Sunday, September 8, 2013
Momen bersejarah Yunalis Zarai
WANITA muda itu membuka Panggung Sari dengan persalinan merah jambu lengkap berturban. Tanpa diperkenalkan, imej itu sahaja sudah cukup untuk memperkenalkan figura muzik yang sedang meluaskan empayar pengaruhnya di persada antarabangsa, Amerika Syarikat (AS) itu.
Pemilik nama Yunalis Zarai ini yang tidak memerlukan banyak permainan pentas untuk menimbulkan kekaguman para penonton. Cukup dengan lontaran vokal yang tersendiri yang dialunkan dalam nada-nada yang melantun serta membuai-buai, Yuna mengunci tempat duduk penonton untuk hanyut selama dua jam menghayati dan menikmati melodi indah bersamanya.
Kemunculan Yuna bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) menerusi konsert sulungnya yang bermula pada Khamis lalu itu juga cukup untuk mengubat kerinduan peminat yang selama ini mengikuti perkembangan seninya sejak tujuh tahun lalu.
Khalayak yang pernah menyaksikan gig-gignya, melihatnya berulang-alik dari Kuala Lumpur ke AS, melompat dari sebuah syarikat rakaman di New York kemudian ke Los Angeles, rentetan itu dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa.
"Syukur dan saya sangat gembira kerana diberi peluang untuk merealisasikan salah satu daripada kemuncak impian saya iaitu beraksi di Istana Budaya. Walaupun saya sering berada di luar negara, konsert begini menjadi penghubung saya dengan peminat di tanah air," luahnya yang bersiram kepuasan.
Memilih Decorate, Favourite Thing dan Young yang barangkali masih kurang mesra pada pendengaran telinga sesetengah penonton sebagai introduksi, namun, tepukan kegembiraan tetap bergema. Menghidupkan ruang yang selesa, lagu Gadis Semasa menutup segmen pertama dengan sebuah rasa yang tidak cukup melegakan.
Berada di tengah-tengah penonton dan peminat di Istana Budaya mungkin berbeza dengan permintaan peminat Yuna di luar negara. Lantas, lagu Gelora Jiwa, Dan Sebenarnya serta Terukir Di Bintang dipersembahkan dalam komposisi dan susunan muzik bawah iringan OSK yang memberikan keharmonian halwa telinga yang begitu sempurna.
Dalam durasi dua jam itu, lagu-lagu lain yang dipersembahkan kebanyakkannya adalah daripada album Inggeris Yuna. Lagu-lagu daripada album terbaharunya Sixth Street iaitu I Wanna Go, Musician dan Right Again mudah melekat walaupun baru kali pertama ia diperdengarkan.
Selain itu, Live Your Life, Remember My Name, Stay, Lullabies dan dua lagu No Diggity (nyanyian asal Blackstreet) dan Let Love Come Through menjadi antara 20 buah lagu yang dipersembahkan Yuna dalam suasana yang manis.
Tanpa melupakan Penakut, Lelaki dan membawakan sekali lagi single baharunya, I Wanna Go, secara jujurnya, walaupun di pentas Istana Budaya, Yuna punya keyakinan yang cukup untuk membuang segala gemuruh ketika beraksi kali pertama. Di hadapan lebih 1,000 penonton, Yuna seperti dalam khalayak yang yang kecil. Dalam santai dan santun, dia menawan tanpa sedar.
Membelah momen indah konsert itu juga, Yuna merakamkan detik paling mengujakan untuk dikongsikan dengan peminat apabila membawa masuk komposer dan pemain gitar kumpulan rock terkenal AS, Mike Einzige daripada kumpulan Incubus sebagai pemuzik undangannya.
"Saya hampir tidak sabar untuk mengumumkan kejutan itu kepada peminat. Kemunculan Einzige menjadi momen terindah untuk konsert ini. Paling membuatkan saya seronok, Einzige sendiri yang menawarkan dirinya untuk terlibat dalam konsert ini," jelas Yuna yang kali pertama melihat Einzige dan Incubus di depan matanya sewaktu kumpulan itu menjayakan konsert di Kuala Lumpur pada tahun 2007.
Sebagai tanda penghargaan, selepas kolaborasi terbaharu mereka berdua iaitu Deeper Conversation, I Miss You menjadi pilihan untuk diiringi petikan gitar Einzige. Ia menyaksikan gabungan Yuna bersama pemuzik itu yang buat pertama kalinya disaksikan secara langsung oleh para peminatnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Yuna akan membuat dua lagi persembahan iaitu di Singapura dan Australia sebelum kembali ke Los Angeles untuk persiapan akhir bagi melancarkan album pertamanya di bawah naungan Verve Records.
Ditanya tentang impiannya jika berpeluang lagi kembali berkonsert di Istana Budaya, Yuna mengimpikan konsep teaterikal. Selepas konsertnya berakhir, Yuna menjadi artis ketiga yang mencatat jualan tiket paling laris selepas Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain. Yuna juga mencatat sejarah menjadi karyawan dan penyanyi paling muda beraksi solo di pentas yang menjadi impian ramai karyawan muzik itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: