Tuesday, September 10, 2013

Peraga, perkenal dan promosi tudung Fareeda



PESONA tiga wanita yang sibuk beraksi di hadapan lensa kamera betul-betul mencuri perhatian sesiapa sahaja.
Selang beberapa ketika, pantas sahaja mereka memberikan gaya berbeza memenuhi permintaan jurufoto.
Duta dan Jurucakap Fareeda House of Scarf (Fareeda), Mawar Abdul Karim, 23, sentiasa diapit juara pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda musim pertama dan kedua iaitu Norazaliah Ramli, 29, dan Suhaili Mohamad, 26.
Hubungan antara ketiga-tiga model tudung Fareeda begitu akrab sepanjang sesi fotografi berlangsung.
Tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang model, rutin Norazaliah yang lebih senang dipanggil Azalia kini berubah.
“Saya perlu menitikberatkan penampilan diri berbanding sebelum ini. Dari segi pengurusan masa, jika dulu kerjaya saya hanya di pejabat, kini saya perlu bijak membahagikan masa antara pegawai kerajaan dan juga model.
“Kesibukan dua kerjaya itu pula bukan alasan untuk saya mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu,” kata Azalia sambil memberitahu sesi fotografi biasanya akan diadakan selepas waktu bekerja.
Diangkat sebagai juara pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda musim pertama, tahun ini genap tiga tahun ibu kepada Damia Firdina Abdullah Faisal, 5, menjadi model tudung Fareeda.
Azalia mengakui perubahan penampilan sepanjang bergelar model memberinya keyakinan dan percaya kepada diri sendiri.

SUHAILI (tiga dari kiri) ketika dinobatkan sebagai juara Pencarian Model Tudung Fareeda bagi kategori bawah 40 tahun pada tahun 2011.


Usikan teman
“Kadang-kadang ada juga kawan-kawan yang mengusik di pejabat dan berkata, ‘Model datang, model datang, hanya model yang boleh menggayakan tudung atau baju tu, kita tidak sesuai’.
“Bagi saya penjagaan penampilan diri sangat penting terutama dalam membentuk imej diri supaya lebih berkeyakinan dalam melakukan sesuatu perkara,” ujarnya yang mendapat dorongan daripada suami tercinta, Abdullah Faisal Hillaluddin, 29.
Dari segi pemilihan tudung Azalia lebih menitikberatkan soal warna kerana warna memainkan peranan dalam personaliti seseorang.
“Ada yang bertanya kepada saya sama ada tudung Fareeda sesuai dengan mereka atau tidak. Begitu juga untuk menjadikan tudung tersebut sebagai hadiah. Biasanya, perkara pertama saya akan tanya ialah umur si penerima dan jenis tudung yang digemari.
“Tugas saya sebagai model Fareeda adalah untuk memperaga, memperkenal dan mempromosikan tudung jenama ini kepada peminat,” katanya yang kini membawa imej Fareeda di mana saja.
Dalam pada itu, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, Suhaili, begitu berhati-hati dalam penampilannya selepas menjadi juara Pencarian Model Tudung Fareeda musim kedua pada tahun 2011.
Anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui setiap tingkah lakunya akan dinilai oleh orang awam lebih-lebih lagi apabila menjadi model muslimah.
“Saya berjinak-jinak memakai tudung Fareeda sebelum mengetahui pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda dan setiap paten tudung keluaran Fareeda menjadi buruan saya.
“Tiada paten tudung yang spesifik kerana semuanya saya suka dan ia perlu disesuaikan mengikut situasi atau majlis,” kata graduan di Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia itu.

PRODUK keluaran Fareeda sememangnya menjadi pilihan kebanyakan kaum Hawa di negara ini.


Nama Suhaili mekar seiring dengan populariti jenama Fareeda.
“Rutin harian saya berubah dan saya perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan bidang peragaan.
“Jika, minggu itu saya terlalu sibuk dengan sesi fotografi, minggu berikutnya saya akan tumpukan perhatian dengan pelajaran, menghadap komputer atau berjumpa pensyarah,” ujarnya yang gemar membaca novel dan menonton wayang.
Ditanya sama ada dia pernah didatangi peminat untuk bergambar, Suhaili memberitahu, dia tiada masalah jika itu yang peminat inginkan selagi tidak menganggu ruang privasi dirinya kerana itu harga yang perlu dibayar setelah menjadi model.
Isteri kepada Mohd. Khairul Yusran Jafar, 31, itu menyimpan banyak kenangan manis sepanjang bersama Fareeda. Memori manis yang paling diingati ialah apabila dipilih untuk membintangi iklan televisyen dan papan iklan.
“Perbezaan paling ketara sejak menjadi model Fareeda ialah saya lebih berkeyakinan dalam melakukan sebarang tugasan yang diberi. Jika sebelum ini saya pemalu dan takut untuk menonjolkan diri, tetapi komitmen bersama Fareeda begitu memberi kesan kepada saya.
“Bagi wanita yang mahu menjadi model tudung Fareeda musim keempat, berusaha dan jangan putus asa. Paling penting, ikhlas dan bersihkan niat untuk menyertai pertandingan. Niatlah untuk sesuatu yang baharu dan bukan untuk mengejar glamor semata-mata,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: