• Imigresen periksa 818 warga asing dalam Ops Sayang Imigresen periksa 818 warga asing dalam Ops Sayang
JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Johor memeriksa seramai 818 warga asing dalam Ops Sayang yang dijalankan sekitar negeri ini melalui 67 operasi bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Penolong Pengarah Imigresen, Masri Adul berkata, dalam operasi terbabit, warga Vietnam merupakan warga asing paling ramai ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti tidak bermoral termasuk bekerja di rumah urut dan menjadi pelayan pelanggan (GRO).

Menurutnya, warga asing terbabit dikesan menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini.

Selain itu, pihaknya juga percaya ada sebilangan gadis berkenaan turut diperdaya oleh sindiket sehingga terjebak dalam pelacuran dan aktiviti tidak bermoral.

“Kita juga percaya, jumlah rakyat Vietnam yang ditahan agak tinggi dalam Ops Sayang disebabkan kedudukan negara itu yang berhampiran dengan Malaysia, justeru kos untuk membawa masuk gadis ini agak murah.

“Berdasarkan tangkapan melalui operasi, jumlah kedua tertinggi yang ditahan adalah warga China, diikuti Thailand ketiga dan Indonesia berada di tempat keempat daripada penahanan operasi berkenaan,” katanya.

Katanya, terdapat warga asing yang diperiksa ketika operasi mempunyai permit tinggal di negara ini disebabkan berkahwin dengan lelaki tempatan.

Masri berkata, pihaknya juga khuatir warga asing wanita berkenaan sengaja memilih untuk berkahwin dengan warga tempatan hanya kerana mahu tinggal di negara ini bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa, namun ia bukan alasan untuk terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

“Pihak Imigresen juga sukar untuk mengesan sindiket ini sekaligus mengaitkan mereka dengan kesalahan pemerdagangan manusia disebabkan mereka yang ditahan enggan memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Apabila disoal siasat, warga asing terbabit hanya memberikan nama samaran majikan mereka sekaligus sukar untuk pihak berkuasa mengesan sindiket terbabit untuk di dakwa ke mahkamah,” katanya.

Masri memaklumkan pelbagai modus operandi digunakan sindiket bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, namun beliau berkata pihak Imigresen juga mampu untuk membaca taktik sindiket berkenaan.