Monday, August 5, 2013

Nabil, Aril deejay baharu Era FM



NAZRI (tiga dari kanan) dan Aril (dua dari kanan) bersama kru Era FM yang lain menjanjikan sesuatu yang segar dan mengujakan sebagai sajian stesen radio itu.


TANGGAL 1 Ogos lalu, genap 15 tahun stesen radio Era FM beroperasi dan berjaya melakar sejarah sebagai sebuah stesen radio swasta pertama bersiaran dalam bahasa Melayu sejak ia ditubuhkan tahun 2008.
Perubahan demi perubahan dilaksanakan demi memastikan kualiti stesen radio yang bernaung di bawah payung Astro Radio itu terjamin.
Antara strategi terbaharu adalah dengan meletakkan Nabil Ahmad dan Aril Pilus sebagai pertaruhan untuk mengemudi dua rancangan besar Era FM.
Nabil yang bakal menggantikan Datuk Aznil Nawawi mengendalikan segmen Carta Era 40 pada hujung minggu manakala Aril bakal mengendalikan MeleTop 40 Era.
Mengulas mengenai pemilihan Nabil sebagai tonggak besar mengendalikan slot yang mendapat sambutan hebat sepanjang stesen radio itu ke udara, kata Pengurus Radio Era FM, Nazri Noran, pihaknya ingin meniup angin baharu buat pendengar.
"Nabil sudah memulakan tugasnya pada 1 Jun lalu dan mendapat maklum balas positif daripada pendengar yang mengikuti segmen itu sejak Datuk Aznil Nawawi menjadi perantara.
"Sebenarnya, Nabil sudah lima tahun bersama Era FM dan kami memilihnya kerana mahukan pembaharuan.
"Kami percaya, Nabil mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan slot penting itu," katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan sambutan ulang tahun ke-15 Era FM di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini.

BAWAH: Ceria... ERA FM melancarkan album kompilasi sebagai simbolik ulang tahun ke-15.


Tambahnya, Nabil memberikan persetujuan untuk berkolaborasi dengan Era FM pada hujung tahun lalu setelah beberapa kali ditawarkan.
Nazri juga menegaskan, pemilihan Nabil bukan disebabkan pengalamannya mengendalikan program di stesen radio lain sebelum ini. Sebaliknya, pelawak itu dipilih bersandarkan bakat yang ada.
"Tidak perlu ada isu perbandingan Nabil mengendalikan segmen di Era FM dengan stesen radio lain sebelum ini kerana Nabil mempunyai bakat tersendiri.
"Biarpun kedua-duanya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pengacaraan radio, risiko itu merupakan pembaharuan yang kami lakukan sehingga membolehkan Era FM kekal selama 15 tahun," ujarnya.
Berkongsi pengalaman mengendalikan segmen MeleTop Era 40, kata Aril, dia mendapat banyak tunjuk ajar daripada deejay senior sebelum ini.
"Memang pada mulanya, sukar untuk saya seorang penyanyi yang langsung tiada pengalaman mengendalikan program di radio secara langsung tapi saya mendapat bimbingan yang secukupnya daripada deejay-deejay senior.
NABIL sebenarnya sudah lima tahun berkhidmat dengan Era FM.


"Sebelum ini saya diberikan tanggungjawab mengendalikan slot pada hujung minggu sahaja tetapi apabila ditawarkan untuk slot yang lebih besar, ini penghargaan besar buat saya," katanya.
Dalam pada itu, Era FM turut melancarkan sebuah album kompilasi sebagai simbolik ulang tahun ke-15 stesen radio itu.
Album yang bertemakan Kembali Ke Sekolah itu melibatkan kerjasama Warner Music Malaysia dan Astro sudah berada di pasaran.
Sebanyak 15 buah lagu popular yang kerap menduduki carta terbaik Era FM sepanjang 15 tahun dimuatkan dalam album itu antaranya Hijau (Zainal Abidin), Purnama Merindu (Siti Nurhaliza), Jesnita (Exist), Pulangkan (Misha Omar), Kebahagiaan Dalam Perpisahan (Shahir) dan Untuk Dia (Sleeq & Najwa Latif).
Sebagai tanda penghargaan, Era FM memberikan Anugerah Artis Terbaik Era FM kepada penyanyi yang mempersembahkan prestasi cemerlang sepanjang bulan.
Antara penyanyi yang telah dinobatkan Artis Terbaik Era FM seperti Hafiz, Faizal Tahir, Forteen dan Waris.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: