SELEPAS berkahwin, Bront masih menyorokkan identiti isterinya kepada umum.
|
SEPANJANG bergelar seorang anak seni, nama pelakon Bront Palarae atau pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, jarang dikaitkan dengan cerita-cerita sensasi.
Namun begitu, baru-baru ini Bront menjadi sebutan ramai apabila merahsiakan tentang perkahwinannya yang dilangsungkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada 31 Ogos lalu.
Mengambil pendekatan untuk mengunci mulut dan enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi sebelum ini, akhirnya pelakon filem Psiko Mencuri Hati itu telah membuat pengakuan.
Ketika membuat kemunculan dalam pratonton telefilem NY Cinta kelmarin, Bront lantas diserbu oleh pihak media untuk bertanyakan lebih lanjut berhubung perkahwinannya.
Kosmo!: Apakah yang membuatkan Bront begitu rahsia apabila mendirikan rumah tangga?
Bront: Saya tidaklah berniat untuk merahsiakannya kerana beranggapan diri ini tidak popular. Kalaulah saya ini popular tentu setiap filem lakonan saya akan mendapat sambutan di pawagam. Jadi, saya merasakan perkahwinan saya ini tidak mempunyai nilai berita kepada orang ramai. Upacara pernikahan yang berlangsung juga hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Setelah cerita perkahwinan tersebut tersebar, anda memberi alasan mahu menjaga hati ramai pihak apabila bertindak merahsiakannya. Bagaimanapun ada desas-desus yang mengatakan anda pernah berkahwin dahulu. Boleh komen mengenai perkara berkenaan?
Ini merupakan perkahwinan saya yang pertama dan cerita saya pernah berkahwin sebelum ini memang tidak benar. Kalau tidak percaya boleh sahaja periksa di pejabat agama.
Bagaimanakah pula dengan majlis resepsi perkahwinan anda?
Pada mulanya kami memang sudah merancang untuk mengadakan majlis resepsi di Kuala Lumpur, tetapi dengan apa yang berlaku sekarang ini rasanya ia tidak akan direalisasikan. Majlis resepsi saya nanti hanya akan berlangsung sekali iaitu di Hatyai, Thailand sekitar hujung tahun ini. Kalau ada rakan-rakan media yang ingin buat liputan, saya sangat mengalu-alukan kehadiran anda semua.
Adakah anda sudah sedia memperkenalkan isteri di khalayak umum atau membawanya ke acara-acara hiburan?
Saya tidak keberatan kalau dia ingin ikut saya ke acara hiburan, cuma isteri saya ini memang tidak mahu dikenali ramai dan lebih suka 'low profile'. Kalau dia menolak ajakan saya untuk membawanya, sudah tentu saya menghormati permintaannya itu.
Kalau tidak keberatan boleh beritahu nama dan identiti sebenar isteri anda?
Saya minta maaf kerana belum masanya untuk mendedahkan kepada umum lagi. Apa yang boleh dijelaskan, kami memang sudah lama kenal antara satu sama lain sejak tahun 1999 dan dia bekerja di sebuah agensi pengiklanan.
Bagaimanakah kehidupan anda setelah berumah tangga?
Rasanya tiada sebarang perubahan yang terlalu ketara, kecuali kehidupan yang lebih terurus sekarang. Apabila sudah bergelar suami pastinya tanggungjawab akan menjadi lebih besar. Kalau ditanya tentang zuriat pula, saya dan isteri tidak merancang apa-apa dan semuanya terserah kepada Allah untuk memberi kami anak sama ada cepat atau lambat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: