Tuesday, July 10, 2012

Hibrimas sumber ekonomi

Zulkifli Chek (kanan) bersama pengusaha jagung manis Hibrimas, Abdullah Zawawi di Kampung Paloh, Tanah Merah, berbincang mengenai tanaman tersebut semasa program pegawai MARDI melawat tapak projek pertanian di sekitar daerah Kelantan, baru-baru ini.

Suasana kampung sepanjang jalan Tanah Merah Kelantan lebih kurang serupa di beberapa daerah lain di negeri itu.

Bagaimanapun di sepanjang jalan menuju ke Pasir Mas itu gerai-gerai jual hasil tanaman segar kelihatan di sana sini daripada buah labu, tembikai, air kelapa muda sehinggalah kacang rebus dan juga jagung.

Rumah seni bina kampung daripada kayu diukir berdindingkan konkrit atau separa batu dan kayu menjadi identiti menarik di situ dan kelihatan seperti 'pagar' sepanjang jalan sehinggalah melindungi apa yang terkandung di sebaliknya perkampungan tersebut

Timbul pertanyaan, di manakah sebenarnya penduduk kampung memperoleh kacang dan jagung yang direbus itu.

Apabila perjalanan dihentikan sebenar dan singgah untuk menikmati air segar kelapa muda dan jagung manis di salah sebuah gerai di Kampung Paloh, pegawai Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang turut serta memberitahu, jagung yang direbus itu ditanam sendiri oleh mereka.

Rupanya, mereka mengusahakan tanaman jagung sejak sekian lama dengan pelbagai varieti.

Pemilik gerai berkenaan, Wan Rahimah Wan Yusoff, 59, memberitahu, jagung tersebut ditanam suaminya di satu kawasan penanaman jagung terletak di seberang jalan, kira-kira satu kilometer dari tepi jalan berkenaan..

Selepas menikmati jagung bakar dan air kelapa muda, kami menyelusuri jalan berdebu berhadapan gerai di seberang jalan.

Tidak lama selepas itu, kami melihat sendiri kawasan penanaman jagung yang luas yang mana sebahagiannya telah dituai, manakala sebahagian lagi baru lepas ditanam.

Hamparan warna kuning dan hijau berselang seli membezakan kedua-dua kawasan tersebut dan kelihatan cantik dalam panas terik.

Kami disapa dengan seorang lelaki separuh baya yang memperkenalkan diri sebagai Ketua Projek Jagung Berkelompok kawasan tersebut.

Mat Zin Harun memberitahu, dia mengetuai projek tersebut yang melibatkan kawasan seluas 70 ekar atau 28 hektar yang keseluruhannya untuk penanaman jagung melibatkan 10,000 pokok bagi setiap ekar.

''Kami kini menanam varieti Hibrimas yang menggantikan varieti hibrid 969 dan 926 sejak tahun lepas. Kami amat berpuas hati dengan Hibrimas yang lebih menguntungkan,'' katanya kepada wartawan Utusan pada program lawatan bersama pegawai MARDI ke tapak projek tersebut baru-baru ini

Varieti berkenaan mempunyai banyak keistimewaan antaranya tahan kepada tiupan angin kuat dan ciri ciri tersebut mendorong mereka memanfaatkan produk hasil penyelidikan MARDI itu.

Mat Zin yang menyelia 40 orang di bawah program tersebut berkata, setiap peserta yang mempunyai pengalaman terbabit dalam penanaman jagung lebih dua puluh tahun diperuntukkan antara satu hingga lima ekar seorang.

Katanya, dengan tanpa masalah seperti tiupan angin, hasil jagung boleh mencecah hampir 90 peratus kerana tidak ada kerosakan pokok. Maka peserta boleh meraih antara RM7,000 dan RM8,000 seekar semusim.

Mengenai pasaran, dia memberitahu, selain dibeli oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA ) pada harga 55 sen setongkol, peraih juga datang membelinya selain dijual di gerai gerai.

Harganya iaitu antara RM60 dan RM70 bagi 100 tongkol jagung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: