Tuesday, July 10, 2012

Tekad pasangan suami isteri

Ahmad Zawawi Ashaari dan Mastura Abdul Aziz menunjukkan kejayaan projek penanaman rock melon di ladang mereka di Bagan Datoh, Perak.

TIDAK ramai kalangan kita terutama generasi muda yang berminat berbakti kepada tanah dalam usaha menjana pendapatan diri dan keluarga.

Berbeza dengan pasangan muda Ahmad Zawawi Ashaari, 45 dan isterinya, Mastura Abdul Aziz. 33 yang menceburi bidang pertanian kerana melihat ada potensi memajukan ekonomi keluarga menerusi usaha berbakti pada tanah.

Ahmad Zawawi yang mempunyai kelulusan Empat Senawi Sekolah Menengah Agama Irshadiah, Bagan Datoh, Perak manakala Mastura lulusan Diploma Pengurusan Bank dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran beralih kepada pertanian selepas meninggalkan aktiviti perniagaan sebelum ini.

Menubuhkan firma Teras Maju Resources pada tahun 2005, pasangan tersebut memulakan perniagaan membekal peralatan pejabat tetapi menukar hala tuju perniagaan kepada bidang pertanian pada 2007.

Pada peringkat awalnya, mereka mengusahakan projek tanaman tembikai dan sayuran di Parit 7, Kampung Sungai Pergam, Bagan Datoh atas tanah pusaka bapanya seluas 4.8 hektar (satu kawasan seluas 2.8 hektar dan di tempat lain seluas 1.6 hektar).

Sebelum ini bapanya pernah mengusahakan tanaman kelapa Mataq tetapi gagal sehinggalah dia meninggal dunia.

Tanpa berfikir panjang mereka terus menanam tembikai setelah menghadiri kursus jangka pendek mengenai tanaman tembikai dengan sebuah agensi kerajaan.

Antara jenis tanamannya ialah tembikai susu (jade dew), tembikai rock melon, tembikai merah tanpa biji, tembikai kuning, tembikai black beauty, silver light melon dan silver sweet melon.

Ternyata usaha gigih itu membuahkan hasil lumayan dan beliau dan isteri terus mempelajari pelbagai aspek tentang tanaman berkenaan.

Ahmad Zawawi berkata, hasil tanaman dipasarkan kepada ladang kontrak FAMA, pasar raya sekitar Lembah Klang, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berkenaan, hasil tanaman dipasarkan kepada pengusaha pasar tani, gerai buah-buahan segar dan pemborong.

Ia turut dihantar secara terus ke pasar raya Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan melalui orang tengah di pasar raya sekitar Lembah Klang.

Namun begitu, usahanya tetap menjadi masalah apabila menghadapi kekurangan tenaga kerja, serangan penyakit dan keadaan cuaca tidak menentu.

Dengan dibantu empat pekerja tetap dari Indonesia mereka meneruskan usaha bersama sembilan pekerja sambilan tempatan.

Tanamannya mengeluarkan hasilkan sebanyak 50 tan semusim bagi kawasan seluas 2.8 hektar.

Ahmad Zawawi berjaya mengusahakan tanaman tembikai itu antara dua hingga tiga musim setahun berdasarkan faktor cuaca.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: