|
|
RAUT wajah aktres Susan Lankester yang pernah membintangi filem Mekanik, Femina dan Sutera Putih masih sama seperti 20 tahun dahulu, ketika mula-mula berkecimpung dalam bidang lakonan. Cuma bezanya kini, Susan lebih matang sesuai dengan usianya kini menginjak angka 50 tahun.
Jarang-jarang muncul dalam drama televisyen, apatah lagi acara hiburan menyebabkan kurangnya publisiti. Selepas sekian lama menyepi tanpa khabar berita kini, wajah Susan boleh disaksikan menerusi drama Keluarga Iskandar yang ditayangkan di Astro Prima bermula 3 Julai lalu.
Namun, ketika ditemui pada majlis pengumuman program Ramadan Astro di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur, Susan menyatakan dia tidak pernah menghilangkan diri, sebaliknya dia sekarang ingin membuat kemunculan semula dalam industri lakonan.
Bagaimanapun, buat pelakon yang berjiwa seni sepertinya, Susan meletakkan syarat untuk kembali aktif kerana nilai seni baginya tidak boleh dibandingkan dengan wang ringgit. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Susan yang baru sahaja menamatkan penggambaran telefilem Syurga Buat Melisa arahan Rashid Shibir.
Kosmo!: Mengapa selama ini Susan menghilangkan diri daripada dunia seni?
SUSAN: Saya tidak pernah menghilangkan diri, saya masih ada di sini, masih bekerja dalam bidang seni cuma kurang terlibat dengan karya berbentuk komersial. Lebih 10 tahun kebelakangan ini saya aktif dengan teater, juga sibuk dengan produksi serta perniagaan hiasan dalaman dan landskap.
Selepas sekian lama, mengapa baru kini mengambil keputusan untuk membuat kemunculan semula?
Saya menunggu waktu yang tepat untuk muncul semula. Kalau boleh saya tidak mahu melakonkan watak-watak yang biasa saya lakonkan pada zaman muda. Kebetulan, terdapat pengarah yang beria-ria mahukan saya dan karya yang mereka tampilkan juga berbeza menyebabkan saya terbuka hati untuk kembali semula ke gelanggang seni tempatan secara aktif.
Bagaimana perasaan anda apabila kembali aktif dalam dunia lakonan?
Memang seronok sebab dunia lakonan bidang yang saya cintai, tetapi dalam masa yang sama agak kekok sebab saya seperti orang baharu. maklumlah jarang-jarang berlakon kalau ada pun setahun sebuah telefilem, tetapi sekarang saya akan kembali aktif.
Ada meletakkan sebarang syarat untuk kembali berlakon?
Syarat spesifik tidak ada, cuma saya seorang yang amat selektif. Saya tidak akan melakonkan kembali watak yang pernah saya bawa waktu muda-muda dahulu, kurang sesuai. Kalau boleh saya inginkan watak baharu yang memberi cabaran kepada saya untuk berlakon. Bukan itu sahaja, saya juga memandang karya yang berkualiti.
Maknanya anda meletakkan harga yang tinggi untuk terlibat dalam mana-mana karya?
Tidak, hakikat sebenarnya bayaran pelakon sejak saya mula berlakon sehingga ke hari ini tidak pernah berubah. Saya juga masih menerima bayaran yang sama, tetapi saya tidak kisah tentang harga kerana selepas 20 tahun berlakon, wang ringgit sudah tidak penting, apa yang penting adalah kepuasan diri dan kualiti sebuah karya itu.
Perbezaan kehidupan sewaktu zaman kegemilangan dengan kehidupan hari ini?
Dulu sangat sibuk, sekarang masih sibuk dan saya lebih matang. Peminat masih sama seperti dahulu, walaupun saya kurang publisiti dan berlakon, ke mana sahaja saya pergi ada peminat yang masih menegur. Mungkin penampilan saya berubah, tetapi peminat akan segera mengenali saya apabila saya bercakap, kerana nada suara saya tidak berubah dari dulu.
Boleh kongsikan perkembangan kehidupan peribadi?
Kehidupan saya gembira, sibuk dengan kerja. Kehidupan peribadi, saya masih belum berkahwin tetapi berulang-alik antara Malaysia dan Singapura kerana kekasih saya selama lima tahun menetap di sana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: