Wednesday, July 4, 2012

Suara merdu Eikin

Ditemani Liza Aziz dan rakan seperjuangannya, ketika menyampaikan lagu pada persembahan teater Tribute To Seniwati Normadiah di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dipentaskan oleh pelbagai golongan OKU, The Epic of Solitude, baru-baru ini.

SEINDAH raut wajahnya, begitulah gemersik suaranya tatkala melontarkan alunan suara ketika menyampaikan bait-bait lagu dalam satu persembahan pentas, baru-baru ini.

Jika mendengar suara, tidak melihat fizikalnya mungkin ramai yang tidak menyangka pelantun suara itu datangnya daripada Ashikin Anis Selamat.

Remaja yang baru berusia 14 tahun itu diberikan pakej suara yang cukup menarik oleh Tuhan menunjukkan kelebihannya yang tersendiri.

Ashikin Anis atau manja dengan sapaan Eikin merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

Dia dilahirkan dalam keadaan cacat fizikal iaitu anggota tangan dan kakinya membengkok ke belakang dengan tumbesaran tidak sekata yang menyebabkan gadis ini sukar untuk bergerak atau memegang sesuatu.

Eikin memberitahu dia sekarang belajar di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Semenyih dari segi pembacaan, kraf tangan menulis dan mengeja.

''Sebenarnya saya sendiri pun tidak sangka saya boleh menyanyi. Saya pun tidak pernah menyanyi di depan orang ramai hanya sekadar suka-suka sahaja sehinggalah cikgu saya di PDK meminta saya menyanyikan lagu dan mereka berkata, suara saya sedap.

''Sejak dari itu saya sering dapat undangan menyanyi di majlis-majlis persembahan anak-anak istimewa mahupun keraian dan sebagainya," katanya yang pernah menjuarai Pertandingan Semai Bakti di Shah Alam, Sekangor, tahun lepas dan gemar menyanyikan lagu Adibah Noor, Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad , Miley Cyrus dan sebagainya.

Eikin yang ditemui selepas pementasan teater, Tribute To Seniwati Normadiah di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dianggotai oleh pelbagai golongan Orang Kurang Upaya (OKU) The Epic of Solitude, baru-baru ini, juga berminat dalam bidang melukis mempunyai kebolehan dalam bidang lukisan potret.

''Seronok melukis ni, rasanya macam tenang saja selepas melukis hilang tekanan," katanya yang mendapat galakan sepenuhnya dalam bidang melukis dan nyanyian daripada guru dan kedua ibu dan bapanya.

Apabila ditanya siapa yang menghantarnya apabila menerima jemputan, Eikin berkata, ibunya yang akan menghantar dan menunggunya di setiap majlis yang perlu dihadirinya.

Eikin memberitahu biarpun dia berkeadaan seperti itu dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak dia sebenarnya mampu menguruskan diri sendiri.

''Eikin boleh pergi ke bilik air sendiri menggunakan kedua belah lutut, memakai baju sendiri dan makan sendiri menggunakan sudu dan tangan," kata anak jati Kajang, Selangor ini dengan ramah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: