
BARISAN karyawan teater
Maduku...Kalut bergambar pada sesi sidang media pengumuman teater
tersebut yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 27 hingga 30
September ini.
SEBELUM ini syarikat produksi teater MASK Team dilihat cukup aktif menerbitkan pementasan teater berskala kecil yang selalu dipentaskan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka.
Antara pementasan teater yang pernah dijayakan syarikat berkenaan serta mendapat sambutan menggalakkan seperti siri teater Juta-Juta, Juta-Juta 3D dan Kotak Hitam.
Atas kejayaan mementaskan ketiga-tiga teater berkenaan, MASK Team kini mempertaruhkan naskhah terbaharu berjudul Maduku... Kalut yang bakal dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya (IB) pada 27 hingga 30 September ini.
Pengarah Urusan MASK Team, Shawn Amer berkata, pihaknya sangat gembira apabila mendapat peluang untuk mementaskan teater di Istana Budaya setelah diundang sendiri oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani beberapa bulan yang lalu.
“Seperti yang semua sedia maklum kebanyakan pementasan teater di Istana Budaya ini biasanya dilakukan dalam skala yang besar. Jadi, undangan yang kami terima ini pastinya satu penghargaan yang cukup besar buat MASK Team.
“Dengan peluang ini juga pastinya akan digunakan dengan sebaik-baiknya untuk mementaskan sebuah teater yang berkualiti dan diminati ramai,” ujarnya yang mengakui agak berdebar menjelang pementasan teater tersebut.
Menurut Shawn, antara barisan pelakon yang bakal membintangi teater berkenaan seperti Izzue Islam, Jihan Raja Lawak, Nad Zainal, Karl Shafek, Sofian Bujang, Fazleena Hishamuddin dan Nazurah Hanoom.
Ujarnya, pemilihan para pelakon yang menjayakan teater Maduku... Kalut dibuat berdasarkan kepada perbincangan dengan Muhamad Azhar Zainal yang bertindak selaku pengarah.
“Kalau dilihat barisan pelakon yang sedia ada ini merupakan gabungan pelakon komersial dan pelakon bebas yang sering berkecimpung dalam dunia pementasan teater,” jelasnya.

Jehan dan Nad Zainal pertama kali berganding dalam sebuah naskhah teater.
Berkenaan dengan persiapan menjelang pementasan pula, Shawn memberitahu semuanya berjalan dengan lancar dan para pelakon sudah mula menjalani latihan sejak bulan puasa lalu.
Maduku... Kalut mengisahkan tentang kehidupan seorang pemandu teksi, Selamat Johan yang mempunyai jadual harian yang ketat. Dia terpaksa memberi komitmen terhadap kerjaya dan kehidupan rumah tangganya bersama dua orang isteri iaitu Bibi, isteri pertamanya yang tinggal di Kampung Baru dan Mimi iaitu isteri kedua yang menetap di Keramat.
Bagi mengelakkan rahsianya terbongkar, Selamat membahagikan masa tertentu untuk bersama kedua-dua isterinya sehinggalah dia terlibat dalam satu insiden yang membuatkan keadaan menjadi kalut. Dia terpaksa meminta bantuan Adam, seorang pemuda yang juga jirannya untuk bersemuka dengan pihak polis, wartawan dan kedua-dua isterinya.
Kali pertama
Bagi pelakon Izzue Islam yang membawakan watak sebagai Selamat dalam pementasan teater Maduku... Kalut, peluang untuk beraksi di pentas teater merupakan saat yang dinantikannya selama ini.
Ujarnya, setelah berkecimpung dalam bidang nyanyian dan lakonan, kini sudah tiba masanya untuk dia mengembangkan lagi bakatnya dalam teater pula.
“Sebenarnya keinginan untuk berlakon teater sudah lama terpendam dan saya pernah mendapat beberapa tawaran, namun saya terpaksa menolaknya kerana jadual yang tidak sesuai.
“Bagaimanapun, kali ini rezeki ternyata berpihak kepada saya untuk berlakon dalam teater Maduku... Kalut dan impian untuk berlakon teater akhirnya telah terlaksana,” jelasnya yang mula dikenali ramai menerusi filem 29 Februari itu.
Ketika ditanya mengenai perasaannya sekarang ini kerana buat julung-julung kalinya bakal berlakon teater, Izzue tidak dapat menyembunyikan perasaan gementarnya.
“Walaupun sudah banyak kali berlakon perasaan berdebar itu tetap ada kerana ini kali pertama saya tampil dalam pentas teater. Namun begitu, saya sangat teruja dan tidak sabar untuk menampilkan aksi saya nanti,” ujarnya.
Bagi yang ingin menyaksikan pementasan teater Maduku... Kalut, tiket-tiket berharga RM35, RM55 dan RM85 sudah mula dijual di kaunter Box Office IB.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: