- Tok Mat Janggut bersama Hamzah memeriksa dan mengeringkan akar kayu yang baru dibasuh dan dijemur untuk beberapa hari.
Bagi Awang Hamad Kamis, 77, dari Kampung Kubang Palas, dekat sini, dia sudah biasa dengan kehidupan dalam hutan.
Dia dilahirkan di Kampung Sura dan sehingga hari ini, hutanlah menjadi sumber rezeki bagi membesarkan 18 anaknya.
Menurut Awang Hamad atau lebih dikenali dengan nama Tok Mat Janggut, dia mula mencari akar kayu sejak tinggal bersama bapanya, Kamis Dolah.
Katanya, semasa muda dia selalu mengikut bapanya mencari akar kayu hingga kadang kalanya terpaksa bermalam di dalam hutan.
“Selepas bapa meninggal dunia, saya dan anak lelaki mengambil alih tugas ini bagi mencari akar kayu hingga di Empangan Pedu dan Empangan Ah Ning, malah kadang kalanya hingga ke sempadan Thailand,” katanya.
Mulut kena jaga
Tok Mat Janggut berkata, pekerjaan itu memberi banyak cabaran dan ia memerlukan keberanian.
"Apa yang penting bila masuk hutan, mesti menjaga mulut dan niat turun dari rumah kita ialah hendak mencari rezeki yang halal untuk membesarkan anak-anak,” katanya.
Bagaimanapun, dia juga tidak terlepas dari cubaan terutamanya ketika bermalam di hutan bagi mencari khazanah perubatan Melayu asli itu.
“Pernah saya dan seorang kawan terpaksa bermalam kerana letih berjalan kira-kira enam jam dalam hutan selepas turun dan naik bukit. Sebelum tertidur, kami terdengar seperti bunyi perempuan mengilai.
"Kemudian terdengar pula seperti perempuan membaca al-Quran yang sungguh sedap didengari dan langsung tidak menimbulkan rasa seram apabila mendengarnya,” katanya.
Tok Mat Janggut berkata, pernah semasa mencari akar kayu itu dia dan rakan berjalan kaki hingga terjumpa perkampungan komunis di sempadan pada 1970-an dahulu.
Bagaimanapun mereka tidak melakukan sebarang tindakan, malah turut memberi tunjuk ajar akar kayu yang boleh digunakan untuk perubatan.
Peranan diambil alih anak
Oleh kerana usianya semakin tua, peranan mencari akar kayu diambil alih oleh anaknya, Hamzah.
Terdapat beratus-ratus akar kayu di dalam hutan ini yang menjadi buruan pengamal perubatan Melayu asli dan di antaranya ialah letup kelambu, akar pembadan minyak, akar kencing gajah, akar gajah beranak dan akar tuba limau.
Tok Mat Janggut berkata, segala akar kayu yang diambilnya itu tidak akan dijual dan hanya untuk kegunaannya sendiri, bagi menghasilkan pelbagai jenis ubat untuk orang ramai.
"Saya belajar buat ubat ini dari emak kerana dahulunya dia seorang bidan kampung yang tahu tentang khasiat akar kayu untuk perubatan.
“Di samping itu juga, saya juga mampu mengurut terutamanya kepada golongan lelaki yang menghadapi masalah rumah tangga dan membekalkan pelbagai ubat berasaskan akar kayu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: