Saturday, July 21, 2012

Markas Angkatan Bersama dapat pengiktirafan PBB

SEBAHAGIAN staf Markas Angkatan Bersama menghadiri acara memotong kek sempena Ulang Tahun Ke-5 penubuhannya di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 19 Julai - Kepercayaan terhadap Markas Angkatan Bersama (MAB) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan 10 misi kemanusiaan di 11 buah negara selama ini menunjukkan pengiktirafan tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap keupayaan benteng pertahanan negara.

Meskipun baru menjangkau usia lima tahun, Panglimanya, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, MAB telah mencapai tahap kematangan yang membanggakan walaupun menghadapi cabaran-cabaran tertentu termasuk kekangan bilangan anggota.

"Kita juga mendapat kepercayaan dunia dengan menerima perluasan kawasan tanggungjawab dan penambahan keanggotaan kepada 972 orang.

"Dalam pada itu, MAB sentiasa berusaha meningkatkan infrastruktur dan kemudahan asas kem Batalion Malaysia (Malbatt) dan Kompeni Malaysia (Malcoy) di Lebanon bagi keselesaan pasukan dan memenuhi piawaian PBB," katanya semasa membaca perutusan Ulang Tahun Kelima MAB di Wisma Transit, Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Ditubuhkan pada 16 Julai 2007, MAB berperanan sebagai perancang serta pelaksana semua operasi bersama melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sementara itu, jelas Ahmad Kamarulzaman, di Afghanistan pula, kejayaan misi kemanusiaan MAB menerusi Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa ke Afghanistan (Malcon Isaf) telah memperoleh pujian masyarakat dunia.

Katanya, kecemerlangan pasukan itu dalam aspek pengurusan operasi, logistik dan sumber telah diberi liputan meluas oleh media dari dalam mahupun luar negara.

Selain itu, kata beliau, penglibatan MAB pada eksesais bersama negara luar telah berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai negara termasuk Thailand, Indonesia, Singapura, Perancis, Australia, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Dengan pencapaian dan keupayaan MAB melaksanakan eksesais tersebut, Ahmad Kamarulzaman berkata, ATM telah memutuskan agar markas tersebut mengambil alih beberapa lagi aktiviti latihan yang berteraskan konsep bersama.

Tambah beliau, walaupun keputusan tersebut melibatkan pertambahan tanggungjawab pada bahu anggota-anggota MAB, ia juga menggambarkan pengiktirafan pihak atasan ke atas keupayaan markas berkenaan.

"Dengan segala kejayaan dan kemudahan yang dikecapi MAB, marilah bersama memperbaharui tekad bagi meningkatkan lagi kecemerlangan kita, di samping berazam berbakti dengan penuh keikhlasan serta melafazkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada markas," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: