan daripada undang-undang yang belum selesai di California. Ia akan menyelitkan satu program pengawasan dengan peraturan yang sama seperti taman hiburan, ditambah dengan syarat-syarat mengenai insurans, latihan pekerja dan laporan kecederaan.
Rang undang-undang itu disarankan oleh seorang wanita yang kehilangan anak berumur 30 tahun selepas lehernya terlanggar tiang trampolin di taman Arizona pada tahun 2012.
Di Orem, gimnasium Get Air Hang Time telah meletakkan papan tanda amaran tentang risiko yang terlibat. Pada masa sama, peserta perlu menandatangani surat pengecualian dan menonton video keselamatan yang disediakan sebelum melakukan aktiviti.
"Kami berusaha memastikan pengguna memahami risiko yang wujud dalam aktiviti ini sama seperti aktiviti rekreasi yang lain," kata Harun Cobabe.
Katanya, gimnasium itu dikunjungi lebih 150,000 pelawat sejak Julai 2012 hingga Julai 2013. Dalam tempoh itu, hanya 11 kes kecederaan teruk yang memerlukan rawatan doktor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: