|
|
USAI mengadakan Konsert Sadaqa di Esplanade Singapura pada pertengahan bulan Jun lalu bersama kumpulan Raihan, Ramli Sarip kembali mengadakan konsert berkonsep kerohanian di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur pada hari Sabtu ini, 14 Julai.
Konsert yang diberi nama Konsert Alunan Kalbu itu diadakan secara percuma bermula pukul 8.30 malam sempena sambutan 20 tahun IKIM beroperasi.
Menurut Pengarah Radio IKIMfm, Nik Roskiman Abdul Samad, pembabitan Ramli Sarip untuk program IKIM kali ini adalah yang pertama sejak beroperasi.
“Selama ini kami sentiasa memainkan lagu-lagu Ramli Sarip di radio IKIMfm yang sudah memasuki tahun ke-11 beroperasi dan kami teruja mendapat reaksi positif beliau untuk menghiburkan pengunjung sempena Karnival 20 Tahun IKIM.
“Kami memilih Ramli Sarip sebagai fokus konsert sementara penyanyi jemputan Iwan Syahman mewakili muzik generasi muda,” katanya ketika sidang akhbar pengumuman Konsert Alunan Kalbu di IKIM Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, sempena karnival tiga hari bermula 13 hingga 15 Julai itu, pelbagai aktiviti menarik disajikan termasuk gerai jualan, pertandingan melukis, persembahan simfoni dram, demonstrasi memasak dan siaran langsung mukmin profesional dan usrati.
Selain itu, persembahan dan sukaneka bersama artis-artis seperti Deevotees dan Unic akan turut diadakan sepanjang karnival.
Bagi Ramli, konsert yang akan dijayakannya menerusi konsep akustik berbekalkan alat muzik rebana, gambus, seruling dan rabuka itu mementingkan perasaan, rasa, sejarah dan pengalaman.
“Saya akan berkongsi kisah perjalanan hidup saya sebagai anak seni berselang-seli sambil menyampaikan lagu-lagu berkonsep ketuhanan.
“Memilih konsep akustik rasanya elemen yang paling tepat untuk mendekatkan jiwa pendengar dengan muzik yang lebih sensitif berbanding biasa, jadi penonton perlu duduk dan dengar dengan teliti untuk lebih menghayati,” ujarnya.
Ramli diberikan masa selama 45 minit untuk mempersembahkan rangkaian lagunya seperti Senandung Hidup Berbudi, ‘Iqra, Bukan Kerana Nama, Nyanyian Serambi serta beberapa buah lagu yang dipetik daripada album terbaharunya Sadaqa iaitu Qasidah Kampungan, Anugerah Nabi, Kekasihku dan Bahasa Terindah.
Iwan pula akan menyanyikan lima buah lagu antaranya Semua Allah Yang Punya, Solatlah Dulu dan Segalanya Allah.
Dalam perkembangan lain, Ramli kini sedang dalam proses rangka kerja untuk mengadakan siri jelajah Sadaqa yang dijadualkan selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Saya mempunyai koleksi lebih 30 buah lagu ketuhanan, jika ada modal apa salahnya untuk saya berkongsi pengalaman saya.
“Buat masa sekarang saya masih dalam proses perbincangan dengan beberapa badan bukan kerajaan untuk menjayakan siri jelajah itu,” tambahnya.
Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi pihak IKIM di talian 03-6204 6320.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: