|
KETIKA diberitahu seorang rakan mengenai kewujudan portal The Cresent baru-baru ini, Saidatul Amira Ghazali, 26, bersikap skeptikal. Baginya portal itu tidak lebih daripada portal biasa yang menjual pelbagai produk dan busana Muslimah seperti yang pernah dilayarinya di internet sebelum ini.
Bagaimanapun, sebaik sahaja melayari portal berkenaan buat kali pertama, gadis yang mesra dengan panggilan Amira itu agak teruja.
Ia bukan sekadar portal perniagaan biasa sebaliknya turut memaparkan beberapa panduan mengenai fesyen dan gaya hidup seorang Muslimah.
Mengakui seorang yang menggemari dunia fesyen, Amira berkata, dia berpuas hati melayari The Crescent kerana ia menawarkan pelbagai produk dan busana Muslimah terkini di pasaran.
"Kesedaran masyarakat terhadap pemakaian yang mematuhi syarak semakin meningkat. Justeru, kewujudan portal ini dilihat tepat pada masanya.
"Selain menawarkan pelbagai produk fesyen Muslimah dengan rekaan terkini, harga yang ditawarkan juga jauh lebih rendah berbanding di pasaran," katanya yang menetap di Skudai, Johor Bahru.
Sebagai seorang ahli fisioterapi, Amira mengakui jadual kerjanya sentiasa padat dan tidak menentu menyebabkan masa untuk membeli-belah agak terhad.
Disebabkan itu, tidak hairanlah anak kedua daripada empat beradik itu lebih gemar mendapatkan pelbagai barangan termasuk busana Muslimah kegemarannya seperti tudung dan selendang di laman-laman web atau laman sosial.
Bagaimanapun, katanya, risiko berurus niaga di internet amat tinggi kerana dia sendiri pernah menjadi mangsa penipuan beberapa peniaga tidak bertanggungjawab.
"Pernah barangan yang saya ditempah tidak sampai biarpun telah membuat pembayaran. Lebih menyakitkan hati apabila produk yang ditempah tidak sama seperti yang dipamerkan di laman web," ceritanya.
Bagaimanapun, sebaik sahaja melayari portal The Crescent, kebimbangan itu tidak lagi wujud apatah lagi selepas dia mengetahui portal itu diuruskan oleh salah sebuah syarikat telekomunikasi gergasi di negara ini, Celcom Axiata Bhd. (Celcom).

PORTAL The Crescent memberi pelbagai maklumat mengenai fesyen terkini dan gaya hidup Muslimah.
"Melalui portal ini pelanggan perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. Ia juga menggunakan pembayaran melalui kad kredit atau sistem pembayaran elektronik yang mana mempunyai prosedur keselamatan yang lebih ketat.
"Lebih menggembirakan, barangan saya dihantar mengikut tempoh yang ditetapkan iaitu tiga hari," katanya yang telah membuat pembelian melalui portal tersebut baru-baru ini.
Amira berkata, satu lagi perkara menarik yang menyebabkan dia menyukai portal itu adalah pengisian lain yang ditawarkan seperti panduan mengenai pelbagai aspek kehidupan yang meliputi bidang sosial, kesihatan dan agama. Ini baginya secara tidak langsung memberi nilai tambah yang boleh dimanfaatkan pengguna.
The Cresent yang menyediakan ruang perniagaan kepada produk berkaitan Islam seperti fesyen dan gaya hidup merupakan salah satu daripada tiga portal terbaharu yang dilancarkan Celcom dalam usaha meneroka pasaran ekonomi digital yang dilihat pesat berkembang di negara ini.
Selain The Cresent, syarikat itu turut melancarkan portal Bachabooku dan Buzzaar yang telah beroperasi sejak 1 September lalu.
Ketua Perkhidmatan Digital Celcom, Afizulazha Abdullah berkata, kehadiran ketiga-tiga portal merupakan usaha syarikat itu untuk meluaskan sumber pendapatan menerusi penyediaan perkhidmatan digital atau aplikasi, berbanding hanya tertumpu kepada khidmat suara dan data .
Katanya, internet tidak lagi dilihat sebagai cabang komunikasi yang memudahkan urusan kerja dan satu medan pencarian maklumat. Sebaliknya ia turut memainkan peranan penting dalam menggerakkan dunia perniagaan.
"Hari ini penggunaan jalur lebar semakin meluas termasuk di luar bandar. Masyarakat tanpa mengira peringkat usia sentiasa berhubung melalui pelbagai peranti pintar seperti tablet dan telefon pada setiap masa dan lokasi.
"Jadi, kami merasakan sudah tiba masanya untuk meluaskan skop perniagaan sedia ada kepada perkhidmatan portal seperti ini yang mana bukan sahaja memberi manfaat kepada lebih 13 juta pelanggan Celcom tetapi juga rakyat secara keseluruhan," katanya kepada Kosmo! semasa majlis pelancaran ketiga-tiga portal berkenaan di ibu negara baru-baru ini.
Menurut Afizulazha, portal-portal itu dibangunkan untuk memberi peluang kepada pengguna internet menikmati pengalaman membeli-belah dengan dalam suasana lebih selesa dan menjimatkan masa.
Selain hanya menjual produk buatan Malaysia, katanya, ia juga menawarkan variasi produk berkualiti dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.
Portal Bachabooku misalnya, menawarkan lebih 700 penerbitan elektronik, termasuk buku dan majalah daripada pengarang dan penerbit tempatan manakala Buzzaar menawarkan pelbagai produk istimewa seperti makanan dan kraftangan dari setiap negeri.

AFIZULAZHA (empat dari kanan) melancarkan tiga portal terbaharu Celcom yang beroperasi sepenuhnya pada 1 September lalu.
"Sebagai contoh, jika seseorang itu mahu membeli telur ikan terubuk Sarawak, mereka hanya perlu melayari portal Buzzaar dan membuat tempahan. Pembelian boleh disempurnakan melalui pembayaran menggunakan kad kredit ataupun sistem pembayaran elektronik sebelum ia dihantar mengikut tempoh yang ditetapkan.
"Apa yang penting, pengguna tidak perlu bimbang melakukan urus niaga kerana portal ini dilengkapi ciri-ciri keselamatan terkini bagi menghindari sebarang penipuan," ujarnya yang memberitahu portal itu terbuka bagi semua pengguna dan tidak terhad kepada pelanggan Celcom sahaja.
Jelas Afizulazha, pihaknya sedang giat melakukan pelbagai promosi untuk menarik pengguna termasuk dalam kalangan usahawan tempatan yang berminat untuk mempromosikan produk mereka pada platform yang disediakan.
Ujarnya, ketika ini terdapat lebih 50 usahawan tempatan yang menawarkan lebih 100 barangan dalam Buzzaar dan menjangka bilangan itu akan meningkat dari semasa ke semasa.
"Kami sentiasa mencari usahawan yang mampu memberi perkhidmatan dan produk terbaik kepada pelanggan untuk dipaparkan di portal-portal ini," kata beliau yang menyasarkan sehingga satu juta pelanggan berdaftar yang akan menggunakan portal tersebut menjelang hujung tahun hadapan.
Salim Abdullah, 52, pula tertarik dengan kandungan portal Buzzaar yang menawarkan pelbagai jenis makanan, produk kraftangan dan aksesori tempatan.
Berasal dari Kapar, Klang, dia berkata, melalui portal itu orang ramai boleh membeli pelbagai produk tempatan tanpa perlu bersesak-sesak di luar rumah.
"Lagipun harga petrol sudah meningkat, melalui portal ini kita berpeluang mendapat apa yang diinginkan hanya melalui satu sentuhan," ujarnya.
Salim berharap lebih banyak produk tempatan dapat diketengahkan melalui portal berkenaan pada masa hadapan.
"Ketika ini terdapat dua produk dari dua negeri iaitu Sarawak dan Lembah Klang, mungkin selepas ini ia akan diperluaskan ke negeri-negeri lain yang turut mempunyai keistimewaan tersendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: