Tuesday, September 10, 2013

Maine syurga udang karang



PENINGKATAN suhu air tropika di perairan Maine dikhuatiri menjejaskan populasi hidupan marin termasuk udang karang.


PENANGKAP udang karang, Steve Train mungkin dicemburui nelayan-nelayan komersial di seluruh dunia ekoran lonjakan populasi udang karang di Portland, Maine, Amerika Syarikat (AS) yang mencecah jumlah tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah.
Para pelancong pula sanggup membayar AS$15 (RM50) atau lebih semata-mata untuk menikmati potongan udang karang yang dimakan bersama roti. Pencinta alam sekitar melihat populasi tinggi itu sebagai contoh kestabilan hasil laut yang jarang berlaku ketika dunia berdepan aktiviti perikanan berlebihan.
Rekod tangkapan tahun lalu mencecah sehingga 57 juta kilogram (kg) meningkat dua kali ganda berbanding sedekad lalu. Ia menimbulkan persoalan kepada orang ramai sama ada harga makanan laut itu murah seperti makanan harian lain termasuk nuget ayam atau pek makanan sejuk beku.
Ironinya, harga yang dibayar kepada nelayan udang karang di jeti telah merudum. Train memberitahu, bayaran yang diterima tidak mencukupi untuk pusingan modal bagi membeli umpan dan minyak kapal.
"Sukar bagi merancang pelan perniagaan dengan situasi yang berlaku sekarang," luah penangkap udang karang berusia 46 tahun itu yang menjadi nelayan di perairan Teluk Casco sejak remaja.
Walaupun kebanyakan nelayan di dunia berdepan kemerosotan hasil tangkapan, penangkap udang karang di Maine agak bertuah. Baru-baru ini mereka diiktiraf sebagai kawasan dengan aktiviti perikanan paling konsisten oleh Majlis Pengawasan Marin.
Peningkatan mendadak
"Saya yakin peladang jagung, gandum atau penternak ayam melalui situasi sama pada waktu tertentu," kata Pete Daley, Pengurus di Garbo Lobster Co di Hancock, Maine yang merupakan antara pengedar terbesar di AS.
Tambah Daley: "Orang akan bercakap bahawa mereka tidak mendapat harga yang selalu diterima atau harga yang layak diperoleh. Namun, apa yang kita lalui sekarang sebenarnya adalah kesan daripada perkembangan industri."
Tiada siapa tahu mengapa populasi udang karang meningkat secara drastik dalam tempoh yang pantas. Ahli biologi marin, Robert Steneck menjelaskan, ia mungkin disebabkan kombinasi suhu air tropika, penangkapan berlebihan pemangsa di pesisir pantai seperti ikan kod dan sejarah perancangan pemuliharaan berterusan yang dilaksanakan sejak dahulu.
"Udang karang merupakan spesies yang sering menjadi sasaran nelayan lebih 150 tahun dahulu tetapi membiak lebih banyak berbanding masa lalu," ujar Steneck yang juga seorang profesor di Universiti Maine.

KEMUNGKINAN udang karang akan berubah daripada sajian istimewa kepada hidangan biasa, sama seperti makanan laut lain.


Petanda baharu terhadap perubahan ekosistem dan ekonomi dapat dilihat apabila dua pengedar udang karang terbesar di dunia, Garbo dan syarikat yang berpangkalan di Massachusetts, Makanan Laut Pantai Timur mencipta kejutan dalam industri perikanan.
Dua musuh tradisi dalam bidang perniagaan itu mengambil keputusan untuk bekerjasama menukar kilang pengetinan sardin, Stinson Seafood Plant di Pelabuhan Prospect, Maine, kepada sebuah fasiliti memproses udang karang yang dilengkapi teknologi terkini.
Tahun ini, sebuah kilang dengan nama Maine Fair Trade Lobster Co pula akan mengambil seramai 130 pekerja dan memproses 2.3 juta kg udang karang. Kesannya, jumlah kilang memproses udang karang di negeri itu meningkat lebih tiga kali ganda berbanding lima pada tahun 2010.
Sementara itu, para pemerhati menegaskan bahawa masalah sebenar datangnya daripada padanan salah antara ekologi dan ekonomi, kurang kerjasama sesama nelayan dan persaingan harga melampau yang sering dikenakan para pembekal.
Pada musim bunga dan awal musim panas, udang karang akan memenuhi kawasan pesisir pantai bagi menanggalkan cengkerangnya yang keras, menjadikan ia sasaran mudah kepada nelayan udang karang yang menggunakan bot-bot kecil di kawasan berhampiran.
Bagaimanapun, ganjaran jangka pendek itu membentuk kitaran ganas apabila pasaran menjadi tepu dengan pantas dan membuatkan 5,300 penangkap udang karang negeri itu berdepan masalah bagi menurunkan harga pada nilai paling rendah.
"Kita semua mahukan keuntungan. Namun jika anda berada dalam industri ini, anda tidak akan dapat menangkap lebih banyak hasil sekiranya anda tidak mampu menjual hasil sedia ada bukan?" ujar John Jordan, seorang penangkap udang karang yang juga presiden bagi Calendar Islands Maine Lobster Co.
Jordan dan beberapa syarikat lain kini terdesak mencari jalan bagi memasarkan udang karang ke dalam pasaran makanan di luar zon sedia ada, daripada gazpaco iaitu sup campuran tomato, timun, lada benggala hijau, minyak zaitun dan cuka sehinggalah kepada pastri lapis dan quiche. Quiche merupakan doh pai yang banyak lemak dan mempunyai campuran kastard di atasnya.

PUNCA sebenar peningkatan udang karang di Maine masih belum dapat dipastikan.


Stok
Bagaimanapun, sebelum nama-nama besar dalam industri itu mengubah status udang karang daripada tangkapan istimewa kepada sajian harian biasa, pakar industri berpendapat, pertalian dalam rantaian penawaran perlu berjalan lancar.
Ketika ini, lebih banyak udang karang di Maine melibatkan kerja-kerja merebus, menyiang, membeku dan menyimpan makanan laut itu untuk dijadikan stok pada musim kekurangan bekalan.
Bagaimanapun, para saintis memberi amaran bahawa alam semula jadi mungkin mempunyai mesej berbeza untuk disampaikan kepada manusia. Steneck mengatakan, di selatan New England, populasi udang karang merosot pada tahun 1990-an akibat suhu air tropika yang meningkat sehingga ia dijangkiti penyakit dan bergelut untuk pulih.
Apabila air menjadi sedikit panas di Teluk Maine, pakar paling optimis terhadap udang karang. Mereka mengakui wujud peningkatan kebimbangan terhadap populasi hidupan laut di kawasan sekitar. Ia kini dapat dilihat menerusi pengurangan spesies kod dan hadok di perairan itu.
"Tiada pelabur dalam dunia ini yang akan menyarankan anda agar melabur semua duit pada satu stok sahaja. Namun ini yang kami lakukan di Maine," kata Steneck.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: