Thursday, September 19, 2013

Apple perkenal iPhone 5S dan iPhone 5C


APPLE mengambil strategi pemasaran berbeza apabila melancarkan model telefon pintar iPhone 5S dan iPhone 5C secara serentak.


SETELAH hampir setahun iPhone 5 diperkenalkan kepada dunia gajet digital, Apple Inc.. (Apple) kembali dengan menampilkan dua model telefon pintar terbaharu secara serentak iaitu iPhone 5S dan iPhone 5C.
Syarikat legasi Steve Jobs itu melancarkan strategi pemasaran yang agak berbeza berbanding sebelumnya. Jika sebelum ini Apple hanya memperkenalkan satu model telefon pada satu-satu masa, kali ini ia memasarkan model dengan dua spesifikasi berbeza serentak.
Secara perbandingannya, kedua-dua model ini memasarkan sistem operasi terkini iOS 7, berbanding iOS 6 yang terdapat pada iPhone 5.
Namun begitu, Apple mengekalkan paparan LCD IPS berukuran 4-inci (10 sentimeter) dengan 1,136 x 640 piksel berserta dengan 326 piksel per inci (ppi) iaitu paparan yang sama digunakan pada iPhone 5.
Dari sudut sokongan rangkaian 4G LTE pula, kedua-dua model ini menyokong teknologi terkini rangkaian mudah alih yang turut ditawarkan pada model iPhone 5.
Jika kamera menjadi kayu pengukur spesifikasi, iPhone 5S mendahului model-model sebelum ini dengan sedikit peningkatan pada kamera bahagian hadapannya. Ia dilengkapi kamera 8 megapiksel pada bahagian belakang dan kamera hadapan dengan 1080p membolehkan video berdefinisi tinggi (HD) dirakamkan.
iPhone 5C masih berkongsi kamera yang sama dengan iPhone 5 tetapi mempunyai keupayaan rakaman video HD. Ia turut menggunakan unit pemproses yang sama dengan iPhone 5 iaitu A6 32 bit, manakala iPhone 5S menggunakan unit pemproses terkini A7 dengan keupayaan pemprosesan 64 bit.
iPhone 5S dibekalkan dengan kuasa yang lebih berbanding iPhone 5 dan iPhone 5C. Ia menawarkan masa bercakap tambahan dua jam, menjadikan jumlah masa bercakap dengan capaian 3G sehingga 10 jam menggunakan bateri dengan kapasiti 1570 miliampere-jam (mAh), berbanding hanya lapan jam masa bercakap pada iPhone 5 dan iPhone 5C.
Ini mungkin agak mengecewakan bagi mereka yang mengharapkan masa bercakap yang lebih panjang pada iPhone 5C memandangkan ia dibekalkan dengan bateri berkapasiti 1507mAh berbanding hanya 1440mAh untuk model iPhone 5.

KEPUTUSAN Apple memperkenalkan model dengan spesifikasi yang lebih rendah mewujudkan dua kategori pengguna iPhone yang selama ini dianggap sebagai golongan yang agak 'istimewa'.


Keputusan Apple untuk tidak menawarkan teknologi NFC pada kedua-dua model iPhone ini agak mengecewakan sesetengah peminat iPhone yang mengharapkan teknologi yang ditawarkan pada sesetengah model keluaran pesaing terdekatnya, Samsung Electronics Co. Ltd. (Samsung).
Sebagai ganti, Apple menawarkan ciri imbasan cap jari pada model iPhone 5S yang bertindak sebagai satu sekuriti tambahan. Namun begitu, teknologi imbasan cap jari pada peranti digital bukanlah sesuatu yang baharu di pasaran.
Kira-kira dua tahun lalu, Motorola telah memperkenalkan ciri itu pada model telefon pintar Atrix 4G keluaran mereka. Teknologi ini juga telah terdapat pada beberapa model komputer riba yang dikeluarkan pada sekitar tahun 2006.
Ciri-ciri lain yang terdapat pada iPhone 5S dan iPhone 5C adalah sistem kedudukan global (GPS), kompas digital dan sambungan WiFi.
Apa yang dapat disimpulkan menerusi perbandingan-perbandingan ini adalah Apple seolah-olah hilang sentuhannya dalam memperkenalkan inovasi terkini dalam produk berbanding ketika era pengasasnya, Jobs.
Ramai penganalisis teknologi berpendapat keputusan memperkenalkan model dengan spesifikasi yang lebih rendah seolah-olah mewujudkan dua kategori baharu pengguna iPhone yang selama ini dianggap sebagai golongan yang agak istimewa.
Selain itu, langkah memperkenalkan teknologi yang agak terkebelakang berbanding pesaingnya mungkin menyebabkan sesetengah peminat iPhone mengambil keputusan beralih kepada pesaingnya ataupun menunggu sehingga model seterusnya (mungkin iPhone 6?) dilancarkan sebelum membuat keputusan menggantikan model iPhone milik mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: