Sunday, September 8, 2013

Kotak jadi duta tayar



GRUP ini diberi tugasan menyanyikan lagu Rise and Fall yang berkolaborasi bersama penyanyi rap, JFlow untuk kelab bola sepak Manchester United.


FORMASI bertiga ini lebih nampak kompak selepas Posan meninggalkan Kotak. Tantri, Cella dan Chua yang sering bertandang ke Malaysia datang lagi untuk mempersembahkan album baharu mereka yang berjudul Kotak Terbaik.
Mengandungi 17 buah lagu, album edaran Warner Music Malaysia ini turut mengandungi empat buah lagu baharu iaitu Aku Yang Tersakiti (feat Judika), Hijaukan Bumi, I Love You dan Kecuali Kamu.
Kerap datang ke Malaysia selari dengan populariti yang mereka lakukan di sini, Chua (pemain bes) dan Tantri (vokalis) masih kelihatan sama. Dua wanita aktif ini bergelak ketawa dan pantas menjawab soalan-soalan media sewaktu ditemuramah di Hotel The Zone, Kuala Lumpur baru-baru ini. Cella yang merupakan pemain gitaris sebaliknya hanya melemparkan wajah serius tanpa senyum dan menjawab hanya sepatah kata pada setiap soalan. Mungkin dia berasa penat dengan jadual yang padat dan tidak dapat menipu keperibadian sebenar yang sedikit sombongnya itu.
"Album dengan judul Kotak Terbaik ini sudah setahun dilancarkan di Indonesia. Sekarang ia dilancarkan di Malaysia tetapi mempunyai sedikit perbezaan pada kulit album. Melalui album ini, single pertama kami ialah Aku Yang Tersakiti diikuti I Love You. Jika di Indonesia, kami mempromosikan lagu Menembus Cahaya," ujar Chua yang manis.
Menurut Kotak, jadual persembahan dan promosi mereka cukup padat tambahan lagi mereka baru sahaja dipilih sebagai duta kepada produk tayar Achilles.
"Pemilihan kami dibuat kerana dianggap mampu menarik perhatian golongan remaja,"tambah Tantri yang mempunyai vokal suara yang cukup mantap.
Sudah mengeluarkan empat buah album, ruang evolusi dan pendedahan, mereka kini semakin terbuka apabila dipilih untuk menyanyikan lagu tema buat kelab Manchester United yang berjudul Rise and Fall.
"Kami berkolaborasi dengan JFlow untuk lagu Rise and Fall. Kami juga akan berangkat ke Manchester untuk menggarap klip video lagu tersebut. Malah, pemain bola sepak kelab terkenal itu juga akan terlibat dalam klip tersebut. Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan JFlow yang memang diminta oleh sebuah perusahaan produk automotif," terang Chua. Dia gembira tentang kolaborasi bersama JFlow yang merupakan penyanyi rap yang dikenali di Indonesia dalam penghasilan lagu itu.
Anggota-anggota Kotak mempunyai resipi sendiri untuk hidup harmoni.
"Kalau tidak atas urusan kerja, kami mengelak untuk berjumpa. Kami tidak mahu bosan, asyik melihat wajah masing-masing. Selain itu juga, kami menerapkan ingatan untuk terus menjadi diri sendiri. Sebagai sebuah grup, memang ada bergaduh, bersedih dan gembira," ujar Chua yang mempunyai nama berdaftar Swasti Sabdastantri.
Menurut Chua lagi, keputusan untuk mengadakan latihan nyanyian, pengumpulan material atau merakamkan lagu akan dilakukan oleh Cella yang mempunyai studio di rumahnya.
"Kalau ada jelajah dari kota ke kota, kami mempunyai pasukan kerja yang ramai. Kami sering ketawa dan bergaul sesama kami. Lebih lucu kerana dalam grup ini ada yang melatah, jadi suasana tambah meriah," akhiri Tantri mewakili grup mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: