Saturday, July 21, 2012

Wujud muzium, kumpul maklumat sejarah askar TSN Johor

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memeriksa perbarisan pada Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Askar TSN di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 19 Julai - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencadangkan kerajaan negeri berusaha mengumpul dan mengemas kini bahan penulisan dan mewujudkan sebuah muzium mengenai sejarah askar Timbalan Setia Negeri (TSN) Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, kewujudan muzium dan pengumpulan bahan-bahan penulisan dan sejarah pasukan itu sekali gus dapat dimanfaatkan oleh rakyat negeri itu, negara serta para pelancong.

Titah baginda, pada masa sama, kerajaan juga perlu membantu dalam usaha mengkaji dan memperkemaskan semula organisasi, peranan dan tugas serta undang-undang dan peraturan askar TSN supaya ia terus kekal relevan.

"Saya mencadangkan supaya diwujudkan muzium serta bahan-bahan penulisan dan sejarah pasukan itu perlu dikemaskinikan supaya segala pengorbanan dan penglibatan askar TSN pada masa silam dapat dikongsi bersama masyarakat.

"Saya juga yakin pasukan ini mampu membantu kerajaan negeri dalam tugas mengawal keamanan dan keselamatan semasa dalam keadaan darurat," titah baginda pada Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Askar TSN, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 61 rekrut baru berjaya menamatkan latihan sebagai askar TSN sejak memulakan latihan 16 Januari lalu, sekali gus bakal menjalankan tugas utama sebagai Pasukan Istiadat Negeri Johor.

Sultan Ibrahim turut menyampaikan hadiah kepada penerima Keseluruhan Terbaik Rekrut askar TSN, Raffi Ramzee Abdul Rahman; Muhamad Faiz Mazlan (Akademik Terbaik), Mohamad Hafis Amran (Penembak Terbaik) dan Muhamad Nor Helmi Mohd. Amin (Kawad Kaki Terbaik).

Baginda yang juga Komandan TSN berharap pasukan itu menjaga nama baik pasukan selain memelihara tahap disiplin ketenteraan tertinggi dan komited dalam pengurusan dan pentadbiran anggota dan pasukan.

"Pengetahuan agama juga perlu dipertingkatkan dan sentiasa diamalkan supaya perjuangan pasukan sentiasa diberkati Allah SWT. Saya juga mahu sikap taat setia dan setia kawan terus diperkuatkan," titah baginda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: