Tuesday, September 10, 2013

Normaliza menjejak mimpi


RANCANGAN Serikan Impian Anda Bersama Fair & Lovely telah membina keyakinan diri Normaliza.


PEMALU dan kurang keyakinan diri, dua karakter yang menggambarkan keperibadian Normaliza Md. Hushim. Setiap perkara yang dilakukan tidak pernah didokong semangat juang berbelah bagi, semuanya sekadar mampu dan cukup-cukup untuk hidup.
Rutin harian wanita berumur 26 tahun itu juga tiada istimewanya. Pagi bekerja di sebuah syarikat swasta manakala waktu malam membantu gerai makan yang dikendalikan oleh ahli keluarganya.
Barangkali sedikit kekuatan untuk menyertai rancangan realiti TV telah meruntuhkan sifat malu yang memagar personaliti Normaliza.
Saat namanya diumumkan sebagai juara rancangan realiti TV Serikan Impian Anda Bersama Fair & Lovely yang bersiaran di TV9, hidup Normaliza berubah drastik. Dia tidak lagi kekok berbicara bersama orang asing bahkan penuh yakin beraksi di hadapan lensa kamera.
"Perkara pertama yang ingin saya ingin lakukan ialah meluaskan bisnes keluarga. Ia tidak perlu berubah menjadi restoran terkenal, namun cukup untuk digemari ramai. Biar keluarga dan rakan-rakan dapat menjamu selera dengan puas, itu yang saya impikan," murni dan ikhlas impian kecil dambaan Normaliza yang berjaya menggondol hadiah utama bernilai RM10,000 daripada rancangan tersebut.
Minat Normaliza dalam dunia masakan terbit sejak dia masih kecil. Singkapnya: "Saya ingat lagi, selepas sekolah saya terus pulang ke rumah memasak untuk keluarga. Kini, selepas bergelar ibu, saya masih menikmati waktu-waktu memasak untuk anak saya.
"Memang telah menjadi impian saya untuk meneroka lebih jauh dalam bidang ini."
Sepanjang rancangan itu berlangsung, Normaliza mengakui bahawa beberapa kali dia berasa tercabar dengan peserta lain. Paling sukar apabila setiap cabaran dia perlu bekerja dengan peserta yang berbeza.
Bekerja secara individu membuatkan wanita itu buntu sejenak untuk menyesuaikan diri bekerjasama dengan pasangan yang ditetapkan. Namun akhirnya dia mula menerima konsep kerjasama yang diterapkan dalam rancangan itu dan berjaya menyelesaikan setiap tugasan dengan pantas.
WANITA berusia 26 tahun ini mahu membesarkan restoran keluarganya.


Mentor
Penglibatan beberapa nama tersohor tanah air dalam pelbagai bidang juga banyak membantu meningkatkan tahap keyakinan peserta. Bagi Normaliza, bermentorkan tukang masak ternama seperti Chef Zamzani Abdul Wahab atau dikenali dengan nama Chef Zam merupakan detik paling berharga sepanjang menyertai rancangan tersebut.
"Chef Zam banyak mengajar saya bekerja dalam kumpulan. Bukan itu sahaja, dia juga memberi banyak panduan cara-cara menggunakan alat-alat dalam dapur iandustri. Kebiasaannya, saya masak dalam dapur rumah sahaja dan baru tahu yang dapur industri jauh berbeza daripada dapur rumah.
"Saya juga merasakan bahawa ganjaran terbesar selain daripada bimbingan Chef Zam ialah perjalanan unik dengan cabaran yang berbeza dan panduan serta nasihat daripada mentor lain," ujar Normaliza.
Sejak bertapak di Malaysia dua dekad lalu, produk kecantikan Fair & Lovely sentiasa berusaha mengubah dan memberi inspirasi kepada kehidupan gadis-gadis Malaysia menerusi kecantikan luaran dan dalaman.
Rancangan realiti TV Serikan Impian Anda Bersama Fair & Lovely merupakan antara usaha berterusan jenama itu bagi membantu golongan wanita di negara ini mencapai kerjaya impian mereka.
Rancangan yang menampilkan 10 gadis pelbagai latar belakang itu berkisar tentang perjalanan mereka bagi merebut peluang menjalani latihan sambil belajar dalam kerjaya impian masing-masing di samping mentor yang berpengalaman.
Rancangan tersebut menyediakan platform kepada para peserta untuk membina semula semangat dan mengejar impian mereka dalam lapangan kerjaya yang berbeza.
Ia juga bertujuan membantu gadis-gadis Malaysia mengikut suara hati masing-masing dalam memulakan perjalanan membina keyakinan diri dan paling penting, untuk mereka menyedari potensi dan aspirasi mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: