Tuesday, July 10, 2012

Melangkah laju di Indonesia



PASTI ramai yang tidak terduga, jejaka berkulit cerah yang sering menghiasi klip video artis ternama Indonesia sebenarnya berasal dari Malaysia. Masih memegang status warganegara tempatan, anak kelahiran Gemas, Negeri Sembilan itu kini sudah tegar melebarkan sayapnya di negara jiran, Indonesia.

"Ramai yang tidak perasan kehadiran saya dalam industri kerana saya bermula dari sana (Indonesia). Jika berjumpa dengan peminat dari Malaysia sekalipun mereka tetap tidak percaya saya anak Malaysia," getusnya ketika usai sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bintang sinetron Cinta & Anugerah yang bergandingan dengan Ashraf Sinclair itu hakikatnya sudah lapan tahun belayar di arus perdana pasaran hiburan Indonesia.

Mula mengorak langkah melalui iklan ubat gigi, Keith atau nama sebenarnya Foo Chuan Chin, 29, mula diintai produser di Indonesia dan katanya peluang yang datang harus diambil tanpa ragu.

"Saya mula menjadi model iklan sejak usia 16 tahun dan apabila mula memasuki pasaran Indonesia dan bakat saya dikesan produser di sana saya rasa itu peluang terbaik! Ketika itu saya tak pasti nasib saya di Malaysia, yang penting selagi boleh belajar dan peluang pun sedia terbuka saya terima saja," katanya.

Berkarya di Indonesia tidak bermakna dia melupakan asal-usulnya malah, dia berharap kemunculannya di layar kaca dan layar perak diterima penonton Malaysia.

"Saya akui saya lebih dikenali di sana dan sehingga sekarang tiada pihak dari Malaysia menawarkan saya berlakon. Semahunya saya ingin kembali ke tanah air untuk menyumbang bakti di negara sendiri dan harapan itu saya simpan sejak dulu sampai sekarang.

"Banyak pengalaman yang saya timba di Indonesia, dari segi disiplin dan teknik lakonan. Apa salahnya saya gabungkan ilmu yang diperoleh di sana untuk kebaikan industri di tempat sendiri," ujarnya yang sentiasa mengintai prospek karier di Malaysia.

Tidur atas meja

Bermula seorang diri di negara Garuda itu bukan mudah. Selain persaingan yang pesat bersama limpahan bakat di sana, Keith juga perlu membawa dirinya bersama rentak arus Indonesia.

KEITH FOO sudah lapan tahun bergelumang dalam dunia seni Indonesia.


"Berat juga ketika memulakan karier di sana, saya tinggal di sebuah rumah yang disediakan agensi bersama beberapa bakat baharu yang lain.

"Kurang pendedahan, tiada pengalaman dan masalah kekangan kewangan tapi tiada pilihan memaksa saya berjuang untuk survival.

"Dua tahun saya tidur bertilamkan sofa, kadangkala kalau lambat balik terpaksa jadikan meja makan sebagai katil sementara menanti siang," cerita anak bongsu daripada empat beradik itu.

Pelakon dan model kacukan Cina-India itu secara literalnya fasih berbahasa Malaysia, begitu juga bahasa Indonesia yang menjadi perantara sepanjang berada di sana.

Katanya, dia banyak bergaul dengan rakan-rakan Melayu ketika bersekolah di Negeri Sembilan sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi Keith, setiap watak yang ditawarkan merupakan rezeki untuk dia terus mengukuhkan tapak dalam industri.

"Tidak perlu cerewet jika ditawarkan apa jua karakter kerana itu rezeki, selagi ada tawaran saya akan ambil," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Keith kini lebih memfokuskan bidang perfileman berbanding sinetron.

Antara filem yang baru usai penggambarannya adalah Setan Tuli yang akan memasuki panggung seluruh Indonesia menjelang hujung bulan Jun.

Selain itu dia bakal memulakan penggambaran filem seram berjudul Tatung di kawasan Singkawan, Kalimantan tidak lama lagi.

Tyas Mirasih

Jika ditanya adakah jejaka berwajah manis itu sudah dimiliki hatinya? Jawabnya ya! Keith kini sedang menyulam cinta bersama gadis pilihannya yang juga merupakan seorang pelakon iaitu Tyas Mirasih.

Bintang berusia 25 tahun itu katanya berjaya menambat hati Keith dek disiplin dan ketegasannya dalam menetapkan hala tuju karier.

"Dia seorang wanita yang kuat, tidak bergantung pada orang lain dan bertanggungjawab! Memandangkan kami berada dalam bidang yang sama, faktor itu yang mengukuhkan ikatan kami.

"Kami bertemu empat tahun lalu ketika berlakon dalam sebuah sinetron dan telefilem, tapi mula serius setahun lalu," katanya yang banyak mendapat bimbingan daripada Tyas.

FIGURA kacak ini mengakui sehingga kini belum pernah meraih tawaran lakonan dari produksi Malaysia.


Ditanya mengenai perancangan masa depan bersama Tyas, ujar Keith perjalanan mereka masih jauh dan tidak terfikir untuk menamatkan zaman bujang masing-masing dalam masa terdekat.

"Kami pun masing-masing sibuk merencanakan perjalanan seni dan untuk berbincang ke arah perkahwinan rasanya belum waktu yang sesuai.

"Namun, sekiranya jodoh saya orang Indonesia saya akan terima. Cuma mungkin nanti akan berulang-alik dari Jakarta ke Malaysia setiap bulan," ujarnya berseloroh.

Keith dan Tyas biasanya meluangkan masa bersama melakukan aktiviti lasak seperti backpacking, mendaki gunung dan berkhemah.

Baru-baru ini ujar Keith mereka telah mengembara ke kawasan Flores di Pulau Komodo, Indonesia untuk melihat kehidupan masyarakat di sana.

Sebelum mengenali Keith, Tyas pernah dikaitkan dengan beberapa lelaki lain antaranya vokalis band Clubeighties, Lembu, vokalis Bukan Bintang Biasa, Raffi Ahmad dan vokalis band The Changcuters, Mohammad Tria Ramadhani.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: