Monday, September 2, 2013

Harga murah, produk berkualiti




ROSLI ABDUL WAHAB sanggup menjelajah dari sebuah kedai ke kedai lain semata-mata mencari peralatan muzik terpakai.
Walaupun agak memenatkan, lelaki berusia 48 tahun itu tidak kisah asalkan barangan tersebut berkualiti dan harganya lebih murah.
"Sebelum membeli barangan terpakai, saya kaji secara mendalam tentang sesuatu produk itu dahulu. Sekiranya ia berbaloi dengan wang yang dibelanjakan barulah saya membelinya.
"Misalnya, jika satu set sistem bunyi terpakai dan baharu harganya sama, kita perlu lihat dari segi jenama dan buatannya. Barangan terpakai itu buatan Amerika dan barangan baharu pula buatan China, pasti anda boleh menilai sendiri kualiti barangan yang patut dibeli," katanya yang mula meminati barangan terpakai sejak tujuh tahun lalu.
Rosli yang menetap di Bandar Baru Ampang, Selangor mempunyai kumpulan muzik sendiri. Malah, dia sering mengunjungi kedai barangan terpakai bagi mencari peralatan muzik seperti sistem bunyi dan gitar.
Tidak dinafikan golongan seperti Rosli cukup peka dengan kualiti sesuatu barangan sebelum berbelanja. Justeru, membeli barangan terpakai merupakan salah satu langkah terbaik.
Tinjauan Kosmo! ke beberapa buah kedai barangan terpakai di sekitar Kuala Lumpur mendapati sambutan orang ramai terhadap produk tersebut amat baik.
Antara barangan yang paling diminati pengguna ialah perabot, gajet, kenderaan dan barangan elektronik.
Terdapat juga pelanggan yang mempunyai minat mengunjungi kedai-kedai barangan terpakai untuk mendapatkan barangan seperti alat-alat muzik, jam tangan berjenama, permainan video, buku dan barangan kulit.
Bagaimanapun, barangan seperti pakaian, perkakas dapur, telefon bimbit dan barangan yang sangat peribadi kurang diminati.
Faktor harga pastinya kriteria utama yang dinilai sebelum membeli barangan terpakai, apatah lagi bukan semua orang berminat memiliki barangan yang pernah digunakan oleh orang lain.
Namun, jika ia masih dalam keadaan baik dan harganya jauh lebih murah berbanding barang baharu, mengapa tidak?
Bagi Khairul Ahsan, 38, dia tidak menghadapi masalah menggunakan barangan terpakai kerana apa yang penting ialah barangan tersebut masih elok dan harganya murah.
Dia yang tinggal di Ampang pernah membeli satu set permainan alat pembinaan terpakai untuk anaknya yang berharga RM45.
"Saya biasanya akan melihat harga sebelum membeli, kecuali benar-benar meminati barangan tersebut. Lazimnya, harga barangan terpakai jauh lebih murah berbanding yang baharu.
"Sesetengah barangan terpakai turut disertai sijil jaminan. Jadi, saya tidak bimbang jika ia rosak dalam tempoh jaminan kerana kita boleh menghantarnya semula kepada penjual untuk dibaiki atau ditukar," katanya yang turut mengunjungi kedai barangan terpakai bagi membeli barangan seperti jam tangan dan permainan video.

SEORANG pelanggan memeriksa barangan terpakai sebelum membelinya.


Sejarah
Norziati Mohd. Rosman, 34, pula selain menimbangkan faktor harga, dia membeli barangan terpakai yang mempunyai nilai sentimental dan sejarah.
Bekerja di sebuah syarikat penerbitan di Bandar Baru Bangi, Norziati yang juga seorang penulis memberitahu, dia biasanya membeli buku-buku seperti sastera, novel dan fiksyen berbahasa Melayu terutama bagi cetakan terawal.
Selain itu, dia turut meminati novel Inggeris lama dan majalah terpakai.
"Saya dapat melihat perubahan tulisan dan cara bahasa yang digunakan pada waktu itu berbanding hari ini. Contohnya, saya memiliki cetakan pertama novel Pertentangan karya Sasterawan negara S. Othman Kelantan pada tahun 1967. Memiliki buku lama bukan kerana ia murah tetapi nilainya," kata Norziati.
Menurut Norziati, selepas membaca buku-buku tersebut, dia akan menyimpannya sebagai koleksi peribadi. Antara novel dalam koleksinya ialah Saga karya Abd. Talib Hassan dalam dua edisi, novel Perempuan Politikus Melayu (Faisal Tehrani) juga dalam dua edisi serta tiga edisi Salina karya Datuk A. Samad Said.
"Sebagai penulis, buku-buku lama ini membantu memperkembangkan perbendaharaan kata sambil mempelajari cara penyampaian penulisan yang lebih halus dan menyentuh perasaan.
"Memandangkan saya terlibat dalam transliterasi manuskrip, mendalami bahan-bahan lama merupakan satu keperluan kerana terdapat banyak perkataan yang tidak lagi digunakan hari ini, sehingga tidak wujud dalam kamus. Ini jelas berlaku pada manuskrip perubatan atau hikayat yang berkisar kepada keadaan setempat kerana ia menggunakan loghat tempatan," tambah Norziati.
Pulangan berganda
Selain buku, Norziati turut menyimpan mesin taip, seterika, lampu gasolin, televisyen lama, radio, jam tangan, jam dinding yang merupakan koleksi dan simpanan bapa beliau di kampung halamannya.
Bagi seorang penjual barangan terpakai, Farid Hidayat Fadzil, 32, dari Seberang Perai, Pulau Pinang, barangan terpakai bukan sahaja menguntungkan pengguna, malah membawa pulangan berganda kepada penjual.
Bagaimanapun, hanya beberapa barangan sahaja yang memberikan pulangan lumayan kepada penjual manakala selebihnya berdasarkan komisen.
Farid memberitahu, pada mulanya dia hanya melakukan kerja pelupusan komputer. Pada masa itu, Farid yang mengendalikan bisnes pelupusan komputer secara berlesen mula menerima banyak permintaan terhadap barangan tersebut. Ia sekali gus menimbulkan minat untuk berjual beli secara kecil-kecilan.

BUKU-BUKU terpakai milik Norziati yang sukar didapati di pasaran.


"Rupa-rupanya, barangan lama ini ada nilainya. Sejak itu, saya mula menceburi bidang ini termasuk mendapat kenalan dalam kalangan penjual dan pembeli barangan terpakai lain," kata Farid yang memulakan perniagaannya pada hujung tahun 2011.
"Permintaan sangat tinggi, khususnya perabot hotel. Pihak hotel biasanya menjual perabot terpakai yang kualitinya masih baik terutama hotel berstatus tiga bintang ke atas," katanya.
Perabot terpakai itu kemudian dijual secara pakej dan mempunyai permintaan yang baik dalam kalangan pembeli yang percaya ia mampu tahan lama serta berbaloi dimiliki.
Pada masa yang sama, sebagai penjual, hotel akan memberi komisen yang tinggi bagi memastikan urusan jual beli diselesaikan pada waktu yang ditetapkan.
Bercakap mengenai perbandingan harga, Farid memberitahu permintaan pelanggan yang banyak berpunca daripada harga yang jauh lebih rendah berbanding barang baharu. Farid memberitahu pada harga RM1,000 hingga RM1,200, seseorang boleh membeli set katil, meja solek, meja tepi dan almari.
"Harga itu sangat berbaloi kerana kualiti produk tersebut setaraf dengan barangan baharu yang dijual beberapa kali ganda lebih mahal," kata Farid.
Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pasangan baru berkahwin, mereka yang berpindah ke rumah baharu dan pengusaha resort atau hotel bajet.
"Saya beroperasi dalam talian kerana tidak mahu menyewa ruang menyimpan barang. Kalau terpaksa, baru saya sewa secara sementara," ujar Farid.
Ditanya tentang jaminan yang ditawarkan kepada pembeli, Farid akui barangan terpakai biasanya tiada jaminan. Malah, dia tidak menafikan pelanggan terpaksa menanggung risiko khususnya sewaktu penghantaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: