|
FINAL Kilauan Emas musim kedua yang berlangsung hujung minggu menyaksikan persaingan sengit antara para peserta. Namun, pada penghujung acara, hanya seorang daripada 10 peserta yang telah dinobatkan sebagai juara.
Mempunyai vokal yang konsisten dan persembahan tanpa gugup, Ahmad Fuad Zaharullail atau lebih dikenali sebagai Fuad dalam kalangan peserta program tersebut, akhirnya menjadi juara Kilauan Emas musim kedua.
Menurut Fuad, lagu yang disampaikan olehnya iaitu Syair Laila Majnun memberi tuah kepadanya.
Selain trofi, Fuad juga telah membawa pulang wang tunai RM50,000. Markah tinggi yang diberi juri sekali gus mengangkat Fuad sebagai juara dengan mengetepikan lima lagi peserta akhir program tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk keluarga kerana menyokong saya hingga diumumkan sebagai juara.
“Sebenarnya undian SMS saya di peringkat awal memang rendah, namun ia menjadi konsisten bermula dua atau tiga minggu terakhir.
"Saya rasa, lagu yang saya bawa itu merupakan lagu yang membawa tuah buat diri saya. Lagu itu memang mempunyai aura tersendiri dan alunan muziknya juga sesuai dengan vokal saya yang agak kemelayuan,” tutur anak kelahiran Selangor yang berusia 43 tahun tersebut.
Ujarnya lagi, pemilihan lagu tersebut merupakan kehendak dirinya sendiri setelah berbincang bersama rakan-rakan yang lain. Ia merupakan lagu yang jarang dinyanyikan pada peringkat pertandingan sebegini.
Memegang kata-kata idolanya iaitu Jamal Abdillah, usia bukan penghalang untuk dia menonjolkan bakat. Itu yang menjadi pembakar semangat dan pendorong buat dirinya untuk mencuba nasib dalam program nyanyian ini.
Azri ingin bedah mata
Lain pula cerita pemenang kedua program tersebut iaitu Nor Azri Zainuddin. Dia berhasrat menggunakan wang kemenangan untuk melakukan pembedahan kedua-dua belah matanya.
Nor Azri atau Azri telah dinobatkan sebagai naib juara dan anugerah khas Polident yang mana kesemua jumlah kemenangan yang diperolehnya ialah sebanyak RM30,000 berserta dua buah trofi.
“Jika diikutkan, saya sebenarnya telah tewas dalam pusingan Zon Timur. Namun, saya tidak berputus asa dan mencuba nasib tambahan pula, isteri memberi semangat dan sokongan kepada saya agar mencuba pula di Zon Tengah.
“Mungkin ramai yang telah sedia maklum, wang kemenangan ini akan saya gunakan bagi kos pembedahan mata. Kedua-dua anak mata saya rosak dan memerlukan kos yang tinggi dan kerana itu, saya menyertai program ini. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya. Saya akan melakukan pembedahan mata dalam masa terdekat,” tutur Azri yang juga berterima kasih kepad Jaclyn Victor kerana banyak membantunya.
Bagi pemenang ketiga pula yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, Jumat Ramlee, dia ingin menggunakan wang kemenangan itu untuk mengadakan sedikit kenduri di kawasan perumahannya bagi mensyukuri rezeki yang diperolehnya itu. Jumat menerima sebuah trofi berserta wang tunai RM15,000.
Sementara itu, menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris, oleh kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan pada musim kedua ini, tidak mustahil pihak Astro akan mempertimbangkan musim ketiga pula.
Dalam pada itu, peserta-peserta Kilauan Emas bakal muncul dalam program Aidilfitri yang akan disiarkan
di saluran Astro Prima kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: