Tuesday, September 10, 2013

Jiwa urban skirt Muslimah

PADUAN rona ceria dalam skirt atas pinggang ini memberi keyakinan ekstra kepada si pemakai.


LIMA jenis skirt pelbagai corak, warna dan potongan sedia untuk ditawarkan kepada kaum Hawa yang dahagakan penampilan sopan anggun yang moden. Sama ada skirt atas pinggang (high waist) atau empat pecahan skirt potongan duyung (mermaid), golongan Muslimah pasti tampil ranggi bersama rekaan unik noreen z.
Skirt duyung klasik menggunakan nama Atiya misalnya, direka ringkas dengan penekanan diberikan kepada lapan panel yang menawan. Bagi mereka yang gemarkan ropol bertingkat, skirt duyung Ranya memenuhi cita rasa fesyen anda dengan ropol tiga lapis.
Perwatakan feminin juga ketara apabila menggayakan skirt duyung Naila. Ropol selapis bermula dari lutut hingga ke bahagian bawah skirt kelihatan mewah apabila ditambah dengan corak abstrak yang melatari koleksi tersebut.
MUDAH disuai padan. Skirt koleksi noreen z tidak janggal membentuk gaya Muslimah yang moden.


Cipta gaya eksklusif bersama skirt duyung Kayla yang memberi tumpuan kepada ropol pada bahagian bawah sahaja. Ropol bawah dengan panjang kira-kira 25 sentimeter itu membuatkan langkah si pemakai lebih elegan tatkala ia beralun lembut mengikut rentak kaki.
“Memang skirt ini direka berteraskan fesyen Islamik, namun ia masih boleh digayakan wanita tidak bertudung kerana ia mudah membentuk pelbagai gaya yang unik.
“Kesemua skirt dilengkapi pelapik dan saiz disediakan bermula daripada XS sehingga XL mengikut standard orang Asia.
“Dari segi penggunaan material, kami banyak menggunakan satin, tetapi satin itu diterbalikkan. Bahagian kain yang berkilat itu dijadikan bahagian dalam agar fungsi skirt itu tidak terhad kepada acara tertentu.
SKIRT potongan duyung Naila menyerlahkan sisi feminin.


“Kita tahu bahawa satin berkilat tidak sesuai digayakan secara santai, jadi kami cuba ubah prinsip itu, malah ramai pelanggan mengatakan bahagian dalam skirt sangat selesa.
“Selain itu, kami turut menggunakan fabrik wool peach yang hampir sama seperti satin cuma tidak berkilat dan kain kapas,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif noreen z, Noreen Zulkepli.
Disasarkan kepada wanita berumur 16 hingga 35 tahun, skirt di bawah jenama noreen z banyak bermain dengan warna dan berani mengadunkan lima hingga enam rona dalam satu skirt. Antara palet popular ialah hitam, ungu lavender, merah, biru diraja, emas dan hijau.
Ia dijual pada harga RM95 hingga RM140 berdasarkan material dan kuantiti kain yang digunakan.
Kunjungi laman Instagram noreen z menggunakan nama noreenzulkepli bagi melihat semua koleksi skirt dan cara-cara suai padan yang elegan. Untuk tempahan pula, e-mel kepada noreen.zulkepli@gmail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: