|
SEBUT sahaja Alibi Music, ramai yang menyangkakan bahawa label rakaman dan pengurusan artis ini sudah tidak wujud. Sebaliknya, masih terdapat cerita-cerita negatif yang tampil tentang label itu berkumandang.
Cerita-cerita itu telah meninggalkan impak yang tidak baik terhadap label rakaman tersbeut yang diketuai oleh Ferhard Ahmad sebagai Pengarah Urusan.
Baru-baru ini, Pegawai Perhubungan Alibi Music telah datang ke studio Utusan untuk menunjukkan bahawa label tersebut masih bernyawa dan mempunyai beberapa artis naungannya. Ketiga-tiga artis yang dibawa itu ialah Mafa, Jesselton dan Mu'adz mengaku sudah menandatangani kontrak bersama Alibi sejak awal tahun dan kini menjalani proses promosi produk terbaru mereka.
Mafa pertaruh Derhaka
Nama Mafa sudah dikenali menerusi program realiti televisyen Vokal Bukan Sekadar Rupa. Mendapat tempat kedua, dia merasakan program itu ialah pengenalan awal terhadap dunia industri hiburan sebenar.
Mafarika atau lebih gemar dikenali sebagai Mafa, awalnya mengasah bakat sebagai penyanyi sejak berumur 10 tahun. Ketika itu, pertandingan karaoke merupakan tempat dia beradu kekuatan jiwa dan vokalnya.
Bagaimanapun, ketika usianya menginjak 16 tahun, minat Mafa tiba-tiba lebih terarah ke dunia seni reka dan grafik. Berehat seketika dan tidak lagi aktif menyanyi, Mafa menumpukan perhatian terhadap minat baharunya itu.
Ketika mencecah usia 19 tahun, dia memberanikan diri kembali mengacah kembali bakatnya dalam Vokal Bukan Sekadar Rupa.
Kini, dia kembali dengan single bertajuk Derhaka yang ditulisnya sendiri. Single ini merupakan single ketiga selepas Tiba dan Pintu Hati.
"Saya cuba tulis lagu dan lirik ini sendiri. Manalah tahu, jika berpeluang masuk drama atau telefilem," jujurnya bercerita.
"Saya berduet dengan Roni vokalis Hyper Act melalui single Pintu Hati yang dimuatkan dalam drama Seindah Sakura yang pernah disiarkan di slot Samarinda," ujar Mafa yang berusia 21 tahun.
Sibuk menimba ilmu di Universiti Multimedia, Cyberjaya, Mafa juga turut mengalirkan idea kreatifnya dengan mengubah sebuah lagu buat Sharifah Zarina yang bertajuk Mengharap Cinta.
Ditanyakan tentang penyertaannya di bawah bumbung Alibi, Mafa memberitahu, dia mula menandatangani kontrak sejak April tahun ini.
"Saya mengetahui tentang Alibi apabila seorang teman mencadangkan supaya saya menghantar demo kepada mereka. Akhirnya saya menjadi artis di bawah label ini. Alibi mahu mempromosikan lagu-lagu saya di Singapura dan Brunei. Malah, sudah ada respons daripada para peminat di Singapura," ujarnya yang yakin dengan teraju Alibi.
|
Jesselton
Penubuhan awal grup yang diberikan nama Jesselton ini pada awalnya bertunjang beberapa ahli kumpulan Sofazr iaitu Zimi, Fairouz dan Rodie.
Mengambil nama grup sempena tempat di Sabah, Redzuan Zahari memberitahu, grup itu pada asalnya merupakan grup projek Zimi Sofarz.
Setelah beberapa kali mengalami perubahan anggota kumpulan, Jesselton kini dibarisi Suhaila Saadon, 23, (vokal); Zabidi Mohd. Dris, 32, (gitar utama); Azhar Ismail, 23, (bes); Redzuan Zahari, 32, (gitar kedua); dan Mukhsal Ismail, 32, (dram).
"Pergerakan grup ini bermula pada tahun lepas dan lagu kami bertajuk Patung pernah masuk dalam program Muzik Muzik. Terbaharu, kami mempersembahkan lagu bertajuk Pergi yang ditulis oleh Zimi dan lirik oleh Jesselton sendiri," ujar Redzuan seraya memberitahu mereka berusaha menonjolkan kelainan dengan membawakan genre rock yang sentiasa diterima baik oleh semua.
"Kami mahu memperkenalkan dan mengukuhkan nama Jesselton dalam industri muzik. Kami merangka untuk mengeluarkan tiga single berjudul Pergi, Kamu Yang Terbaik dan Penunggu pada tahun ini. selepas itu Jesselton akan muncul dengan album penuh dan perancangannya itu adalah pada tahun ini juga," ujar Redzuan atau dikenali sebagai Wan.
Bercakap tentang hubungan antara grup yang sebelum ini mempunyai latar belakang yang berlainan, Jesselton mengaku kekok pada fasa awal.
"Pada awalnya memang janggal. namun, kemudian kami jalani latihan muzik secara berkumpulan. Latar belakang dan pengaruh muzik yang berlainan membuatkan kita berusaha untuk menyatukan pada satu titik. Syukur selepas beberapa kali latihan, kami dapat berkomunikasi dengan baik," ujar Suhaila.
"Kami menjadi artis di bawah naungan Alibi pada tahun lepas. Pihak Alibi banyak membantu daripada segi promosi dan memperkenalkan lagu kami," ujar Wan lagi.
Buat para peminat muzik tempatan yang meminati genre moden rock, bolehlah memberi sokongan kepada grup tersebut dengan mengikuti perkembangan semasa mereka di laman sosial Facebook dengan menggunakan carian Jesselton Band.
|
Mu'adz tampilkan kelainan
Nama Mu'adz Dzulkifly sebenarnya tidak asing dalam kalangan para penggiat lagu nasyid dan dakwah tempatan.
Dia giat bergerak sebagai pengacara televisyen dan majlis, motivator serta tutor.
Kini, Mu'adz bernaung di bawah label Alibi Music dan merupakan penyanyi lagu-lagu kerohanian yang pertama yang diuruskan oleh label berkenaan.
Tuah berganda turut menyebelahi Mu'adz apabila dia bukan sahaja dapat menghasilkan single pertama malahan berpeluang untuk digandingkan dengan komposer dan vokalis terkenal dari seberang iaitu Noe dari kumpulan Letto. Malahan, latihan vokal, pembikinan dan proses rakaman suara juga diadakan di Yogyakarta, Indonesia.
"Bagi saya, ia merupakan peluang yang baik. Dapat merakamkan lagu di sana, saya akui suasananya berlainan. Saya diajar teknik suara bisikan oleh Noe. Tidak salah rasanya saya mempelajari teknik dan semangat yang diberikan oleh Noe. Teknik berbisik yang diajarkan itu saya rasakan sebagai salah satu pendekatan baharu yang membuatkan nyanyian saya lebih dekat kepada pendengar. Idea yang menarik dan sesuatu yang baharu," ujar Mu'adz yang tinggal lapan hari di Yogyakarta untuk menyiapkan lagunya.
"Single perdana saya bertajuk Rindukan Cahaya dan diikuti Sambutlah. Kedua-dua single ini digubah dan disusun oleh Noe dan Widi daripada kumpulan Letto. Lirik juga disumbangkan oleh Letto," tambah Mu'adz
Ditanya tentang cara kerja bersama komposer dari Indonesia, Mu'adz memberitahu, dia diberikan penekanan daripada segi penghayatan.
"Mereka melatih saya menyebut perkataan demi perkataan dengan betul. Memang banyak diajar tentang penumpuan bukan sahaja nyanyian tetapi juga instrumentasi," tambah jejaka berusia 34 tahun ini yang menganggap pengalaman itu sebagai sangat berharga.
Menyentuh soal imejnya yang santai walaupun membawakan lagu-lagu kerohanian, Mu'adz mengaku memang mahu menonjolkan sisi kasual dan tanpa kopiah. Perkara penting baginya ialah tanggungjawab membawakan mesej dalam lagu-lagunya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: