- Siti Nurhaliza berduet bersama Datuk M Daud Kilau pada konsert Lentera.
Malah, kehebatannya dalam menyampaikan irama ini tidak dapat disangkal lagi apabila beliau berjaya menghiburkan peminat setianya di Panggung Sari, Istana Budaya menerusi Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza, yang berlangsung selama empat hari dari 20 hingga 22 September dan bersambung pada 24 September ini.
Konsert yang mengangkat lagu-lagu tradisional dan menggabungkan pelbagai budaya masyarakat Melayu Timur turut diselitkan dengan pelbagai sketsa dan pastinya pengalaman lebih 18 tahun sebagai penghibur digunakan sebaik-baiknya bagi meninggalkan kesan yang mendalam buat peminatnya.
Tirai persembahan dimulakan dengan tarian terkenal Kelantan, iaitu Mak Yong dan Ala Dondeng yang sangat meriah. Ternyata usaha Siti itu benar-benar berjaya menarik perhatian semua penonton untuk fokus ke arah pentas, sementelah penyanyi jelita itu turut bersama menari.
Segmen diteruskan dengan mengetengahkan lagu-lagu tradisional kontemporari serta malar segar seperti Nirmala dan Kurik Kundi yang disampaikan dengan penuh warna-warni di samping 30 penari yang lengkap dengan busana tradisional menawan.
Kembara muzik Siti
Tidak berhenti setakat itu, penonton kemudiannya dibawa menelusuri pengembaraan muzik sepanjang Siti bergelar anak seni dengan lebih 25 lagu yang disampaikan dengan penuh bertenaga.
Menyampaikan medley lagu-lagu irama tradisional seperti Bunga Melur dan Mahligai Permata bagaikan mengimbas kembali sejarah dirinya.
Menepati gelaran penghibur nombor satu, Siti juga bijak berinteraksi sehingga membuatkan penonton turut menyanyi dan bergelak ketawa bersamanya.
Malah beliau sempat berseloroh menerusi segmen 'Orang Merajuk' menerusi lagu-lagu seperti Patah Hati, Janji dan Kau Pergi Tanpa Pesan, apabila membuat persamaan ketika merajuk dengan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.
Konsert dihangatkan lagi dengan beberapa lagu tradisional lain seperti Empat Dara, Hati Kama, Bahtera Merdeka, Balqis, Ya Maulai, Cindai dan Ketawalah Lagi.
Selain membuat kejutan menerusi lagu, Biarlah Rahsia dalam versi tradisional buat pertama kalinya, Siti turut menjayakan persembahan dikir bakat bersama Isey Fazlisham (protege Sabri Yunus) sebagai tukang karut.
Kelainan turut disaksikan pada acara selingan apabila lagu Beat It dari Michael Jackson disampaikan dalam versi tradisional, selain penampilan khas penyanyi legenda, Datuk M Daud Kilau dengan dua buah lagu iaitu Cik Mek Molek dan Laksamana Raja di Laut.
Diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), konsert yang diterajui Lokman Ghani ini turut mendapat sentuhan dua pengarah muzik ternama, Mohd Yazid Zakaria dan Aubrey Suwito.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: