Thursday, September 19, 2013

TED elak penyu tersangkut pada pukat



TED mampu meningkatkan hasil tangkapan nelayan.- Gambar hiasan


BERMULA pada tahun 1984, Peranti Penyisih Penyu (TED) yang dipasang pada pukat tunda diperkenalkan di Malaysia buat pertama kalinya di Pantai Remis, Perak. Alat itu kemudian diadaptasi Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (Seafdec) pada tahun 1997 di lokasi sama selain di Sandakan, Sabah.
Yayasan Penyelidikan Marin (MRF) meneruskan keberkesanan TED di Sandakan selama dua tahun iaitu pada tahun 2007 dan 2008. Selang tiga tahun kemudian, Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec), Rantau Abang, Terengganu memulakan kajian penggunaan TED ke atas pukat tunda udang musim tengkujuh di Kemaman.
Ironinya, peralatan itu mula diperkenalkan pada tahun 1970-an oleh nelayan dari Amerika Syarikat (AS) sebelum digunakan kebanyakan negara maju lain.
Objektif utama TED adalah bagi menjamin keselamatan semua spesies penyu di laut yang sering terperangkap pada pukat hanyut, pari, tunda, pancing dan bubu.
"Pengenalan TED yang kami jalankan di Kemaman menjadi antara usaha pihak Jabatan Perikanan dan Tumec dalam mengekang ancaman kepupusan penyu di negara ini. Program ini dijalankan selama tiga tahun bermula 2011 sehingga sekarang.
"Kami memilih Kemaman memandangkan ia merupakan pantai yang mencatat pendaratan penyu agar tertinggi di Semenanjung Malaysia. Pendaratan itu berlaku sepanjang tahun dengan purata 900 sehingga 1,200 sarang setahun," jelas Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabkhi Mahmood ketika ditemui Kosmo!.

AHAMAD SABKHI (duduk dua dari kiri) melepaskan penyu yang dipasang peranti satelit ke laut pada program Kenali Penyu, Sayangi Penyu 2013.


TED yang berdiameter 0.5 meter mempunyai beberapa bentuk seperti bulat, separa bulat dan segi empat. Bentuk ini bergantung pada jenis pukat tunda yang digunakan. Biasanya bentuk TED yang digunakan di Malaysia berbentuk separa bulat. TED diperbuat daripada besi galvanis yang tahan karat dan mempunyai empat bahagian utama, iaitu kerangka luar, jeriji tegak, penyambung pukat dan injap bagi keluar masuk penyu.
Hasil meningkat
AS telah memperkenalkan beberapa jenis TED seperti Georgia Jumper, Super Shooter, Matargorda TED dan Weedless TED. Kebanyakan negara termasuk Malaysia lebih gemar menggunakan TED daripada jenis Super Shooter kerana keberkesanannya melepaskan penyu dan material lain seperti sampah yang besar dan tongkol kayu.
Sebagai permulaan, seramai 20 nelayan dipilih bagi menjalani latihan menggunakan TED.
"Nelayan kita sudah biasa menggunakan pukat sedia ada. Jadi bila ada benda baharu begini, kami terangkan secara terperinci agar mereka faham fungsinya. Proses pemindahan teknologi memang memakan masa tapi kami harap nelayan dapat melihat keberkesanan TED dalam membantu meningkatkan hasil tangkapan mereka, dan dalam masa yang sama menyelamatkan nyawa penyu.
"Kalau program ini berjaya, kami akan laksanakan di seluruh negara secara berperingkat-peringkat," jelas Ahamad Sabkhi.
Berdasarkan kajian selama program itu berlangsung, pukat tunda udang yang dipasang TED mencatatkan hasil tangkapan sebanyak 48 kilogram (kg) untuk enam kali tundaan dengan purata tangkapan sebanyak 8kg setiap tundaan.
Jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding pukat tunda tanpa TED yang menyaksikan hasil tangkapan sebanyak 42.5kg untuk jumlah tundaan sama dengan purata 7.1kg setiap tundaan.

EKSPLOITASI dan kekejaman nelayan asing ke atas penyu juga menjadi punca kepada penurunan populasi penyu di seluruh dunia.


"Pasaran udang pada musim tengkujuh adalah pada harga antara RM30 sehingga RM60 setiap kg. Justeru, nelayan yang memasang TED memperoleh pendapatan tambahan antara RM60 sehingga RM180 sehari.
"Kami juga mendapati TED berjaya mengurangkan tangkapan ubur-ubur sebanyak 34 peratus. Pengurangan hidupan ini juga membantu meningkatkan hasil tangkapan komersial sekali gus memudahkan kerja pengasingan ikan dijalankan.
"Sebanyak 10 peratus sampah yang tersangkut pada pukat dapat dikurangkan menerusi TED dan penjimatan bahan api diesel turut berkurangan sebanyak 1.4 liter bagi setiap tundaan," demikian maklumat yang disampaikan Ahamad Sabkhi.
Sementara itu, pelaksanaan pukat TED itu juga diharapkan dapat membuka kembali pasaran pengeksportan udang negara yang kini disekat oleh AS. Sekatan yang telah berkuat kuasa selama lebih 10 tahun itu adalah atas faktor kegagalan Malaysia mencapai status negara yang memulihara spesies penyu secara menyeluruh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: