Wednesday, August 14, 2013

Semangat beraya tidak pernah luntur




JAUH beribu batu nautika di tengah laut meraikan suasana hari raya tanpa keluarga tercinta sudah cukup membuatkan hati sang perantau terusik.
Apatah lagi, jika ia merupakan pengalaman kali pertama atas tuntutan kerjaya. Namun, sambutan Aidilfitri menjadi ceria dengan kehadiran kru kapal lain yang sama-sama berusaha menjadikan suasana lebaran meriah.
Seorang jurutera elektrik syarikat pembekal utama luar pesisir pantai dalam industri minyak dan gas, Mohd. Fithri Kamalludin, 29, berkongsi pengalamannya berjauhan dengan keluarga dan sanak saudara pada pagi Aidilfitri buat julung-julung kalinya kerana bertugas.
Pada petang Syawal dua tahun lalu, Mohd. Fithri berada di laluan perdagangan antarabangsa berhampiran Johor Bahru, Johor menuju ke Vietnam.
“Pada mulanya saya berasa sayu selepas diberitahu oleh syarikat yang saya akan bekerja di atas kapal pada hari lebaran.
“Bagaimanapun, perasaan itu berubah kerana berpeluang merasai pengalaman menyambut Aidilfitri di tengah laut bersama teman sekerja,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Menurut anak kelahiran Klang, Selangor itu, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, kesemua kru akan berkumpul dan menjamu selera menikmati juadah seperti nasi himpit, rendang dan kuih raya.
Rindu kuah lodeh
Walaupun masih berkesempatan menyambut hari raya secara ala kadar, Mohd. Fithri tetap rasa terkilan kerana tidak dapat menikmati hidangan lodeh hasil air tangan ibu tercinta.
Pada sambutan raya sebelumnya, dia berpeluang bersarapan bersama keluarga, menunaikan solat sunat Aidilfitri, bertandang ke rumah sanak saudara dan berjumpa kawan-kawan lama. Itu antara perkara yang paling dirinduinya ketika menyambut 1 Syawal tanpa keluarga.
Ibunya, Ruhayah Mahmod, 64, memberitahu, kehadiran Mohd. Fithri yang lengkap berbaju Melayu, bersamping dan bersongkok segak pasti terbayang di mata saat anaknya tidak dapat beraya bersama buat kali kedua tahun ini.
“Ketiadaannya membuatkan kami rasa kehilangan dan menjadi sayu kerana mengenangkan dia yang berada jauh di tengah laut. Hati memang merintih pedih tetapi hanya doa dapat saya panjatkan untuknya.
“Saya akan melihat album raya tahun-tahun sebelum ini bagi mengubat kerinduan di hati,” ujarnya yang juga seorang penulis novel yang dikenali dengan nama Puteri Andalas.

MOHD. FITHRI (dua dari kanan) bergambar bersama kru kapal pada sambutan Syawal dua tahun lalu.


Perkara yang paling dirindui mengenai anak bongsunya itu ialah ciuman pada tangan dan pipinya.
Keramahan Mohd. Fithri menyambut tetamu membuatkan sanak saudara menyedari ketiadaannya pada lebaran. Hati si ibu dicuit rasa hiba tatkala ada saudara yang bertanyakan tentang anaknya.
“Sebagai anak lelaki tunggal dan bongsu, dia disayangi oleh adik-beradik dan anak-anak saudaranya. Dia juga seorang yang pemurah kerana sering membelikan pelbagai hadiah untuk kami sekeluarga,” jelasnya.
Tujuh kali beraya di laut
Dalam pada itu, eksekutif perkhidmatan marin sebuah syarikat swasta, Syed Muhammad Thareiq Syed Husin, 29, yang berasal dari Skudai, Johor Bahru, Johor turut menceritakan pengalamannya menjalani ibadah puasa dan raya kali pertama di atas kapal iaitu sekitar sedekad lalu.
Pada ketika itu, dia merupakan pelajar Akademi Laut Malaysia yang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat perkapalan terkemuka yang berpangkalan di Malaysia.
Katanya, dia sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga dan menyambut Syawal bersama petugas luar negara yang rata-ratanya tidak dikenali. Suasana bulan Ramadan di kapal meriah kerana kru kapal tidak melepaskan peluang berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih secara berjemaah.
Sepanjang lapan tahun bekerja dalam bidang perkapalan dan cari gali, Syed Thareiq cuma berpeluang beraya di daratan bersama keluarga sebanyak sekali. Tambahnya, dia pernah belayar ke Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat ketika umat Islam lain sedang meraikan Syawal.
“Semasa kapal berlabuh di Jepun, saya dan kawan-kawan sempat membeli gitar elektrik untuk jamming di bilik (atas kapal) selepas selesai menjamah juadah hari raya. Ia sedikit sebanyak mengurangkan kerinduan terhadap keluarga dan suasana hari raya.
“Selepas selesai solat sunat Aidilfitri dan bersalaman dengan kawan-kawan, kami menikmati hidangan raya seperti sate, ketupat dan capati. Kemudian, kami mengadakan sukaneka dan barbeku pada sebelah malam,” ujarnya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.
Bagaimanapun, segelintir kru akan menyambung tugasan mereka seperti biasa mengikut jadual yang ditetapkan biarpun semangat berhari raya belum luntur.

SYED THAREIQ (tiga dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama rakan sekerja yang lengkap berbaju Melayu pada Hari Raya Aidilfitri.


Mengimbau kembali kenangan sewaktu ingin menghubungi keluarga pada Syawal tahun 2008, Syed Thareiq terpaksa membeli kad tambah nilai yang berharga AS$20 (RM64) untuk menggunakan telefon satelit. Nilai tersebut membolehkannya berhubungan dengan insan tersayang selama lebih kurang setengah jam.
Difahamkan, sesetengah kapal sudah menyediakan teknologi terkini iaitu wi-fi yang membolehkan petugasnya menggunakan laman sosial seperti Skype dan Facetime untuk berinteraksi dengan keluarga masing-masing walaupun berada jauh di lautan.
Telefon satelit
Sementara itu, Penyelia Pengeluaran Petronas Cari Gali, Mustapah Mase, 40, berkata, kemudahan panggilan telefon daripada Telekom Malaysia ada disediakan di pelantar minyak ERB West (Enlisted Retention Board) di Kota Kinabalu, Sabah.
Setiap pekerja diberi peluang menghubungi keluarga secara bergilir-gilir. Kos untuk membuat panggilan luar dikenakan caj RM5 seminit.
“Di pelantar ERB West, kemudahan telefon satelit disediakan oleh syarikat telekomunikasi Celcom dan digunakan pada masa kecemasan sahaja iaitu sewaktu talian Telekom terputus.
“Pihak syarikat menyediakan akses kepada internet melalui satelit. Kebiasaannya, pekerja dan keluarga masing-masing akan saling mengirim gambar raya bagi mengubati kerinduan mereka,” jelasnya yang pernah beraya sebanyak empat kali di pelantar minyak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: