|
KECOH suasana studio fotografi Kosmo! pada pertengahan bulan Ramadan lalu. Mana tidaknya, menggabungkan dua pelakon muda yang banyak keletah, Anzalna dan Sharifah Sakinah memang tak menang tangan dibuatnya.
Sementara aksi penuh anggun mereka dibidik jurufoto Kosmo! Farizwan Hasbullah, derai tawa Anzalna dan Sakinah memecah hening buntu seisi studio fotografi Utusan Melayu.
Aidilfitri pastinya memberikan sejuta rasa bagi kedua-duanya, namun berkongsi interpretasi sama - meraikan kejayaan setelah sebulan berpuasa.
Baju kurung jaket tebal
Mengimbau kembali kerinduan suatu ketika dulu meraikan 1 Syawal di Montreal, Kanada, kata Anzalna, 25, saat mendengar takbir raya yang dilaungkan masjid berdekatan kejiranannya, rasa rindu terus menusuk ulu hati.
"Beraya di perantauan benar-benar mengundang sebak, terutama pada 1 Syawal. Mana tidaknya saudara-mara kita semua berada di Malaysia, cuma saya dan keluarga kecil kami di sana.
"Komuniti Islam di Montreal tidak besar, kalau ada pun beberapa buah keluarga Arab, Indonesia dan Pakistan. Selebihnya bukan Islam, tapi saya seronok kerana bertemu dengan saudara seagama kita berbeza-beza latar belakang.
"Biasanya selepas sembahyang raya kami akan menziarahi antara satu sama lain dan tradisi rumah terbuka ketika itu diamalkan dengan penuh rasa kesyukuran," ujarnya yang menetap di Kanada ketika berusia tujuh hingga sembilan tahun.
Cerita Anzalna lagi, dia pernah meraikan Aidilfitri ketika musim sejuk ditemani butir-butir salji menyelimuti tanah. Lucunya, walaupun berbaju kurung, mereka sekeluarga terpaksa menyarung beberapa lapis baju sejuk untuk memanaskan badan.
"Keseronokan beraya bertambah meriah apabila perasaan untuk memakai baju kurung dalam cuaca terlampau sejuk meluap-luap.
"Kita sudah terbiasa apabila tiba hari raya wajib pakai baju kurung, jadi dalam cuaca yang sejuk pun kami adik-beradik tetap berdegil mahu pakai baju kurung, tapi terpaksa pakai jaket lagi berlapis-lapis," tambahnya.
Selain Kanada, keluarga Anzalna juga pernah menetap di Tasmania, Australia sejak usia 15 hingga 21 tahun dan pelakon drama Adam & Hawa itu mengakui beraya di perantauan ibarat alah bisa tegal biasa.
JADUAL kerja Sakinah kini semakin padat dengan tawaran berlakon.
|
Konvoi utara selatan
Tiada kenangan paling manis yang ingin dikongsi Anzalna selain dapat meraikan 1 Syawal bersama keluarga tercinta.
"Nikmat Aidilfitri bagi saya adalah bersama-sama keluarga saya pada pagi hari raya pertama. Bermaaf-maafan dalam suasana syahdu ditemani seisi keluarga yang lengkap sudah memadai untuk merasai keindahan Syawal, itu anugerah terindah saya," ujarnya.
Kemeriahan Syawal beraya di Malaysia pula berbeza bagi selebriti lain. Hampir kebanyakan waktu menyambut lebaran di Malaysia dihabiskan dengan berkonvoi di atas jalan raya.
"Keluarga kami memang meriah, hari raya pertama disambut di Pulau Pinang bersama keluarga sebelah ibu, kemudian kami bertolak ke Muar, Johor pada hari raya kedua untuk beraya bersama keluarga sebelah bapa.
"Seronoknya apabila suasana raya sangat dirasai walaupun berada di atas jalan raya. Ketika itu semua pemandu kenderaan lain berpakaian raya walaupun perjalanan jauh dari utara ke selatan," katanya.
Raya budak KL
Berbeza bagi Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar atau mesra disapa Sakinah, 24. Aidilfitri baginya cuma bersama keluarganya di ibu kota Kuala Lumpur.
"Malam raya saya di Kuala Lumpur dan 1 Syawal saya pun di Kuala Lumpur, malah malam raya baru saya berkesempatan ke Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk mencari baju raya.
"Pada pagi raya pula saya dan keluarga kakak-kakak saya akan berkumpul bersama di rumah abang Ijoy (suami kakaknya, Sharifah Shahirah) di Melawati.
"Kemudian, barulah kami menziarahi jiran-jiran dan kawan-kawan terdekat selain rumah rakan artis yang berada di sekitar Kuala Lumpur.
"Makna Aidilfitri saya barangkali berbeza daripada orang lain yang selalunya teruja pulang ke kampung halaman masing-masing, tapi hakikatnya keluarga saya beraya di bandar. Kiranya sambutan Aidilfitri saya adalah sambutan Aidilfitri moden," singkapnya.
Malah kata Sakinah, adakalanya saudara-maranya dari Pahang dan Alor Setar, Kedah akan berkunjung ke rumahnya di Kuala Lumpur pada hari raya.
"Saya cuma pernah sekali pulang ke Alor Setar, Kedah untuk beraya dan ketika itu usia saya tujuh tahun.
"Rumah keluarga di sana bukan tipikal rumah kampung, semua sudah moden dan sama saja seperti Kuala Lumpur. Ruginya saya kerana tidak dapat merasakan suasana kampung pada hari raya," kata adik bongsu kepada pelakon Sharifah Noor Haslinda dan Sharifah Shahirah itu.
ANZALNA merupakan salah seorang pelakon baharu yang sering menjadi pilihan penerbit.
|
Bekas dan bakal
Istimewa raya keluarga Sakinah katanya kerana kemeriahan beraya dengan bekas keluarga dan bakal keluarga baharu.
"Kami tidak memutuskan silaturahim dan Aidilfitri adalah waktu terbaik untuk berkumpul bersama insan yang dahulunya pernah hadir dalam keluarga kami.
"Abang Yantzen (bekas suami Sharifah Noor Haslinda) masih menyambut lebaran bersama-sama kami sekeluarga begitu juga abang Jatt (bekas suami Sharifah Shahirah).
"Tahun ini istimewa bagi saya kerana auntie Erma Fatima satu keluarga datang beraya ke rumah pada malam hari raya pertama.
"Perasaan ketika itu rasa sangat gemuruh sebab pertama kali kami dua keluarga beraya bersama-sama. Lagipun, kami sudah lama tidak berjumpa sebelum ini walaupun rumah cuma berdepan," katanya yang menafikan tujuan kedatangan Erma Fatima sekeluarga atas tujuan merisik kerana dia bercinta dengan anak pengarah tersebut.
Berbeza raya tahun ini, kata Sakinah kerana dia terlampau sibuk untuk membuat persiapan raya dek tuntutan kerja.
"Puasa tahun ini tidak terasa kerana saya sibuk dengan penggambaran drama Penghujung Dendam sepanjang bulan Ramadan, jadi secara tidak langsung saya tidak sempat membuat persiapan raya.
"Saya tidak kisah pun kalau pakai balik baju-baju raya tahun lepas, cukup bersederhana," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: