BELI... jadi tumpuan orang ramai membeli-belah.
DEMIKIAN lirik lagu Chow Kit Road dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad yang sungguh popular sekitar pertengahan 1980-an.
Jika dihayati lirik berkenaan, jelas sekali menunjukkan populariti Chow Kit Road atau Jalan Chow Kit sebagai kawasan beli-belah popular pada waktu itu di Kuala Lumpur.
Realitinya, Jalan Chow Kit hanya nama sebatang jalan sepanjang 200 meter yang menghubungkan dua laluan sibuk di Kuala Lumpur iaitu Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.
Namun, kawasan Chow Kit tidak hanya tertumpu di laluan berkenaan, tetapi berbentuk empat segi ‘dipagari’ Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman serta persimpangan Jalan Ipoh, Jalan Pahang dan Jalan Raja Muda Abdul Aziz.
Selain itu, Chow Kit yang meriah dengan pelbagai aktiviti manusia mencari rezeki itu turut terletak bersebelahan perkampungan Melayu terbesar di ibu negara iaitu Kampung Baru.
“Segala-galanya ada di Chow Kit, cuma mak bapak (ibu bapa) saja yang tiada,” kata Zulkifli Jaafar, 49, peniaga pakaian di Chow Kit.
Kata-kata Zulkifli yang menjalankan perniagaan di situ sejak 37 tahun lalu termasuk mengikut arwah bapanya, Jaafar Mustafa sejak berusia 12 tahun, memang ada kebenarannya.
Turunlah ke Chow Kit, memang segala-galanya boleh dicari di situ. Bermula dengan pasarnya yang menawarkan segala jenis barang basah dan kering, keperluan rumah dan dapur, pakaian (baru dan terpakai), rempah ratus, buah-buahan, ubat-ubatan, termasuk ubat kuat seks, dan macam-macam lagi.
Yang pasti, walaupun masih menjadi tumpuan ramai, kegemilangan Chow Kit semakin pudar. Tumpuan warga kota di situ kini lebih kepada pasar Chow Kit saja. Tidak lagi sebagai kawasan tumpuan remaja atau keluarga untuk bersiar-siar dan membeli-belah seperti dulu.
Satu ketika, Chow Kit pernah menjadi kawasan tumpuan golongan muda dan keluarga seperti mana di Bukit Bintang, Bangsar dan KLCC hari ini. Chow Kit pada era 1970-an dan 1980-an meriah dengan pusat beli-belah seperti Batu Road Supermarket, Keramat Supermarket dan Hankyu Jaya.
Jalan Tuanku Abdul Rahman yang melintasi Chow Kit dilalui semua jenis pengangkutan awam di ibu kota waktu itu, terutama bas mini. Pendek kata, naiklah bas bernombor apapun, ia pasti melalui Chow Kit.
Malah, hingga hari ini Chow Kit tetap menjadi tumpuan laluan pengangkutan awam dan turut memiliki sebuah stesen monorel yang terletak di persimpangan Jalan Pahang, Jalan Ipoh, Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Namun, Chow Kit turut memiliki sisi gelapnya sendiri, sekali gus memberikan persepsi negatif di kalangan rakyat. Ramai melontarkan pertanyaan sinis jika kita meluahkan hasrat bersiar-siar ke Chow Kit.
“Takde tempat lain ke engkau nak pergi?” Ini antara pertanyaan sedemikian yang rata-ratanya berpunca daripada gejala negatif yang menular di kawasan itu.
Sejak puluhan tahun lalu, aktiviti pelacuran, mak nyah, penjualan dan penagihan dadah serta kutu rayau memang sinonim dengan Chow Kit, terutama di kawasan sekitar Jalan Haji Taib dan Lorong Haji Taib.
Tidak dinafikan, kegiatan itu berkurangan seiring dengan peredaran zaman dan banyak kelab malam yang dulunya bertaburan di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Ipoh tidak lagi beroperasi atau berpindah ke kawasan lain yang lebih meriah seperti Bukit Bintang.
Walaupun dikatakan berkurangan, kegiatan itu dilihat masih berleluasa di kawasan itu.
Tinjauan mendapati, aktiviti pelacuran dan mak nyah masih beroperasi di beberapa rumah kedai dan kawasan letak kereta di sepanjang Lorong Haji Taib.
Penulis turut menyaksikan pergerakan ‘bapa ayam’ yang menawarkan khidmat seks kepada lelaki yang melalui kawasan itu.
Pemerhatian juga mendapati, bermula jam 10 malam, beberapa pelacur mula ‘bersidai’ di kaki lima kedai di kawasan itu, selain mak nyah berpakaian seksi mundar mandir di kawasan letak kereta di hujung Lorong Haji Taib sambil menawarkan khidmat seks kepada lelaki berselera pelik.
“Marilah bang. Jom naik kat bilik saya. Saya layan abang baik punya! RM40 saja,” itu antara ‘tawaran’ seorang mak nyah kepada penulis yang melalui kawasan itu.
Itu antara rencah kehidupan di Chow Kit - kawasan yang akan terus kekal dalam ingatan bukan saja kepada warga kota, tetapi sesiapa saja yang pernah ke Kuala Lumpur.
Yang pasti, Chow Kit memang sebati dengan Kuala Lumpur. Baik sisi buruk atau baiknya.
INFO:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: