|
INSIDEN pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada hujung Februari dan awal Mac lalu secara tidak langsung meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Malah, tragedi berdarah yang mengorbankan 10 wira negara di bumi Sabah itu menjadi bukti betapa perjuangan mereka yang tidak mengenal erti putus asa, sebaliknya diteruskan hingga ke titisan darah terakhir.
Apa yang pasti, peristiwa itu membuka mata banyak pihak agar tidak sesekali memandang remeh terhadap usaha yang dilakukan pihak berkuasa dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Justeru, sempena meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56 yang disambut pada Sabtu lalu, Kolej Profesional Mara Beranang (KPMB) akan mengadakan program Derma Darah dan Kuiz Kemerdekaan pada Khamis ini.
Acara tersebut akan berlangsung di Dewan Besar KPMB bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang.
Menurut penyelaras program, Dr. Azwani Ismail, kedua-dua program itu dianjurkan oleh pelajar semester kelima Diploma Perakaunan KPMB sebagai inisiatif menyuntik semangat jati diri dalam kalangan rakan sebaya dan masyarakat sekitar.
“Oleh itu, kami amat mengalu-alukan penyertaan warga KPMB, para pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta masyarakat setempat di sekitar kawasan Beranang atau Semenyih,” ujarnya kepada Kosmo!.
|
Menurut Azwani, melalui penganjuran program seperti itu, ia dapat memberi kesedaran kepada pelajar dan masyarakat mengenai kepentingan menyumbang kepada kesejahteraan negara dengan apa cara sekalipun.
“Kami menyasarkan seramai 300 individu tampil menderma darah untuk Tabung Darah Negara. Selain itu, penyertaan program Kuiz Kemerdekaan dibuka kepada semua pengunjung yang hadir.
“Pelbagai hadiah menarik seperti barangan elektrik, hamper dan makanan disediakan untuk para pemenang yang berjaya,” jelasnya.
Program sehari tersebut turut mendapat kerjasama Pusat Darah Negara. Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Azwani di talian 012-200 3419.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: