Sunday, September 22, 2013

Anuar Zain kekal eksklusif


ANUAR ZAIN semasa sidang media bersama wakil Kelab Sukan dan Kebajikan Perancangan Bandar dan Desa di Bangsar pada Selasa lalu.


PADA hari-hari biasa, suasana petang di sebuah restoran popular yang terletak di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur tidak semeriah seperti petang Selasa lalu. Kehadiran lelaki berkemeja putih yang diselimuti jaket kuning itu ternyata membawa aura ceria. Pada usia 43 tahun, dia masih mengusung pesona sebagai seorang bintang.
Anuar bakal mengadakan persembahan yang diberi nama Eksklusif Bersama Anuar Zain sempena Malam Jalinan Mesra 2013 anjuran Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia. Makan malam yang akan berlangsung pada 19 Oktober depan di Dewan Kristal 1 & 2, Pusat Konvensyen TM (TMCC), Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur itu bertujuan mengutip dana untuk diagihkan kepada badan kebajikan.
Selesai pengumuman rasmi yang menjadi teras pertemuan itu, Anuar cukup sedar, keterbukaan tentang karier dan kehidupan harus dikongsi lagi bersama khalayak.
Mencakupi konsert, pembikinan album baharu yang masih dalam proses, kegilaan membeli-belah, penjagaan kesihatan, tidak terkecuali isu media sosial dan hal berumah tangga, itu semuanya dijawab dalam nada profesional. Penyanyi yang terkenal dengan lagu Sedetik Lebih itu menyusun bicara penuh hemah, dan sesekali dia ketawa diusik soalan wajib yang sampai sekarang tidak bertemu jawapan konkrit.
Anuar mengaku, untuk kekal dan terus menyanyi sampai ke saat ini harus punyai strategi ampuh. Dia memutuskan menjadi seorang yang kekal menyimpan privasi dan pemilih dalam banyak perkara.
"Macam dalam soal media sosial, saya tiada Twitter, Instagram dan cuma ada satu akaun rasmi Facebook, Anuar Zain Network yang baru dibuka setahun lalu. Itu pun diuruskan oleh pihak pengurusan saya, saya selesa begini dan masih tidak berhajat mengikuti gaya hidup sebegitu," ujarnya melihat media sosial lebih banyak mengundang negatif berbanding positif.
"Apabila saya tiada Instagram atau Twitter, penaja kurang yakin terhadap jumlah peminat yang menyokong saya, tetapi selepas konsert pada Februari lalu, impaknya mula terasa. Alhamdulillah," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: