Thursday, September 19, 2013

Gotong-royong bersihkan Seberang Takir


Sukarelawan TM dan penduduk kampung menyertai aktiviti gotong-royong di Kampung Seberang Takir.


SEAWAL pukul 7 pagi, penduduk Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu sudah bersiap sedia untuk menyertai Program Gotong-Royong 1TM anjuran Telekom Malaysia Berhad (TM).
Tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak, riak wajah mereka menunjukkan semangat jati diri yang tinggi dalam mencurah tenaga membersihkan kawasan kampung tersebut.
Program Gotong-Royong 1TM merupakan salah satu cabang program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TM yang diberi nama Kempen TM Bumiku.
Ia diadakan di seluruh negara dengan warga Kampung Seberang Takir berbesar hati menjadi tuan rumah dalam perasmian Program Gotong-Royong 1TM yang bermula tahun lalu.
Pengerusi TM, Datuk Seri Dr. Halim Shafie berkata, program berkenaan diadakan secara serentak di seluruh negara untuk bekerjasama bersama masyarakat memulihara alam sekitar.
“Sebanyak 1,600 pekerja TM telah mengambil bahagian dalam program kali ini di seluruh negara.
“Di Kampung Seberang Takir pula, kita berjaya mengumpul 100 pekerja TM dan 200 penduduk menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam program berkenaan, pelbagai acara diatur termasuk senamrobik, pertandingan lukisan, sukaneka, memasak dan lain-lain lagi.
Hadir sama merasmikan program berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman. Turut bersama ialah Pengurus Besar TM Terengganu, Hamidun Ismail.
Halim turut membersihkan pantai, mengecat bot, membaiki jeti malah menjemur dan mengasingkan ikan bilis bersama penduduk setempat.
Beliau menambah, sumbangan kecil yang diberikan TM itu diharap mampu mengurangkan beban penduduk setempat dalam menjalankan aktiviti seharian mereka.
Pengalaman baharu
Katanya, pemilihan Kampung Seberang Takir agak istimewa kerana ia bukan sahaja terletak berhampiran pantai tetapi dapat menjalankan aktiviti seperti mengecat bot, membaiki jeti, mengecat masjid malah menjemur serta mengasingkan ikan bilis.
“Ia tentu sekali akan memberi pengalaman baharu kepada para sukarelawan TM yang menjayakan program di kampung ini,” ujarnya.

PESERTA bersama penduduk membaiki jeti nelayan.


TM turut melancarkan pasukan sukarelawan TM yang dikenali dengan nama TM ROVers yang membawa singkatan TM Reaching Out Volunteers.
Halim memberitahu, penubuhan pasukan itu bertepatan dengan usaha TM menyemarakkan amalan kesukarelawan dalam kalangan pekerja.
Bahkan, beliau memberitahu, setakat ini, TM mempunyai kira-kira 12,000 sukarelawan di bawah kelab-kelab dan persatuan di dalam TM.
“Justeru, dengan penubuhan TM ROVers, kita berharap dapat menyeragamkan segala aktiviti sukarelawan di bawah satu bumbung dan nama,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Razif yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Seberang Takir berbangga kerana TM telah memilih Kampung Seberang Takir untuk mengadakan program CSR mereka.
“Ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam mendekatkan masyarakat dengan teknologi. TM merupakan sebuah syarikat besar malah melalui program ini penduduk dapat mengetahui teknologi terkini yang ditawarkan TM.
“Dengan kerjasama tersebut, ia memberi pendedahan mengenai kes kecurian kabel yang kerap berlaku kebelakangan ini,” katanya.
Beliau menambah, internet memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat hari ini termasuk penduduk di Terengganu.
Justeru katanya, kepentingan menjaga kabel amat penting bagi memastikan capaian internet sentiasa dapat dinikmati penduduk.
Dalam pada itu, seorang peserta, M. Hafizudin Mazlan berasa terharu dapat bersama rakan-rakannya membersihkan kawasan pantai.
“Ini kali pertama saya menyertai program gotong-royong. Saya seronok kerana dapat bersama-sama menjaga alam sekitar terutama kawasan pantai yang menjadi tarikan pelancong di negeri ini.
“Saya berharap dapat mencurahkan lagi tenaga dalam program sebegini pada masa hadapan,” ujarnya.
Masyitah Yunus pula berbesar hati kerana TM memilih Kampung Seberang Takir sebagai tuan rumah program gotong-royong berkenaan.
“Ia memberi peluang kepada penduduk setempat seperti saya untuk mengenali kakitangan TM dengan lebih dekat lagi selain bersama-sama menjaga alam sekitar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: