PERKAHWINAN bermakna berlaku penyatuan antara dua jiwa yang sanggup mengharungi kehidupan bersama-sama dalam suka dan duka.
Kedua-dua pihak perlu saling memahami supaya hubungan yang terjalin kekal sehingga akhirnya.
Namun, tidak semua yang diimpikan indah kerana dugaan pasti datang dalam kehidupan berumah tangga.
Marlisa, 30, (bukan nama sebenar) adalah seorang isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata pernah melalui saat getir apabila hampir bercerai kerana kecurangan yang dilakukannya sendiri dua tahun lalu.
Jika dilihat pada dirinya, tidak ada yang kurang kerana selain mempunyai pekerjaan yang bagus dia juga mempunyai wajah yang cantik dan menarik.
Marlisa mengakui perkahwinan yang dibina bukan atas dasar cinta dan sayang sebaliknya kerana terhutang budi dengan suaminya.
"Ketika saya cuba diragut oleh dua orang perompak, kebetulan suami ada di tempat kejadian telah bertindak menyelamatkan saya.
"Selepas kejadian itu kami berhubung selama tiga bulan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
"Saya bersetuju untuk berkahwin dengannya bukan atas dasar cinta tetapi terhutang budi kerana dia telah menyelamatkan saya," katanya.
Satu lagi sebab dia mengambil keputusan berkahwin kerana kecewa akibat berpisah dengan bekas kekasihnya.
Marlisa berkata, selepas berkahwin dia tidak bahagia kerana suaminya hanya pekerja am di sebuah syarikat swasta.
"Dengan jumlah gaji yang tidak seberapa, suami tidak dapat memenuhi kehendak saya untuk membeli barangan yang mahal.
"Namun kerana ingin melihat saya bahagia suami telah bekerja secara sambilan pada sebelah malam sebagai mekanik bagi mendapatkan wang tambahan," katanya.
Disebabkan suaminya banyak menghabiskan masa untuk bekerja, dia mula merasa bosan dengan hidupnya.
"Tambahan perasaan ingin tampil cantik semakin menjadi-jadi apabila kawan-kawan di pejabat selalu memuji diri saya.
"Ada seorang rakan lelaki di pejabat tempat bekerja lebih muda enam tahun sering memuji kecantikan yang dimiliki membuatkan hati menjadi cair dan terbuai," katanya.
Ujarnya, selepas itu, hubungan mereka menjadi semakin mesra sehingga bertukar status kepada kakak dan adik angkat.
"Bermula dari hubungan itu, kami semakin rapat dan sering keluar bersama sama jika ada waktu terluang.
"Saya bahagia dengannya kerana layanan dan sikapnya yang romantik membuatkan diri terasa muda kembali.
"Dalam tempoh itu juga, saya semakin lupa tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu," katanya.
Kata Marlisa lagi, mereka tiada masalah untuk berjumpa kerana kebetulan berjiran dengan lelaki tersebut.
"Disebabkan suami selalu bekerja sehingga lewat malam, kami mempunyai peluang untuk berjumpa dan menghabiskan masa bersama-sama," katanya.
Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Perubatan Marlisa akhirnya terbongkar selepas ditangkap dalam serbuan yang dirancang oleh suami sendiri.
"Rupanya, sudah lama suami mencurigai perbuatan kami dan hanya menunggu masa sesuai untuk melihat sendiri bukti di depan mata," katanya.
Selepas tertangkap dan malu dengan perbuatan yang dilakukan, Marlisa mengambil keputusan membawa diri ke kota buat sementara waktu.
"Kerana tidak tahan dengan dugaan itu, saya telah memohon cerai kepada suami tetapi dia enggan melepaskan saya.
"Dalam tempoh itu, suami sentiasa menghubungi dan memujuk saya untuk kembali kepadanya
"Sedar dengan kesalahan itu, saya telah kembali kepada suami dan anak-anak.
"Saya bersyukur kerana suami sudi menerima dan memaafkan kesalahan yang dilakukan sebelum ini," katanya.
Kini hidupnya telah berubah dan mula menyayangi suami dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan setulus hati.
"Saya berdoa supaya perhubungan yang memasuki usia enam tahun ini kekal sehingga akhir hayat," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: