|
PUKUL 2 pagi, lensa kamera jurufoto Kosmo!, Wahidin Salim masih membidik sasaran di sebuah kamar merah bercirikan hiasan kayu di Philea Resort & Spa, Melaka.
Shae dan Mark masih mampu mengukir senyum walaupun masing-masing kepenatan menghiburkan 20,000 audiens di Konsert Eravaganza yang berlangsung lewat petang hari sama di Stadium Hang Jebat.
Tenaga energetik yang disalurkan Shae diserap Mark yang lebih banyak menguntum senyum manis pada mulanya. Ia sehingga masing-masing secara santai memulakan bicara.
"Shae ini seorang penyanyi yang bagus, ada suara yang unik dan berbakat besar. Kamu contoh artis yang mampu menyesuaikan diri untuk pasaran antarabangsa sebenarnya," puji Mark sambil membetulkan kusyen.
Shae mengatur langkah berhati-hati sambil meletakkan secangkir teh pudina panas buat Mark di meja sisi. Balas Shae: "Mark seorang yang sangat serius.
"Kehidupan dirinya sebagai artis sudah sempurna tapi dia masih sedar diri."
Lantai pasir
Mungkin ramai yang salah anggap Mark penyanyi luar negara yang berjaya mencuri perhatian peminat di Malaysia sama seperti Shae.
Tapi tekaan itu meleset kerana Mark atau nama penuhnya Fikri Mark Adam, 34, sudah memiliki status warganegara tetap dan kad pengenalan sah sejak tahun lalu selepas lebih 12 tahun menetap di Malaysia.
Membuka cerita pada awal kedatangan Mark ke Malaysia sekitar tahun 2000, kerjaya sebagai penyanyi di sebuah hotel di Sabah hanya sekadar cukup makan.
Mahu untuk dia menyertai pelbagai rancangan realiti nyanyian namun halangan utama kata Mark kerana status kewarganegaraannya.
"Saya mula menyanyi pada umur 8 tahun lagi dan mula diperhatikan apabila memenangi Battle of Champion di Cebu City, Filipina pada usia 12 tahun.
"Sejak daripada itu saya tidak berhenti menyanyi kerana ini mata pencarian menyara kehidupan keluarga saya yang sangat susah.
"Selepas dua tahun di Malaysia, saya berkahwin dan memohon warganegara tetap selama enam tahun. Syukur akhirnya saya berjaya memiliki status yang sah kini," cerita Mark.
SHAE mengeluarkan kenyataan balas tentang gosip hubungannya dengan penyampai Era FM, Shac.
|
Mark dalam nada sebak berkongsi kehidupan keluarganya di Filipina. Pernah suatu ketika dahulu dia sekeluarga terpaksa menetap di kawasan setinggan yang rumahnya berlantaikan pasir di Cebu City.
Oleh kerana itu, Mark memanjatkan kesyukuran setelah kompas hidupnya berubah 360 darjah kini. Tidak pernah dia menyesali akan kehidupan lampau tapi tutur Mark dia mahu jadi yang terbaik buat keluarganya.
Negara satu dunia
Kenapa berpindah ke Malaysia? Mark terdiam seketika sebelum menyambung bicara. Kata guru vokal di The Singing Shop, Petaling Jaya itu kecintaan terhadap Malaysia telah mengatasi segalanya.
"Budaya di sini (Malaysia) terlalu berharga buat saya. Seolah-olah satu dunia berhimpun di negara ini dan segala-galanya sudah tersedia," ujarnya yang pasti akan pulang ke Filipina setahun sekali.
Mark yang bernaung di bawah label Mixology Music mula mencuri perhatian peminat menerusi single dwibahasa berjudul Pencuri atau versi asalnya dalam bahasa Inggeris, Thief.
"Apabila mencipta lagu, saya membayangkan mengenai seseorang yang boleh dihubungkan menerusi lagu itu. Pencuri adalah sebuah lagu cinta dan tiada pengertian spesifik.
"Begitu juga lirik akhir lagu ini yang saya biarkan tergantung dan kisah ini tiada penghujung," katanya yang pernah muncul menerusi single Sampai Nanti tahun lalu.
MARK sebenarnya berasal dari Filipina.
|
Duet dengan Ella
Sambil Shae mengemaskini jadual perjalanannya sepanjang lima hari di Malaysia, satu soalan singgah kepada penyanyi kacukan Australia-Riau itu; pernahkah terfikir untuk berpindah ke Malaysia suatu hari nanti seperti Mark?
"Saya tidak merancang lagi untuk berpindah ke Malaysia kerana keluarga saya masih di sana dan karier saya juga baru bermula. Lagipun, untuk berpindah bukan mudah dan memerlukan satu proses yang panjang," jelasnya.
Masuk kali ini sudah lapan kali Shae berkunjung ke Malaysia belum sampai tempoh setahun, katanya kesempatan yang diberikan itu perlu digunakan sebaik mungkin.
"Saya tidak sangka sebenarnya populariti boleh naik secepat ini. Jujurnya, kalau diberikan peluang saya tidak boleh pandang rendah kerana ini masa depan saya.
"Saya rasa seronok apabila sibuk ke sana ke sini dan masih ada banyak perkara untuk diselesaikan di Malaysia mahu pun Indonesia. Apabila usaha lebih baru dapat melihat hasil bukan?" ujarnya.
Shae yang telah merakamkan single Sayang bersama ratu rock negara Ella kini sedang sibuk mengadakan siri jelajah sekitar Indonesia mengakui industri hiburan sangat berdaya saing.
"Tidak pernah saya terfikir saya sudah berjaya dan saya tidak boleh berkata 'ya, saya kini telah berjaya'. Jauh lagi perjalanan saya dan banyak lagi perkara yang saya belum terokai," getus empunya nama Sheryl Gething.
Cinta & Shac
Pernah suatu ketika dahulu kisah Shae dikatakan bercinta dengan penyampai radio Era FM, Shac menjadi bahan bualan apabila kedua-duanya kelihatan semakin intim.
Bagaimanapun, tegas Shae, hubungannya bersama Shac tidak lebih sekadar berkawan dan lebih selesa untuk meneruskan hubungan seperti mana sekarang.
"Pertama kali kami berjumpa ketika di konti radio Era FM dan kami terus rapat sampaikan kami tidak sedar sudah bersedia ke udara ketika sedang rancak bersembang.
"Memang kami kerap berjumpa tapi kami tiada sebarang hubungan serius. Saya tidak gemar orang gosipkan perkara yang tidak tepat," tegas Shae.
Sibuk menguruskan kerjaya mana mungkin Shae punyai masa untuk mencari cinta. Tapi di 'bule kampung' itu menetapkan satu falsafah dalam dirinya.
"Buka mata, buka hati. Tidak perlu pilih-pilih kawan dan apa saja yang terjadi biar terjadi kerana reaksi emosi.
"Cinta itu jangan dicari sebaliknya biarkan datang sendiri, setiap manusia dicipta untuk melakukan kesilapan dan belajar daripada kesilapan itu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: