|
NAMA Aeril Zafrel sebagai pelakon yang biasa-biasa tiba-tiba menjadi mahal apabila berita serta gambar-gambar lakonannya bersama aktres Hollywood, Christina Ricci mula diperkatakan sejak Mei lalu. Ramai yang terkejut bercampur bangga apabila jejaka berusia 26 tahun itu mampu memikat produksi antarabangsa. Bukan sekadar terselit dalam produksi luar negara, sebaliknya dia dipilih sebagai pelakon utama filem yang masih dirahsiakan judulnya itu.
“Itu rezeki yang tidak disangka-sangka. Kebetulan mereka mahukan pelakon lelaki berwajah Asia. Filem itu mengisahkan seorang wanita Inggeris yang jatuh cinta dengan lelaki Asia. Namun, percintaan mereka dihalang oleh keluarga wanita itu. Rupa-rupanya, ibu wanita berkenaan mempunyai sejarah hitam bersama lelaki dari Asia. Ceritanya semacam Romeo dan Juliet,” getus Aeril merendah diri.
Selesai penggambaran filem berkenaan pada hujung Ramadan lalu, kata Aeril, pengalamannya berlakon produk luar negara sangat berbeza.
“Mereka ada masa dan bajet untuk dapatkan visual yang dimahukan. Selepas penggambaran fasa pertama, saya diberi waktu untuk kuruskan badan. Sebab itulah, boleh terlibat untuk penggambaran lain di Malaysia. Selesai drama Cinta Jannah, saya ke London semula pada hujung Ramadan lalu dan terpaksa berhari raya di sana untuk menyambung penggambaran,” katanya yang kini sedang memperkemaskan persediaan fizikal dengan seni mempertahankan diri demi penggambaran sebuah filem aksi tidak lama lagi.
Tambah Aeril: “Sebenarnya, ada dua buah filem, satu genre aksi dan satu lagi bercorak seram. Pada awal tahun depan, saya akan ke Indonesia untuk penggambaran sebuah filem bersama produksi di sana berjudul Sabda Kekasih. Ia merupakan sebuah filem islamik.”
Bercakap tentang islamik, pelakon yang menjadikan pembelajaran agama sebagai rutin mingguannya itu tidak pernah menjadikan agama sebagai halangan untuk berlakon.
“Asalkan, pihak produksi boleh bertolenrasi, saya okey. Pada setiap Jumaat, kalau boleh, saya tidak mahu ambil sebarang komitmen kerja kerana itu merupakan waktu saya bertemu guru agama saya. Tapi, kalau ada hal penting yang tidak dapat dielakkan, ia masih boleh dibawa berunding. Begitu juga soal sensitiviti,” katanya yang kini hangat menerusi drama bersiri Cinta Jannah di TV3.
Melakonkan watak Izaryl, Aeril cuba untuk membuat graf lakonan agar penonton dapat melihat turun naik emosi watak berkenaan.
“Saya suka dengan permainan dan skrip drama berkenaan. Watak Izaryl juga tidak tipikal,” katanya yang dilihat semakin matang dari segi pengurusan kariernya.
Tidak lagi berada di bawah pengurusan MIG, Aeril menganggap apa yang berlaku di antara dirinya dengan pengurusan MIG khususnya David Teo telah selesai dan sudah tiada isu untuk dibangkitkan.
Dia yang baru-baru ini dikatakan sedang menjalin hubungan cinta dengan pelakon MIG, Wawa Zainal juga tidak mahu memberikan jawapan konkrit berhubung angin cinta yang sudah dihidu ramai itu.
“Saya dan Wawa memang berkawan baik. Kami berkawan sejak terlibat dalam drama Klik beberapa tahun lalu hinggalah sekarang. Soal Wawa meninggalkan kereta di rumah saya juga bukan isu yang besar. Wawa pulang ke rumah keluarga di Sabah dan saya diamanahkan untuk menjaga kereta dia. Saya tidak mahu cakap tentang soal cinta, tapi itu semua terserah kepada kepada jodoh yang ditentukan Allah,” tutup Aeril bersopan seraya tertawa kecil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: