Friday, March 22, 2013

Pertemuan semula bekas penghuni RC 2

SEBAHAGIAN bekas pelajar India RC 2 UM yang bertemu semula selepas hampir 10 tahun berpisah.


WALAUPUN program perjumpaan semula diadakan hanya selepas 10 tahun, Ramesh Subramaniam, 35, tidak menyangka majlis yang diadakan tahun ini disambut baik oleh rakan-rakannya.
Berbanding sekitar 100 orang yang menyertai acara perjumpaan semula pelajar kaum India Kolej Penginapan Kedua atau dikenali RC 2, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 10 tahun lalu, sambutan tahun ini berjaya mengumpulkan lebih 200 orang bekas pelajar.
Inisiatif yang diusahakan semula oleh Ramesh, yang bekerja di bawah Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, adalah sebagai memenuhi permintaan seorang senior beliau di kolej yang sama.
“Senior saya meminta untuk mengumpul semua bekas pelajar RC 2 kerana beliau berada dalam keadaan tenat akibat kanser kolekterol. Kini beliau berada dalam tahap ketiga dan agak tenat. Jadi, tidak mahu berlengah, saya dan beberapa orang rakan lain dari kolej yang sama mula mengumpul bekas pelajar untuk pertemuan semula yang diadakan selepas sedekad,” kata Ramesh yang meminta nama senior itu tidak disiarkan sebagai menghormati beliau.
Hasil kerja yang berterusan selama empat bulan, Ramesh bersama 24 orang ahli jawatankuasa berjaya mengumpul dan menjayakan acara perjumpaan semula yang diadakan pada 9 Mac lalu.
“Kebanyakan daripada bekas pelajar dihubungi melalui laman sosial Facebook dan selebihnya melalui telefon serta e-mel. Kami mengenakan bayaran supaya ia dapat disambut meriah danbaki wangdikumpul untuk didermakan kepada senior kami yang sedang tenat itu,” ujar Ramesh.
Tambah beliau, bekas pelajar RC 2 telah mengumpul kira-kira RM3,000 untuk senior mereka dan menghantar beliau ke India untuk mendapatkan rawatan. Ramesh juga memberitahu, dia dan rakan-rakannya tidak akan teragak-agak untuk menambah amaun derma jika diperlukan untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, seorang pekerja kantin di RC 2 yang dikenali Arumugam turut diraikan sebagai membalas jasa beliau berkhidmat di kantin itu sejak tahun 1970-an hingga sekarang.
Ramesh yang berasa berpuas hati dengan perjalanan majlis mengakui akan terus menganjur perjumpaan semula secara konsisten dan merancang untuk mengadakan acara yang sama pada 17 Mac 2018 iaitu dalam masa lima tahun lagi.
Rata-rata bekas pelajar yang ditemui, semuanya sudah mempunyai kerjaya yang profesional seperti majistret, akauntan, peguam, jurutera, guru, eksekutif bank, kakitangan kerajaan dan ahli perniagaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: