Tuesday, September 10, 2013

Ancam kesihatan manusia




"BESARNYA tikus ini, mengalahkan anak kucing! Sudahlah berbulu-bulu, geli rasanya," rintih Bryan Adrian Narson, 11, kepada gurunya, Surianti Irwan.
Bryan merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Menggatal, Sabah, antara puluhan pelajar yang hadir sewaktu pelancaran Kempen Kawalan Tikus Peringkat Kebangsaan di Dewan Pekan Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Biarpun usianya masih muda, namun persepsi anak kecil ini terhadap tikus yang tergolong dalam keluarga mamalia, rodensia cukup membayangkan haiwan perosak itu mampu membawa masalah yang serius.
Malah, secara umumnya semua mengetahui kehadiran tikus merupakan ancaman utama terhadap keselesaan dan kesihatan kepada masyarakat secara umumnya.
Sekiranya tidak ditangani, ia mampu mendatangkan kesan buruk melalui penularan wabak penyakitnya terutama leptospirosis atau kencing tikus.
"Saya rasa tikus ini mesti dapat makanan banyak sebab saiznya yang besar memandangkan banyak sisa makanan serta sampah di mana-mana sahaja di sekitar bandar raya ini.
"Selepas ini, hendak minta keluarga sama-sama pasang perangkap supaya tikus dapat dihapuskan," jelasnya. Leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.
Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.

SIKAP manusia yang kurang menitikberatkan kebersihan menyebabkan tikus mudah membiak.


Antara haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira termasuklah kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.
Pandangan kanak-kanak itu secara langsung menunjukkan bahawa manusia tidak mendapat sebarang kepentingan dalam hubungan bersama haiwan perosak.
Dalam erti kata mudah, tikus boleh dianggap musuh manusia. Secara umumnya, terdapat sembilan jenis pengelasan binatang tersebut meliputi tikus rumah atau nama saintifiknya, Rattus Ratusdiardi, tikus mondok (Rattus Norvegicus), tikus rumah terkecil (Mus Musculus), tikus belukar (Rattus Tiomanicus) dan tikus rumah kecil (Rattus Exulans).
Selain itu, jenisnya juga termasuk cencorot rumah (Suncus Murinus), tikus besar hitam (Bandicota Indica), tikus besar ekor pendek (Bandicota Bengalensis) dan tikus sawah (Rattus Argentiventer).
Haiwan pengotor
Masalah mengenai lambakan koloni tikus ini bukan sahaja dialami di Sabah malah di seluruh negara.
Sedar atau tidak, ketika berjalan terutama di kawasan pasar dan gerai-gerai makanan pastinya akan melihat gelagat haiwan pengotor itu di sana sini.
Tikus adalah haiwan perahsia dan biasanya hanya keluar pada waktu malam. Jika anda melihat seekor tikus pada waktu siang bermakna jumlah tikus di sesebuah kawasan itu cukup banyak sehingga memaksanya keluar dari tempat persembunyian.
Bagi Surianti, kebersihan tetap merupakan amalan yang perlu dipraktikkan di dalam kehidupan seharian.
PELAJAR-PELAJAR tidak melepaskan peluang menlihat tikus-tikus yang telah ditangkap pada majlis pelancaran Kempen Kawalan Tikus dan Gotong Royong Perdana 1Malaysia di Dewan Pekan Menggatal, Sabah.


Bertugas sebagai Guru Pendidikan Islam di SK Darau, sikap membuang sampah sarap sekali pun kecil seperti kotak-kotak makanan ringan, tin minuman dan sisa makanan melalui tingkap rumah, restoran dan sebagainya menyumbang kepada persekitaran yang kotor.
Apabila timbunan sampah itu berlaku pasti akan merancakkan lagi kegiatan tikus tersebut dalam penularan wabak penyakit.
"Secara zahirnya, banyak penyakit berjangkit menular di negara kita disebabkan pengabaian terhadap aspek kebersihan.
"Walaupun ia kelihatan enteng, tetapi penjagaan kebersihan kawasan rumah dan sekitarnya adalah satu kewajipan. Jadi, aspek kebersihan tetap harus diutamakan sebagai langkah pencegahan proaktif," katanya.
Sehubungan itu, Surianti menjelaskan ketidaktanggungjawaban itu membuatkan tikus akan melompat-lompat dan mencakar longgokan sampah mencari makanan selain menjadi tempat persembunyiannya.
Pencemaran
Pandangan itu turut disokong rakan sekerjanya, Lau Su Fun yang berharap kempen perdana sebegini dapat mendidik dan meningkatkan kesedaran setiap anggota masyarakat terhadap penjagaan kebersihan alam sekitar.

ABDUL RAHMAN Rahman (dua dari kiri) melihat demonstrasi kawalan penyakit menggunakan teknik fogging.


"Inisiatif ini juga akan membuat kita sensitif ke atas sebarang pencemaran atau apa jua gejala yang boleh menjejaskan kualiti alam sekeliling kita.
"Kita juga harus menjadikan agenda komuniti atau program ini secara berterusan dengan mencegah kekotoran, menjaga kebersihan dan persekitaran menjadi tanggungjawab setiap warga negara," katanya.
Masyarakat harus faham sekiranya rantaian bekalan makanan diputuskan, ia sekali gus mengelakkan tikus membina sarang di persekitaran. Jadi, masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah.
Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam ucapan pelancarannya berkata, sehingga 1 Jun 2013 sebanyak 18 kematian telah dilaporkan dengan 1, 768 kes kencing tikus.
Katanya, ia secara langsung menunjukkan masalah infestasi tikus ini semakin meruncing dan wajar diberi perhatian.
"Seperti yang dilaporkan Kementerian Kesihatan, jumlah kes itu meningkat daripada 2,268 kes dengan 55 kematian pada tahun 2011 kepada 3,665 kes dengan 48 kematian pada tahun 2012.
"Seandainya kita tidak mengambil langkah pencegahan awal boleh menyebabkan angka kes dan kematian tahun ini turut meningkat," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: