Monday, September 2, 2013

Pendakian bergaya di Korea Selatan



MENDAKI gunung dan pakaian berjenama menjadi trend di Korea Selatan.


AKTIVITI pendakian di Korea Selatan semakin popular dalam kalangan rakyat negara itu. Namun, bagi yang mahu melibatkan diri dalam aktiviti tersebut, mereka perlu bersedia untuk membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk membeli pakaian berjenama agar tidak kelihatan janggal.
Jika dahulu, pemakaian jean dan baju-t mampu menarik perhatian, tetapi pada waktu ini, jaket ultra ringan jenama North Face yang dihasilkan dengan teknologi tiga lapisan Gore-Tex berharga RM2,166 dibeli tanpa rasa teragak-agak.
Saban minggu, jutaan rakyat Korea akan memenuhi kawasan taman gunung di negara tersebut. Ia merupakan satu aktiviti yang biasa dilakukan sejak berdekad lamanya.
Daripada aspek umur, stamina dan motivasi ketika melakukan aktiviti tersebut mungkin jauh berbeza, namun satu persamaan antara mereka ialah kegilaan terhadap peralatan dan pakaian berjenama.
Sungguhpun puncak gunung tertinggi di Seoul, Gunung Bukhansa, mempunyai ketinggian sederhana iaitu 836 meter dari paras laut, kumpulan pendaki yang memanjat cerun itu berpakaian seperti ingin memanjat bahagian utara Gunung Eiger di Switzerland yang mempunyai ketinggian 1,800 meter.
"Ia sememangnya mahal, namun semua orang berpakaian seperti ini dan saya tidak mahu kelihatan janggal.
"Lagipun, pakaian ini mempunyai kualiti yang baik dan selesa dipakai," kata seorang suri rumah pertengahan usia yang lengkap berpakaian aktiviti luar berjenama terkemuka, Chung Da-hee kepada AFP.

SEPASANG pendaki melepasi sebuah butik pakaian aktiviti luar di Gunung Bukhunsa.


Populariti
Populariti aktiviti luar di Korea Selatan melonjak pada akhir tahun 1980-an, seiring dengan peningkatan standard kehidupan rakyatnya selain mereka mendapat ilham melakukan aktiviti tersebut setelah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik musim panas pada tahun 1988.
Menurut Jung Juno yang mengetuai pertubuhan World Walking Headquarters yang berpangkalan di Seoul, gelombang kedua lonjakan populariti aktiviti itu telah tercetus daripada krisis kewangan yang melanda Asia pada tahun 1997.
Krisis itu menyebabkan Korea Selatan diselubungi kesukaran dan ramai rakyat kehilangan pekerjaan, khususnya lelaki pertengahan usia.
"Ketika itu, pada waktu siang mereka tidak tahu hendak ke mana. Lantaran itu, slogan paling popular di negara ini iaitu 'kekal sihat untuk kembali beraksi' menyebabkan ramai antara mereka mengambil inisiatif berjalan di kaki di kaki-kaki bukit dan gunung," jelas Jung.
Di samping itu, kerajaan pusat dan negeri turut memberi sokongan terhadap trend tersebut termasuk membuat denai dan menawarkan kursus mendaki di negara yang terkenal dengan panorama alam yang indah itu.
Warga Korea Selatan menjadikan hobi pada masa lapang mereka sebagai satu perkara yang serius.
Pemulihan ekonomi sehingga negara tersebut menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar di Asia turut memberi kesan positif kepada rakyatnya.
Hasilnya, pasaran pakaian aktiviti luar melonjak daripada RM3.6 bilion pada tahun 2006 kepada RM17.6 bilion pada 2012.
Perkembangan fesyen
Persekitaran Seoul yang dikelilingi gunung menyebabkan banyak kedai pakaian berjenama antarabangsa seperti Merrell, North Face dan Berghaus dibuka di setiap laluan utama bersama jenama-jenama tempatan seperti Black Yak dan K2.
Pengusaha pakaian dari Kolon Industry, Yang Moon-Young berkata, peningkatan permintaan yang mendadak telah membuatkan banyak syarikat memberikan cuti rehat selama dua hari kepada pekerja berbanding sehari sebelum ini.
"Peningkatan masa santai yang digabungkan dengan pendapatan yang lebih tinggi telah melonjakkan pasaran pakaian aktiviti luar dalam tempoh yang singkat sejak lima tahun lalu," jelasnya.

BUKAN setakat suka mendaki, penduduk Seoul turut mengilai pakaian lasak yang berjenama.


Dia juga menekankan, pakaian aktiviti luar yang lebih bergaya kini diterapkan sebagai fesyen harian oleh generasi muda yang peka fesyen.
"Lebih ramai penduduk, khususnya pengguna muda, memakai pakaian ini kerana ia kelihatan kasual," katanya.
Tambah Moon-Young, pakaian aktiviti luar telah 'turun' dari gunung dan menakluki kaki lima jalan.
Sementara itu, guru sekolah tinggi, Kim Mi-Hye, 53, yang gemar mendaki Gunung Bukhansan pada setiap hujung minggu mengakui almarinya penuh dengan pakaian mendaki.
"Sesetengahnya begitu cantik dan bergaya ditambah pula dengan warna yang menawan.
"Saya sering mengingatkan diri sendiri pakaian yang ada mencukupi, tetapi apabila melihat jaket baharu, saya gagal mengawal diri dan terus membelinya," ungkapnya tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: