|
BAU minyak pelincir dan bunyi deruman ekzos bersilih ganti memenuhi ruang bengkel kenderaan yang terletak di kawasan rumah kedai dua tingkat di Taman Balakong Jaya, Balakong, Selangor itu.
Kelihatan beberapa pekerjanya tekun melakukan tugas masing-masing. Raut wajah mereka jelas keletihan.
Bekerja pada bulan puasa sejak dari pagi mereka bertungkus-lumus menyiapkan pelbagai jenis kenderaan yang dihantar ke bengkel itu.
Helmey Rizal Harun, 37, memerhatikan sekeliling. Beberapa pelanggan masih sabar menunggu di ruang yang disediakan.
Seperti dirinya, mereka tidak berkompromi tentang keselamatan kenderaan. Ia mesti berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan ke kampung.
Bagi Helmey, sudah menjadi kelaziman, setiap kali berjalan jauh atau bercuti panjang sempena musim-musim perayaan dia selesa menghantar Proton Perdana V6 kesayangannya ke AAN Auto Garage untuk diselenggara.
"Beginilah adat menggunakan kenderaan terpakai, aspek penjagaan dan penyelenggaraan kenderaan perlu dititikberatkan biarpun tidak mengalami sebarang kerosakan.
"Biarlah terpaksa menunggu lama sedikit, asalkan hati tenang dan tenteram ketika pulang ke kampung nanti," kata kakitangan sebuah syarikat swasta itu.
|
Kereta rosak
Bakal pulang berhari raya ke rumah keluarga mertua di Mentakab, Pahang pada dua hari sebelum 1 Syawal, Helmey memberitahu, pengalaman kenderaannya tersadai di tepi lebuh raya dua tahun lalu menjadi pengajaran berharga kepada dirinya.
"Ketika itu saya dan keluarga dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Kuala Lumpur sebelum kompresor kenderaan tiba-tiba rosak.
"Akibatnya kenderaan terpaksa ditunda sehingga ke Tapah, Perak untuk dibaiki. Sememangnya malang tidak berbau, namun sekurang-kurangnya apabila melakukan pemeriksaan menyeluruh saya berpeluang mengesan sebarang kerosakan lebih awal," ujarnya.
Tambah Helmey, dia memilih menghantar kenderaannya ke bengkel itu kerana mengenali pemiliknya, Azaril Amri Thalip, 33, selain kedudukan bengkel yang tidak jauh dari rumahnya di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Mengakui dirinya agak cerewet berhubung penjagaan kenderaan, Helmey jarang bertukar-tukar mekanik.
"Lagi pun, saya percaya dengan kebolehan Azaril yang berpengalaman luas dalam bidang automotif. Saya berpuas hati dengan hasil kerja yang teliti dan kejujurannya," ujar Helmey.
Memulakan operasi pada Mac 2008, AAN Auto Garage tidak pernah sunyi dengan kehadiran pelbagai jenis kenderaan.
Lewat malam
Dari aspek penyelenggaraan, baik pulih, penalaan, pengubahsuaian enjin dan sebagainya, bengkel itu lengkap dengan pelbagai peralatan moden.
Menurut Azaril, jumlah pelanggan ke bengkelnya meningkat antara tiga hingga empat kali ganda setiap kali menjelang Syawal.
"Paling ketara kira-kira dua minggu terakhir Ramadan, kadang-kadang satu hari tidak kurang daripada 20 kenderaan yang perlu diperiksa dan diselenggara.
"Sepanjang tempoh itu kami terpaksa bekerja lebih masa sehingga lewat malam untuk menyiapkan semua kenderaan yang dihantar pelanggan," katanya yang berasal dari Bagan Datoh, Perak.
Ujarnya, dia lazim menutup operasi bengkelnya sehari sebelum Syawal, namun adakalanya tidak dapat menolak permintaan pelanggan yang datang pada saat-saat akhir.
Rawat enjin
"Tugas mekanik ini boleh ibarat seorang doktor, cuma bezanya kami merawat enjin bukan manusia. Apabila berlaku kecemasan, kami mesti memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Pernah dua tahun lalu, ketika saya dan keluarga mahu pulang berhari raya pada hari raya pertama, seorang pelanggan muncul di bengkel kerana kenderaannya mengalami kerosakan. Hendak tak hendak terpaksalah buka semula bengkel dan menyelesaikannya sebelum pulang ke kampung,"ceritanya.
Berpengalaman hampir sedekad dalam bidang automotif, Azaril berkata, biarpun tidak segah pusat pemeriksaan kenderaan jenama-jenama terkemuka di negara ini, namun bengkelnya turut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan keselamatan 15 poin secara percuma kepada pelangan-pelanggan.
Ia merangkumi pemeriksaan beberapa perkara asas kenderaan seperti minyak pelincir, bateri, tekanan tayar, brek dan lampu brek.
"Keselamatan di jalan raya merupakan sesuatu yang perlu dititikberatkan, terutamanya pada musim perayaan.
"Pemanduan berhemah sahaja tidak memadai, kereta yang dikendalikan perlu berada dalam keadaan baik, sebab itu saya menawarkan perkhidmatan ini secara percuma atas dasar tanggungjawab kepada masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, seorang pekerjanya, Shahrul Fahmi Thalip, 22, berkata, dia sudah biasa bekerja lebih masa pada minggu-minggu terakhir Ramadan sejak bekerja di bengkel itu empat tahun lalu.
Jika orang lain sibuk membuat persiapan akhir hari raya, dia dan pekerja lain bergelumang dengan minyak pelincir sehingga lewat malam semata-mata mahu memastikan setiap kenderaan berjaya disiapkan mengikut tempohnya.
Khidmat terbaik
"Mental dan fizikal kena kuat terutama ketika berhadapan dengan karenah pelanggan," katanya.
Shahrul Fahmi sentiasa berpegang kepada prinsip kejujuran dalam perniagaan di samping memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan seperti yang diterapkan majikannya.
"Persaingan banyak di luar sana, namun apa yang membezakan ialah perkhidmatan yang diberikan.
"Kami tidak hanya mementingkan keuntungan. Jika ada kerosakan melibatkan komponen kenderaan, kami akan sedaya upaya menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum mencadangkan penukaran alat ganti sebagai penyelesaian terakhir.
"Setakat ini, semua pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja kami," katanya yang mempunyai pelanggan dari Ampang, Bangi dan Klang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: