MELIHAT pada jumlah penerbitan buku dan novel pelbagai genre yang terdapat di pasaran, boleh dikatakan industri penulisan di Malaysia pesat berkembang.
Malah, kehadiran ramai penulis yang tampil dengan gaya penulisan tersendiri menjadikan dunia pembukuan bertambah meriah dan menarik.
Menurut Pegawai Bahagian Penyelidikan Perpustakaan, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Mohamad Zaki Yusof, statistik penerbitan buku mengikut Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) bagi tahun 2012 menunjukkan sebanyak 19,171 judul buku telah diterbitkan.
"Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2013 pula, sebanyak 13,843 judul penerbitan telah diterima. Secara keseluruhan, kumulatif penerimaan penerbitan sejak pelaksanaan Akta 331 ini adalah sebanyak 259,692 judul penerbitan," katanya melalui satu temuramah melalui e-mel dengan Kosmo! baru-baru ini.
Bagaimanapun, dalam aspek penerbitan buku-buku ilmiah, negara kita belum mencapai standard yang ditetapkan dan bahan bacaan berkaitan masih kurang di pasaran.
Perkara ini diakui oleh Pengarah Unit Penerbitan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dr. Asiah Sarji, 63.
Ujar beliau, Malaysia masih belum mampu memenuhi tahap yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam konteks penerbitan buku-buku ilmiah untuk mencapai tahap negara maju.
"Standard UNESCO menetapkan 1,000 judul buku bagi setiap sejuta penduduk. Ini bermakna, setiap tahun Malaysia perlu menghasilkan 27,000 judul bagi bahan bacaan berbentuk ilmiah.
"Pada tahun 2008, bilangan judul buku ilmiah yang diterbitkan lebih 16,000 manakala pada tahun 2009 pula sekitar 15,700. Justeru, kita masih ada enam tahun lagi untuk mencapai standard itu menjelang tahun 2020," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!
Tambah Asiah, saya percaya kita mampu melakukannya sekiranya ada sokongan padu dalam aspek belanjawan yang diperuntukkan kepada pihak universiti. Ia termasuk menyediakan infrastruktur dan tenaga manusia yang mencukupi.
Penyunting
Maklumnya, kerja-kerja penerbitan bahan ilmiah memerlukan tenaga mahir yang tinggi dan berkualiti. Sebagai contoh, untuk mendapatkan penyunting yang mahir dalam bahasa Inggeris sangat sukar berbanding penyunting Bahasa Melayu.
"Selain itu, setiap penyunting juga bukan sekadar mahir dalam aspek bahasa bahkan haruslah mewakili pakar dalam setiap bidang buku yang diterbitkan. Semua pihak perlu melipatgandakan sokongan mereka untuk membantu Jabatan Pengajian Tinggi memenuhi keperluan itu.
"Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh ketinggalan dalam penerbitan buku-buku elektronik (e-book) yang lebih digemari generasi internet masa kini," tuturnya lagi sambil memberitahu beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia sudah pun memulakan penerbitan e-book.
Diterajui oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mapim), setiap universiti yang mempunyai unit penerbitan masing-masing menjadi nadi penggerak untuk mengembangkan penerbitan buku-buku ilmiah.
Dalam pada itu, Pegawai Penerbitan Kanan, Penerbit UKM, Datin Saadah Jaffar, 53, memberitahu, kebiasaannya sambutan masyarakat terhadap buku-buku ilmiah kurang memberangsangkan.
"Berbanding bahan bacaan berbentuk hiburan seperti novel-novel cinta, buku-buku ilmiah terbitan pihak universiti kurang diminati. Ia mungkin disebabkan persepsi masyarakat yang menganggap buku ilmiah sukar difahami serta harganya yang agak mahal.
"Namun, buku-buku berbentuk negarawan dan budaya seperti Biografi Tun Abdul Razak: Negarawan dan Patriot dan Rupa dan Gaya: Busana Melayu berjaya menarik minat penggemarnya. Apa pun tahun lalu di UKM, kami berjaya menerbitkan lebih 100 judul buku berbanding 80 yang ditetapkan," ujar Saadah sambil berharap masyarakat akan lebih bersifat terbuka untuk membeli bahan bacaan ilmiah.
Sementara itu, Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku, Perbadanan Kota Buku (Kota Buku), Norhayati Razali memberitahu, pihaknya juga memainkan peranan sebagai pusat sehenti kegiatan pembukuan dan menjadi pusat pertemuan antara penulis, penerbit dan pembaca melalui penganjuran pelbagai aktiviti seperti seminar-seminar berkaitan di peringkat dalam dan luar negara.
"Selain itu, kami turut menggalakkan penerbitan karya-karya bersifat ilmiah, saintifik dan teknologi, selain memantapkan pembangunan sastera kanak-kanak di Malaysia untuk diangkat ke persada antarabangsa.
"Sehingga kini Kota Buku telah pun menerbitkan lebih 100 judul buku kanak-kanak dan ilmiah dalam bentuk e-book," jelasnya.
Tambah Norhayati, banyak program telah dilaksanakan oleh Kota Buku untuk menyemarakkan industri pembukuan di negara ini.
Antaranya, program latihan penulisan buku bergambar kanak-kanak, menyertai festival sastera kanak-kanak di Singapura dan China, mengadakan jualan buku@but kereta dan penganjuran seminar-seminar berkaitan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: