• Modenas mahu kuasai pasaran Amirudin (kiri) dan bekas CEO Modenas, Abdul Halim Ismail pada majlis Kempen Penghargaan Berganda Modenas, semalam. 
MOTOSIKAL dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), yakin untuk meningkatkan nilai penguasaan pasaran kepada 12 peratus dan mencapai sasaran jualan 70,000 unit motosikal menjelang Mac tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Modenas, Amirudin Abd Kadir berkata, setakat ini syarikat nasional di bawah konglomerat DRB-Hicom itu menguasai lapan peratus pasaran.

“Untuk separuh pertama tahun ini, Modenas telah mencatatkan jualan 18,000 unit motosikal dan yakin sasaran akan dapat dicapai dengan promosi dan Kempen Penghargaan Berganda Modenas yang dijangka dapat meningkatkan lagi jualan,” katanya kepada media selepas melancarkan kempen tersebut di Shah Alam, semalam.

Selain mengukuhkan kedudukan di pasaran tempatan, Modenas juga bakal meneroka pasaran baru secepat mungkin bagi meluaskan lagi pasaran motosikalnya di luar Malaysia.

“Ketika ini, Modenas telah mempunyai kehadiran di pasaran Eropah, dan kini akan mengintai lebih banyak peluang pasaran luar bagi mengukuhkan lagi kehadiran kami di lebih pasaran lain.

“Salah satu strategi kami juga adalah mengembangkan perniagaan kepada pasaran eksport, dan dengan kapasiti yang dimiliki ketika ini iaitu sebanyak 250,000 motosikal, sudah pasti Modenas perlu lebih berkembang untuk mengukuhkan lagi operasi,” katanya.

Sebagai CEO Modenas yang baru, Amirudin turut berhasrat untuk menjadikan jenama itu sebagai jenama nombor satu negara pada masa akan datang.

Sementara itu, Modenas menawarkan 165 hadiah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1 juta sepanjang lima bulan kempen berlangsung bermula 1 Ogos hingga 31 Disember ini.

Kempen boleh disertai dengan cara membeli Modenas CT100 atau Motosikal Rakyat 1Malaysia (MR1), dan pelanggan akan mendapat wang pos bernilai RM150 selain menikmati jaminan percuma selama tiga tahun atau 20,000 kilometer.