Sunday, July 15, 2012

Tonjol solekan, rambut ekstrem

TONJOL...model memperagakan sebahagian besar hasil pelajar tahun akhir.
TONJOL...model memperagakan sebahagian besar hasil pelajar tahun akhir.

DONGENG si puteri diberi nafas baru menerusi solekan tebal dan rambut didandan digulung tinggi sambil aksesori berwarna-warni dilekap kemas di kepala.

Malah, ‘puteri’ berambut panjang mengenakan gaun berwarna keemasan dilihat tema tepat menerangkan konsep sebenar gadis sunti berusia 25 tahun itu.

  • Foto

    UNIK...Suria (kiri) dan Faniza (kanan) bersama model memperagakan baju direka.

  • Foto

    MERIAH...pelajar turut hadir menonton hasil senior mereka.

  • Foto

    EKSOTIK...'gothic' apabila bertemu ‘bibir’.

  • Foto

    KREATIF...sentuhan pelajar sungguh berbeza.

Dia mengilhamkan konsep puteri yang terkenal dengan potongan dialog ‘Rapunzel, lepaskan rambut mengurai keemasanmu’ pada busana diperagakan oleh model jelita di sisinya.

Suria Mat Daud mahu imej busana keemasan menyerlah di samping sentuhan solekan serta gaya rambut bersesuaian dengan rambut dirias ala-ala ‘funky’ supaya tidak lari daripada tema projek akhir yang menekankan fesyen ‘ekstravaganza’.


“Saya gemar gaya puteri dalam cerita dongeng ketika saya kanak-kanak. Mereka sering digambarkan sebagai gadis remaja cantik dan kekal feminin dengan gaya tersendiri.


“Merujuk perkara ditekankan dalam projek akhir iaitu rambut, idea tercetus tentu sekali watak popular iaitu Rapunzel. Seawal tugasan diberi, saya membayangkan model bakal berjalan di pentas dengan gaun warna kuning keemasan,” katanya.

Namun disebabkan tema yang memacu pertunjukan rambut dan solekan adalah ekstravaganza, Suria perlu memastikan fesyennya sedikit melarat. Langkah bijak tata rias solekan dan rambut perlu ‘berat’ (melampau).

“Pada mulanya, saya mengambil langkah selamat dengan mengenakan aksesori terang dan sarat supaya warna terang daripada gaun kembang ‘Rapunzel’ saya lihat sedikit ‘funky’.

“Rakan sekumpulan, Nur Faniza Diana Ahmad Fauzi turut menyumbang idea supaya solekan pada model lebih berat, seiring dengan gaya rambut seolah-olah ia digulung.

“Sebenarnya, pemilihan solekan tepat dan gaya rambut ekstrem, tema ekstravaganza diharap dapat ditonjol oleh setiap pelajar berhasil tanpa disedari,” kata anak jati Negeri Sembilan itu.

Persediaan dilakukannya hampir dua bulan menerusi internet serta perbincangan bersama rakan sepasukan. Dia menarik nafas lega kerana Faniza banyak membantu supaya sesi peragaan di pentas peragaan khusus memaparkan sentuhan seni pelajar tahun akhir Diploma Kesihatan Kecantikan Kolej Geomatika, Setiawangsa, baru-baru ini.

“Alhamdulillah sepanjang sesi peragaan, Faniza banyak membantu. Sebenarnya kami berkongsi model, apabila membabitkan solekan model, saya perlu seimbangkan idea kami berdua supaya sesuai untuk kedua-dua busana dihasilkan.

“Penting juga, model lelaki kami perlu menyiapkan ia berdasarkan idea daripada kami berdua. Boleh dikatakan fesyen lelaki lebih mudah, tidak begitu rumit seperti mana wanita,” katanya.

Faniza menambah, fesyen lelaki lebih ringkas tetapi elemen ekstravaganza masih dititikberatkan. Katanya, model lelaki menggayakan fesyen lebih ganas, mungkin saduran ‘gothic atau rock’, dilihat pilihan terbaik.

“Memang kami ambil jalan selamat dengan solekan lelaki tidak melampau. Bahagian mata kami hitamkan dan tebalkan pada alis mata supaya ada ciri ekstravaganza.
“Model lelaki mengenakan barut bercorakkan api menandakan kami ingin serlahkan imej ‘ganas’ supaya mesej atau konsep pakaian berserta gaya rias rambut mudah difahami hadirin,” katanya.

Ditanya mengenai kesukaran, Faniza yang berasal dari Puchong, Selangor berkata, tentu saja masa untuk menyiapkan model.

“Model perlu dikongsi, menyebabkan situasi bercelaru sedikit ketika perlu menukar pakaian bagi sesi kedua. Ada aksesori gagal dipakai dan rambut juga tidak dapat digaya dengan sempurna atas faktor masa terhad.

“Namun hasil terakhir masih memuaskan dan saya hargai usaha Suria yang turut bekerja keras dan saling membantu saya untuk menjayakan projek akhir ini,” katanya.

Bagi rakan mereka, Hasnizam Ishak, konsep bibir menjadi latar terhadap rambut, fesyen dan solekan berjaya menyerlahkan konsep keseluruhan pertunjukan terbabit.

“Sukar pada mulanya tetapi mudah di pengakhiran apabila saya berjaya melengkapkan idea bibir menjadi tema pada projek akhir.

“Kedengaran gila bercampur berani, tetapi saya aturkan ia satu persatu. Apa yang ada dalam imaginasi diterjemahkan pada helaian kertas kerja pada peringkat pembentangan.

“Malah, rakan daripada bidang fesyen banyak membantu saya merealisasikan imej skirt yang saya ingin hasilkan. Solekan dan rambut saya masih perlukan kerjasama rakan, Nur Fadzela Mohd Hamdan kerana seperti Suria dan Faniza, kami kongsi model sama.

“Dia juga beri pendapat yang mana boleh membantu menyerlahkan lagi tema ‘ekstravaganza’ pada model menerusi solekan atau gaya rambut,” katanya.

Membantu dalam membentuk gaun diidamkan, khidmat nasihat profesional daripada tenaga pengajar serta rakan bergiat dalam bidang fesyen dipinta.

“Saya mendapat nasihat terbaik daripada mereka yang lebih arif dalam mereka bentuk pakaian, sejenis fabrik langsir digabung bersama sifon dan lace bagi kemasan membuat saya sungguh puas hati.

“Mungkin ini saat membanggakan dan penat jerih tertekan menyiapkan projek akhir di samping perlu menghabiskan silibus subjek, hilang sebaik model berjalan
di pentas peragaan,” katanya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Pasangannya yang mesra dengan panggilan Fad berkata, dia berasa solekan bermula daripada tema bibir sungguh menonjol. Cuma perlu lebih diserikan dengan aksesori berwarna-warni untuk membantu menyerlahkan lagi peragaan fesyen oleh model.



PROFIL 1:

NAMA: Nur Faniza Diana Ahmad Fauzi
UMUR: 23 tahun
ASAL: Puchong, Selangor
KERJAYA: Jurusolek sambilan
KONSEP: Jocker Ekstravaganza


PROFIL 2:

NAMA: Hasnizam Ishak
UMUR: 25 tahun
ASAL: Kota Tinggi, Johor
KERJAYA: Tenaga pengajar Pusat Giat Mara Ayer Itam, Johor
KONSEP: Bibir Ekstravaganza


PROFIL 3:

NAMA: Suria Mat Daud
UMUR: 25 tahun
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan
KERJAYA: Tutor kolej
KONSEP: Rapunzel Ekstravaganza


PROFIL 4:

NAMA: Nur Fadzela Mohd Hamdan
UMUR: 25 tahun
ASAL: Klang
Kerjaya: Jurusolek sambilan
KONSEP: Ekstravaganza

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: