BAGAI tidak terlihat dek mata, tanpa sedar akhbar kompak Kosmo! yang lahir pada tahun 2004 kini telah genap berusia sembilan tahun pada tanggal 30 Ogos 2013.
Meraikan ulang tahun tersebut dengan penuh gemilang, pemilihan tema merah menjadi perlambangan akhbar tersebut dalam kalangan pekerja Kosmo! yang bersemangat dan teruja meraikan peningkatan usia Kosmo! selaras dengan pengisian yang lebih komprehensif.
Bertempat di ruang legar pejabat Kosmo! yang terletak di aras tiga bangunan baharu Utusan, Kosmo! meraikan kedatangan usia sembilan tahun dengan majlis makan-makan yang diperhangatkan oleh persembahan empat orang penyanyi.
Bergemuruh bangunan apabila menyaksikan Amy Search, Nomad, RJ serta kumpulan GLP menghiburkan seisi warga kerja Utusan dengan untaian lagu hit mereka.
GLP yang dianggotai oleh lima anak muda berbakat besar memulakan persembahan sebelum pentas diambil alih oleh Nomad yang 'tidak berkira' untuk mendendangkan lagu hitnya, Tetap Menantimu sebanyak dua kali atas permintaan peminatnya.
Majlis menjadi bertambah riuh sebaik rapper RJ menguasai pentas bersama rakan duet bidang terjunnya yang juga wartawan Sukan Kosmo!, Nan Hidayat Nan Azmie untuk lagu hit Teman Pengganti.
Paling mengujakan lebih 500 kakitangan dan tetamu apabila Amy Search menawan pentas dengan dua lagu malar segar, Rozana dan Isabella.
Bercakap mengenai Kosmo!, Amy Search melahirkan rasa kagum dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu yang mampu bersaing dengan akhbar-akhbar sedia ada.
"Pertama sekali saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Kosmo! kerana pada usia yang masih muda, akhbar ini terus berkembang dengan baik dan mempunyai pengisian yang boleh dibanggakan.
"Selamat ulang tahun yang kesembilan kepada seluruh warga Kosmo! yang telah berusaha keras. Ternyata semangat kental yang ditunjukkan berbaloi dan membuahkan hasil," ujarnya.
|
Sementara itu, RJ atau nama sebenarnya Mohd. Helmy Hamdan berpendapat bahawa Kosmo! sudah banyak memainkan peranan mempromosikan artis tanah air.
Jelasnya, sepanjang enam tahun bergelar pegawai perhubungan awam bersama syarikat Monkey Bone dan menguruskan kerjaya beberapa penyanyi seperti Faizal Tahir, Tomok dan Shiha, pihaknya memang mempunyai hubungan yang baik dengan Kosmo!.
"Dari segi pengisian untuk ruangan hiburan, ia memang cukup padat dengan pelbagai cerita yang menarik. Disebabkan itu akhbar ini sentiasa menjadi pilihan para pembaca," jelasnya yang popular menerusi lagu Teman Pengganti.
Bagi penyanyi Nomad yang popular menerusi lagu Tetap Menantimu dia melihat akhbar Kosmo! padat dengan berita tentang isu-isu terkini tanah air dan antarabangsa.
Ujarnya, Kosmo! juga sememangnya menjadi bahan bacaan yang paling sesuai terutamanya kepada generasi muda kerana penggunaan ayat yang ringkas dan mudah difahami.
"Selain itu, akhbar ini telah banyak memberi ruang kepada artis-artis baharu seperti saya sendiri untuk mempromosikan diri. Ia merupakan satu penghargaan yang tidak terhingga sebagai artis baharu," ujarnya.
Wakil kumpulan GLP, Nazif yang ditemui mengakui semakin banyak peningkatan yang dilihat sepanjang menjadi pembaca setia akhbar Kosmo!.
"Semakin banyak perubahan yang telah berlaku terhadap akhbar ini. Selain penulisan yang mudah dan ringkas, saya turut tertarik dengan reka letaknya yang ringkas dan cantik," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: